[Admin] RM10j bantu usahawan muda Perbadanan Usahawan Nasional - TopicsExpress



          

[Admin] RM10j bantu usahawan muda Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) merancang untuk membantu sehingga 200 usahawan muda melalui Skim Prosper Usahawan Muda (PUMA) dengan peruntukan sebanyak RM10 juta menjelang akhir tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya Dzulkifli Fadzilah berkata, sejak diperkenalkan pada 2005, sekurang-kurangnya 1,070 usahawan muda berjaya dibantu dengan peruntukan mencecah RM40 juta. “Ketika awal skim ini diperkenalkan, ia dikenali sebagai Skim Prosper Siswazah (SPS) namun, ditukar kepada Skim Prosper Usahawan Muda bagi memberi peluang sama kepada golongan muda yang tidak mempunyai ijazah turut sama menceburkan diri dalam bidang perniagaan,” katanya selepas majlis taklimat khas Program Perantis dan Usahawan Muda PUNB di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi PUNB, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Menurutnya, setakat September lalu, seramai 132 usahawan berjaya mendapat kelulusan pembiayaan dengan jumlah RM8.6 juta. “Skim PUMA ini berbeza dengan skim lain yang ditawarkan PUNB kerana syarat yang dikenakan lebih longgar bagi memberi ruang kepada golongan muda memulakan perniagaan. “Modal permulaan yang mereka perlukan hanya RM500 dan mereka tidak semestinya menjalankan perniagaan di premis kerana kami turut meluluskan pembiayaan untuk perniagaan yang dijalankan secara dalam talian,” katanya. Dzulkifli berkata, jumlah pembiayaan yang diberikan adalah antara RM5,000 dan RM100,000 namun, jumlah itu boleh mencapai sehingga RM1 juta bergantung kepada jenis perniagaan dan pengalaman yang dimiliki. “Walaupun ada beberapa permohonan terpaksa ditolak, namun kami masih memberi ruang untuk mereka menimba pengalaman melalui Program Siswazah Perantis di mana peserta diberi pendedahan sebenar dunia perniagaan mengikut keperluan industri,” katanya. #Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/08 hmetro.my
Posted on: Tue, 08 Oct 2013 03:56:25 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015