-Mencari jiwa yang tenang- (episod akhir - di manakah - TopicsExpress



          

-Mencari jiwa yang tenang- (episod akhir - di manakah sebenarnya makna ketenangan?) Ketenangan adalah anugerah Allah swt untuk hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa. Apabila telah jiwa itu kembali kepada Allah, maka Allah menganugerahkan nilai ketenangan pada hamba-Nya. “Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.” (Surah Al-Fath: 4) Walau bagaimana status dan darjat mereka di dunia, mereka tidak terkesan dengan keadaan yang sementara. Bukan menilai suatu hari semua yang digenggami tentu akan pergi, tetapi hati mereka tidak terpaut untuk mengecapi. Apabila hati sentiasa melihat adanya pencipta dan bukti kebesaran Allah, semua perkara adalah menjadi mudah. Terasa senang untuk dihadapi. Terasa tenteram walaupun begitu membebankan selama ini. Tiada kegelisahan sekiranya orang lain lebih kaya daripada mereka. Tidak melarat sekiranya tidak makan dan serba kekurangan hari ini.Tidak sakit kerana cacian orang lain, tidak ter‘angkat’ kerana penghormatan dan pujian orang lain. Carilah ketenangan dengan menghadap hati memuja dan memuji Allah. Hadirkanlah diri dalam majlis-majlis mengingati Allah dan rumah yang disukai-Nya. Bertemanlah dengan rakan-rakan yang mendekatkan diri kepada-Nya. Lihatlah kalam Allah, pandanglah segala-galanya adalah dalam penciptaan-Nya.Kebesaran-Nya terbukti di mana-mana, dari seluas semesta alam, sehingga sekecil zarah dalam tubuh manusia. “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Ra’d:28) Tujuilah keinginan harta kepada mencari keredhaan Allah. Harta yang dibelanjakan kerana-Nya, terasa kelapangan jiwa menikmati pemberian-Nya. Bawalah anak-anak dan ahli keluarga kepada ketaatan, berfikir dan membesarkan Allah s.w.t. Kehidupan yang berlandaskan kehendak-Nya, diberikan kekuatan jiwa yang tiada tolok bandingan segala jenis kesenangan dunia. “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar-Rum:21) Hakikatnya, kemuncak ketenangan apabila terasa diri hanya mengharap redha Allah dan melihat wajah-Nya. “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang.Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau meredhai dan diredhai (di sisi Tuhanmu).” (Al-Fajr:27-28) Kerana, akhir dari perjalanan hidup ini (menuju Allah), “Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau meredhai dan engkau diredhai (di sisi Tuhanmu) . Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku (yang berbahagia) . Dan masuklah ke dalam SyurgaKu.” (al-Fajr:28-30) -kembara musafir-
Posted on: Mon, 28 Oct 2013 06:46:22 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015