(Y) (Y) (Y) LAGI banyak isu GST dibincangkan, lagi celaru - TopicsExpress



          

(Y) (Y) (Y) LAGI banyak isu GST dibincangkan, lagi celaru jadinya. Pada satu ceramah di sebuah surau baru-baru ini, seorang penceramah turut menyebut GST. Sama ada tidak tahu atau ingin berseloroh, ada di antara jemaah yang menterjemahkan GST sebagai Geng Songkok Tinggi. Ada pula yang kata Gigit Sampai Tulang! Apa pun, saya percaya, seperti perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPP dan syarikat kaitan kerajaan atau GLC, ramai daripada kalangan masyarakat tahu GST secara samar-samar sahaja. Ada juga yang masih tidak tahu bahawa GST itu adalah sebenarnya kata singkat kepada goods and services tax atau cukai barangan dan perkhidmatan. Dan kalaupun mereka tahu, mereka belum betul-betul faham konsep, tujuan dan matlamat kerajaan secara terperinci dalam pelaksanaannya. Sebenarnya, kalau dijelaskan secara mudah, konsep dan matlamat sesuatu sistem dan program yang mahu dilaksanakan tidak susah bagi rakyat faham. Maka, apa yang dilakukan terhadap keputusan muktamad kerajaan untuk menguatkuasakan GST menjelang April 2015 sepatutnya dapat membuat rakyat faham tentang apa yang disifatkan sebagai menguntungkan atau sekurangnya tidak merugikan rakyat dengan pelaksanaannya. Penerangan mendalam menjadi lebih perlu apabila pihak pembangkang mengambil inisiatif turun ke padang, bertemu masyarakat untuk menjelaskan impak GST kepada rakyat biasa. Wakil rakyat PR menjelaskan, di bawah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) umpamanya 5,000 item tiada tertakluk kepada cukai, tetapi di bawah GST, hanya 1,000 item tidak kena cukai. “Bayangkan anda perlu bayar cukai untuk barangan seperti kopi, teh, bahkan air mineral,” kata mereka. Ada yang memberitahu peniaga di pasar pelaksanaan GST cuma baik pada teori, tetapi ‘realitinya teruk’ kerana ia kurangkan permintaan. Maknanya apabila GST dikuatkuasakan, pengguna hanya akan mampu membeli kurang barangan dengan jumlah wang yang sama. Penerangan yang jelas di pihak kerajaan adalah sangat perlu bagi menghilangkan fahaman yang dianggap salah. Hanya sekadar mendakwa mereka yang bantah dan ragu terhadap GST itu jahil tidak cukup untuk memuaskan hati masyarakat. Barangkali penjelasan yang mudah seperti yang dibuat seorang wakil kerajaan, umpamanya, boleh membantu masyarakat memahaminya dengan lebih baik. GST, katanya, suatu bentuk cukai yang ‘sangat cantik’. Kumpulan berpendapatan rendah, katanya, tidak akan terbeban oleh GST sebab antara 60 dan 70 peratus daripada perbelanjaan mereka melibatkan makanan asas dan khidmat kesihatan awam yang bebas cukai. Ahli politik pembangkang mendakwa 6 peratus GST yang dikenakan kerajaan terlalu tinggi, dibandingkan dengan Singapura yang memulakan GST pada 3 peratus pada 1994 dan mengambil masa yang sangat panjang sebelum sampai ke paras 7 peratus sekarang. Menurut wakil itu, bandingan berkenaan tidak sesuai kerana barang dan perkhidmatan yang terkecuali daripada GST di Singapura sangat sedikit, berbanding di Malaysia. Di Malaysia, perniagaan kecil yang mendapat kurang daripada RM500,000 setahun yang melibatkan hingga 80 peratus perniagaan di Malaysia, bebas daripada GST. Penjelasan demikian satu percubaan yang baik. Bagaimanapun, lebih banyak bengkel, seminar dan forum diperlukan untuk kurangkan bantahan dan keraguan. Apa lagi bagi mereka yang masih ingat Laporan Audit Negara 2012 yang mendedahkan perbelanjaan tiada terkawal, tuntutan palsu dan penipuan yang memerlukan tindakan tegas untuk mengawal salah guna wang rakyat. Kalangan pembayar cukai menyedari jika korupsi, penyelewengan dan perbelanjaan berlebihan dikawal melalui undang-undang dikuatkuasakan tanpa takut dan berat sebelah, kita boleh selamatkan berbilion ringgit daripada hilang atau masuk ke saku-saku yang tidak sepatutnya. Apa yang dikehendaki oleh pembayar cukai ialah jaminan wang yang dikutip diguna dengan betul dan mereka yang diberi mandat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan amanah. Jika itu berlaku, kutipan kerajaan akan meningkat dengan banyaknya melalui GST yang berupaya mengutip lebih banyak cukai daripada mereka yang sanggup belanja lebih.Hasilnya, kita boleh jadi negara kaya yang hidup dengan surplus. Kita akan jadi pemberi pinjaman, bukan peminjam. Untuk itu, kita perlu letakkan orang betul di tempat yang betul supaya wang kita yang dibelanjakan secara jimat dan amanah.
Posted on: Wed, 20 Nov 2013 02:03:13 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015