1- Situasi di Mesir mendorong kita untuk meneliti satu bab dalam - TopicsExpress



          

1- Situasi di Mesir mendorong kita untuk meneliti satu bab dalam Siyasah Syariyyah yang unik. Ia dinamakan WILAYAH AL-MUTAGHALLIB (Kuasa Pemerintahan Perampas) atau AL-IMAMAH BI AL-GHALABAH WA AL-QAHR (Menjadi Pemimpin dengan Kekuatan dan Paksaan). 2- Sejenak kita tinggalkan Morsi di dalam tahanannya. Memang beliau tidak bersalah, bahkan dizalimi. Sokongan kepada beliau patut diberikan secara moral terutamanya kerana sokongan melobi dan material tidak dapat dihulurkan berikutan realiti ‘buih’ kita, umat Islam. Sehingga buih ini dapat dipecahkan, juga penyakit ‘Wahn’ (Gila Dunia) dapat dirawat, maka selamat berehat wahai Morsi. 3- Maka apakah maksudnya Wilayah Al-Mutaghallib itu? Apakah ia harus atau haram? Apakah pula implikasinya? 4- Huraiannya mudah bila contoh sudah terpampang di depan mata. Kerajaan Sementara Mesir yang ditubuhkan oleh Jeneral Assisi adalah Wilayah Al-Mutaghallib. Kuasa dan paksaan digunakan untuk menjatuhkan pemimpin yang terlantik dengan pilihan rakyat. 5- Di dalam terminologi Siyasah Syariyyah pula, cara perlantikan Morsi adalah hampir dengan sistem pilihan oleh ‘Ahl al-Hall wa al-Aqd’ dan kemudiannya ‘Baiah’. Ia disebut sebagai salah satu cara yang terbaik di dalam disiplin ilmu Fiqh. Ahl al-Hall wa al-Aqd adalah golongan terpilih yang mewakili rakyat manakala Baiah sebagai sumpah setia rakyat untuk bersama pemimpin di kala senang dan susah. 6- Maka pemilihan yang amat dekat dengan semangat syariah ini sewajarnya diperjuang dan dipertahankan. Bila ada pihak cuba menggugat kelangsungannya, Allah swt memerintahkan kita agar menanganinya sehingga keadaan patuh syarak kembali berjalan (Al-Hujurat: 9). 7- Namun situasi di Mesir agak berbeza. Presiden tidak memiliki ketaatan kuasa tentera untuk membantunya menjalankan kewajipan tadi. Sebaliknya Menteri Pertahanan yang memiliki kelebihan ini nampaknya tidak memahami kaedah-kaedah serta menghayati terma-terma Siyasah Syariyyah yang dinyatakan di atas. Assisi melakukan penggulingan menurut rasionalnya sendiri serta menubuhkan Kerajaan Mutaghallib. 8- Pada perspektif ulama, perolehan kuasa secara Mutaghallib ini adalah haram. Maknanya Assisi melakukan dosa di atas perbuatannya itu. Namun para ulama berpendapat kuasa pemerintah baru adalah sah selepas rampasan itu berlaku! Keabsahan ini diputuskan mereka berdasarkan kepada kaedah pencegahan keburukan demi menjaga pertumpahan darah umat Islam. 9- Ijmak juga didakwa berlaku dalam hal ini. Para ulama katanya bersepakat bahawa apabila jenis Kerajaan Mutaghallib ini naik, rakyat wajib mentaatinya. Di antara mereka yang dikenal pasti adalah Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Syafii, al-Baihaqi serta beberapa ulama kontemporari seperti Abdul Wahhab Khallaf dan Abdul Latif Aal al-Syaikh. 10- Dalil mereka -selain daripada kaedah fiqh tadi- pula ada dua. Hadis Nabi dan peristiwa di Zaman Umawi. i-Nabi bersabda: “Kamu akan menyaksikan selepasku perkara yang tidak dapat diterima.’ Tanya sahabat: ‘Maka apakah pesanmu wahai Rasulullah?’ Jawab Nabi saw: ‘Tunaikanlah hak mereka (pemimpin) dan mohonlah hak kamu daripada Allah.” (HR al-Bukhari, Kitab al-Fitan). ii- Di zaman Umawi pula, Abdullah bin Umar ra menulis surat menyatakan kesetiaan dan ketaatan beliau kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan selepas pembunuhan yang dilakukan oleh al-Hajjaj ke atas Abdullah bin Zubair. 11- Maka langkah pimpinan Ikhwan Muslimin pada hari ini yang mengisytiharkan semua perarakan dan demonstrasi dibatalkan adalah menepati perbincangan kita. Tahniah diucapkan atas langkah bermaruah ini. Semoga mereka terus bersabar di samping mengintai peluang lain, terutamanya pilihanraya berikutnya. Dan semoga Dr. Morsi al-Hafiz lepas bebas nanti dan kembali dipilih sebagai Presiden Mesir. Wallahu A’lam.
Posted on: Tue, 20 Aug 2013 05:28:53 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015