1 Membetulkan Pandangan Prof. Madya Dr. Asri Tentang Muzik dan - TopicsExpress



          

1 Membetulkan Pandangan Prof. Madya Dr. Asri Tentang Muzik dan Nyanyian Wanita Wan Muhammad Izzat bin Wan Nor Anas al-Kutawi 2 بسم الله الرحمن الرحيم Edisi Pertama Julai 2013 3 Isi Kandungan Kata Pengantar 4 Mukadimah 6 Bab Satu: Meneliti Artikel Dr. Asri ‘Hukum Hiburan dan Nyanyian’ 8 Bab Dua: Kefahaman Silap Tentang Hadis ’Ā‘ishah RA dan Pembetulan 10 Akhirulkalam 25 Kesimpulan 28 4 Kata Pengantar Alhamdulillah Rabbulalamin, selawat dan salam ke atas Rasulullah dan ahli bait baginda. Risalah ini ditulis bermula pada 4 Jun 2013 dulu dengan harapan, kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh Prof. Madya Dr. Asri Zainul Abidin tentang permasalahan muzik dan nyanyian wanita dapat ditanggapi dengan benar dan berkesan. Berdepan dengan tokoh yang namanya sedang melonjak di dalam persaingan populariti tempatan ini, saya rasa untuk mengubah pandangan beliau sendiri. Namun, sekurang-kurangnya orang lain yang masih teguh dengan pegangan menolak taasub dapat menyeluk sedikit manfaat daripadanya. Dalam risalah ini, dua isu utama dibincangkan iaitu tentang muzik dan nyanyian wanita. Meskipun dua perkara ini boleh dikatakan isu lapuk dalam dunia kesarjanaan Islam bahkan terlalu banyak kajian ditulis berkenaannya, tetapi saya tidak teragak-agak untuk melibatkan diri dalam polemik ini. Ini adalah kewajipan. Setiap orang yang mengetahui kebenaran dan mampu menegakkan mesti melakukannya dan perlu bersungguh mempertahankannya. Sesungguhnya, umat Muḥammad tidak akan sesekali boleh bersepakat dalam kesesatan. Hanya dengan membangkitkan golongan yang menerangkan dan membela kebenaran sahajalah prinsip ini akan terus terpelihara. Jadi, usah gundah-gulana apabila melihat perbalahan sesama cendekiawan kerana persengketaan itu sengaja diwujudkan demi maslahat ummah sejagat. Dalam risalah ini, saya mempertahankan pendapat jumhur ulama dalam masalah muzik dan pendapat saya sendiri yang menghampiri pendapat jumhur dalam masalah nyanyian wanita sebagai menolak pandangan Dr. Asri yang kesalahannya dilihat terlalu ketara. Pandangan beliau ternyata bercanggah dengan usul dan kaedah berinteraksi dengan al-Quran dan sunnah baik dari sudut uṣūl al-fiqh dan bahasa. Malah, beliau 5 diperhatikan cuba memanipulasikan riwayat hadis untuk kepentingan mazhabnya. Saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk memanjangkan perbicaraan. Jika tidak, banyak lagi hujah yang dapat saya sertakan. Banyak juga fawā‘id yang berkaitan yang tidak dapat disebut. Sekiranya ada bangkangan, insya-Allah saya akan panjangkan lagi perbahasan ini. Wallahualam. Ibnu Anas al-Kūtāwī, 20 Julai 2013 bersamaan dengan 11 Ramadhan 1434 H, Kedai Buloh, Kota Bharu, Kelantan. 6 Mukadimah Segala puji dipersembahkan kepada Tuhan pemilik sekalian alam bersama iringan doa semoga Allah berselawat dan mengucapkan salam ke atas utusan-Nya yang akhir dan ahli bait baginda. Ammabakdu, sesungguhnya ulama pewaris nabi. Nabi sudah pergi, wahyu sudah berhenti. Hanya ulama sebagai pengganti. Mereka guru umat mengenal agama Allah. Abad berganti abad, mereka tidak pernah rebah. Setia mengajar umat kitab Allah dan sunnah Rasulullah. Namun, mereka bukan nabi. Ulama tidak maksum. Tidak diragui keikhlasan dan kejujuran mereka. Tetapi, mereka manusia biasa. Kadang kala terlupa, ada tika teralpa. Itu perkara biasa. Sepanjang 14 kurun ini, tidak pernah ada seorang pun ulama yang diakui tidak pernah melakukan kesilapan. Tidak pernah ada. Oleh sebab itu, dunia keilmuan Islam dipenuhi kitab-kitab yang ditulis untuk tegur-menegur dan betul-membetulkan sesama mereka. Tujuannya, supaya kesilapan itu diperbetulkan atau tidak dijadikan pegangan oleh orang lain. Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin seorang ulama, bukan nabi. Ertinya, beliau seperti ulama-ulama lain yang melakukan kesilapan. Kerana beliau telah terlanjur, maka tugas kita menegur. Antara kesilapan beliau ialah mengharuskan muzik dan nyanyian wanita merdeka. Disebabkan kesilapan ini barah dan boleh menjadi parah ditambah pula dengan orangnya yang terkenal dan berpengaruh besar, saya berasa sesuatu perlu dilakukan. Dengan itu, dengan izin Allah saya digerakkan untuk menulis risalah Membetulkan Pandangan Prof. Madya Dr. Asri Tentang Hukum Muzik dan Nyanyian Wanita. Sebenarnya, risalah ini adalah jawapan khusus kepada beberapa pandangan beliau dalam artikel beliau yang bertajuk ‘Hukum Hiburan dan Nyanyian’. Artikel tersebut telah diterbitkan di dalam laman sesawang beliau yang saya kira berpengaruh besar kepada masyarakat awam yang mengikuti beliau. Oleh sebab itu, kesilapan-kesilapan Dr. Asri dalam fatwa ini perlu diperbetulkan sesegera yang mungkin. Cuma, 7 bukan niat saya yang utama untuk menegur Dr. Asri yang berpangkat profesor madya melalui makalah sebegini. Bahkan, saya menyasarkannya kepada orang awam supaya mereka tidak terpengaruh dengan pandangan yang silap itu. Adapun Dr. Asri, sudah pasti beliau inginkan kajian yang mendalam. Beliau boleh merujuk terus kepada dua kitab kontemporari, al-Radd ’alā al-Qaraḍāwī wa al-Juday’ wa al-Thaqafī oleh Syeikh ’Abd Allāh Ramaḍān Mūsā dan Aḥkām al-Duff fī al-Fiqh al-Islāmī; Dirāsah Fiqhiyyah Muqāranah, tesis sarjana oleh Maryam binti Walī ’Alī Aḥmad al-Ḥakamī yang diharapkan mampu mengubah ijtihad beliau dalam isu ini. Amin. Sekian mukadimah. 8 Bab Satu: Meneliti Artikel Dr. Asri ‘Hukum Hiburan dan Nyanyian’ Jawapan Dr. Asri di bawah tajuk ‘Hukum Hiburan dan Nyanyian’ ditulis sempena soalan seorang pemuda dari Kedah yang berbunyi: Assalamualaikum Dr. Asri, saya kebelakangan ini mula minat dengan agama. Saya teringin menjadi seorang Muslim yang baik. Cumanya masalah saya ialah saya terlalu gemar menyanyi. Kawan saya seorang yang kuat agama selalu menegur saya, katanya nyanyian adalah muzik syaitan. Saya cuba mengubah, tetapi kadang-kala saya menyanyi juga sebab terbiasa. Saya rasa susah nak buang tabiat ini, apa nasihat Dr. kepada saya? Dr. Asri pun menjawab dengan jawapan yang agak panjang. Kebanyakan kandungannya tentang pandangan umum Islam terhadap hiburan. Dalam artikel tersebut beliau menyelitkan pandangan tentang hukum muzik dan nyanyian wanita. Saya tidak rasa perlu melampirkan kesemuanya di sini.1 Tambahan pula, kebanyakan yang disebut dipersetujui bersama - walaupun memerlukan perincian. Melalui risalah ini, saya cuma ingin membetulkan pandangan beliau tentang dua perkara sahaja, iaitu hukum muzik dan nyanyian wanita. Saya tahu beliau seorang yang berilmu dan berpengetahuan luas tentang isu ini. Khilafiah yang berlangsung tentang masalah muzik khususnya pasti sudah dihadamkan. Tetapi, manusia tetap manusia. Beliau nyata tersilap sehingga mengharuskan muzik dan wanita bernyanyi di hadapan lelaki ajnabi. Tidak cukup dengan itu, malah beliau mempertahankan pendapat yang silap itu dan menggelarkan lawan dengan gelaran-gelaran yang tidak sepatutnya. Kata beliau: Ada sesetengah pandangan yang agak ketat dan ‘tidak luas’ terutama sebahagian mereka yang beraliran Salafī yang mengehadkan hiburan hanya pada hari raya sahaja atau dengan 1 Artikel tersebut boleh dirujuk melalui pautan drmaza/himpunan_fatwa/? p=60. 9 bentuk kompang tertentu sahaja. Mereka memahami hadis-hadis ini secara literal. Saya tidak mahu menjawab pelabelan dengan pelabelan yang baharu di sini. Lagipun, memang benar apa yang dikatakan beliau. Pandangan yang mengharamkan semua alat muzik selain kompang dalam majlis-majlis tertentu adalah pandangan yang sempit. Jumud atau kolot barangkali. Tapi, bukan sempit atau luas yang kita cari. Kita cari pandangan yang benar. Itu perintah Allah. Sesempit mana pun pandangan, kalau sudah ketetapan daripada Allah, itu yang kita ambil. Ayuh kita bina persefahaman di atas asas ini. Memilih pendapat bukan berdasarkan hawa nafsu kita, tetapi berdasarkan dalil. Jadi, apa gunanya menghina orang sebagai literal atau liberal kalau pendapat yang mereka bawa adalah pendapat yang benar. Lainlah kalau Dr. Asri berpendapat boleh memilih mana-mana pendapat asalkan pendapat ulama. Kalau begitu, mudah sahaja. Tutup buku, kita bicarakan hukum taqlīd, talfīq, ittibā’, dan tatabbu’ rukhaṣ pula. Duga hati, perbincangan lengkap tentang hukum muzik dan nyanyian wanita ini memerlukan ratusan halaman untuk dihabiskan. Jadi, saya akan cuba meringkaskan perbincangan ini seringkas-ringkasnya dengan sekadar menjawab hujah-hujah balas Dr. Asri. Hujah-hujah pihak saya sebagai pencadang sudah saya kumpulkan di dalam risalah Ithbāt Taḥrīm al-Ma’āzif, tidak perlulah diulangi di sini. Dr. Asri pun pasti pernah membaca dalil-dalil itu. Tetapi, malangnya beliau mendapatinya daripada kitab-kitab Syeikh Yūsuf al-Qaraḍāwī, gurunya seperti al-Ḥalāl wa al-Ḥarām, Fiqh al-Ghinā‘ wa al-Mūsīqā, atau dalam Fatāwā Mu’āṣirah yang disertai hujah-hujah balas daripada pihak beliau yang mempesonakan orang-orang alim dan jahil. Akhirnya, beliau dengan mudah dipengaruhi. Tidak mengapa, semoga jawapan balas yang terkandung dalam risalah ini dapat membuka mata beliau seluas-luasnya. Amin. Sekian bab satu. 10 Bab Dua: Kefahaman Silap Tentang Hadis ’Ā‘ishah RA dan Pembetulan Kata Dr. Asri: 2. Dalam hadis Umm al-Mu‘minīn ’A‘ishah RA: bahawa pada hari raya Fiṭrī atau Aḍḥā, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ’Ā‘ishah) dan Nabi SAW berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Anṣār pada hari Bu’āth (peperangan antara ’Aws dan Khazraj). Abu Bakr berkata: suara syaitan (sebanyak dua kali). Nabi SAW bersabda: biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka. Hadis ini menunjukkan sikap lunak Nabi SAW yang tidak melarang hiburan dalam bentuk nyanyian sekalipun berlaku dalam rumah baginda. Nabi s.a.w tidak bersikap keras mengenai hiburan seperti sesetengah mereka yang menggunakan nama agama untuk membanteras hiburan habis-habisan. Bantahan Abū Bakr ditolak oleh Nabi SAW secara berhikmah. Ada sesetengah pandangan yang cuba menyatakan bahawa Nabi SAW tidak menolak dakwaan Abū Bakr bahawa nyanyian suara syaitan, cumanya hanya diizinkan disebabkan hari raya. Penghujahan seperti ini tidak kukuh. Sebabnya, apakah jika nyanyian suara syaitan maka pada hari raya ia tidak menjadi suara syaitan lagi dan selepas itu kembali menjadi suara syaitan semula?! Atau apakah pada hari raya maka suara syaitan dibenarkan? Cukuplah dengan teguran Nabi SAW itu sebagai satu bantahan umum atas kenyataan Abū Bakr. Suara syaitan sepatutnya bukan dikaitkan dengan hari dan waktu, tetapi dengan isi kandungan! 11 Dalam kata-kata tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa Dr. Asri menjadikan hadis ’Ā‘ishah RA2 sebagai dalil keharusan bermain dan mendengar muzik. Ini jelas dalam kata-kata beliau, ‘dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka’. Bagi beliau, keharusan ini adalah secara umum, tidak terikat dengan sebarang waktu sebagaimana pendapat jumhur ulama. Selain itu, dalam kata-kata tersebut dikesan bahawa beliau mengharuskan nyanyian wanita. Hal ini kerana beliau menterjemahkan hadis sebagai: ... ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi... *** Untuk mengelakkan kekeliruan, diperjelaskan bahawa Dr. Asri merujuk hiburan dalam hadis di atas sebagai nyanyian perempuan dewasa yang disertai dengan alat muzik. Ini di sisi beliau. Sebenarnya, hiburan tersebut hanyalah nyanyian perempuan yang masih kecil yang disertai dengan paluan kompang. Itulah sebab berkemungkinan berlaku perbezaan dalam penjelasan Dr. Asri dan penjelasan saya tentang hiburan tersebut. *** Beliau menghujah jumhur ulama yang mengatakan keizinan Rasulullah SAW kepada mereka untuk berhibur dengan nyanyian tersebut disebabkan hari raya dengan mengada-adakan soalan sinis, apakah jika nyanyian suara syaitan maka pada hari raya ia tidak menjadi suara syaitan lagi dan selepas itu kembali menjadi suara syaitan semula, atau apakah pada hari raya maka suara syaitan dibenarkan? Sebenarnya, jawapan yang beliau berikan ini langsung tidak mencerminkan keperibadiannya sebagai seorang fakih. Beliau sendiri tahu dalam keadaan-keadaan tertentu sesuatu perkara yang asalnya 2 Hadis yang diterjemahkan oleh Dr. Asri daripada riwayat al-Bukhārī dalam Kitāb Manāqib al-Anṣār, Bāb Maqdam al-Nabī ṣalla Allāh ’alay-hi wa-sallam wa-Aṣhābi-hi al-Madīnah, no. 3931. 12 haram boleh berubah menjadi harus. Itu namanya rukhsah. Tidak perlu Dr. Asri dengan penuh sindiran mengajukan soalan sebegitu. Baik, saya ingin bertanya kepada Dr. Asri, betulkah Rasulullah SAW ada mengatakan melihat perempuan secara bernafsu itu namanya ‘zina mata’? Pada masa yang sama, baginda sendiri mengizinkan orang yang ingin meminang untuk melihat perempuan. Jadi, mengapa anda tidak menimbulkan persoalan, adakah jika memandang perempuan itu zina mata maka pada waktu meminang, tidak menjadi zina mata dan selepas itu, kembali menjadi zina mata semula, atau adakah pada waktu meminang maka zina mata itu dibenarkan? Mengapa tidak, wahai Dr. Asri?! Bertakwalah kepada Allah, anda sedang mempersoalkan syariat Allah. *** Sewaktu masih di bangku persekolahan, saya membayangkan setiap mufti adalah seorang yang sangat faham tentang agama. Usah dibicarakan tentang ilmu fikah atau usulnya, pasti seorang mufti awal-awal lagi menguasainya. Namun, setelah dewasa, tahulah saya bahawa semua itu hanya dogeng semata. Banyak pemegang ijazah kedoktoran dalam bidang agama pun bercakap sesedap rasa. Tidak tahu bahasa Arab, usul ilmu hadis, kaedah-kaedah fikah, dan disiplin-disiplin yang wajib diketahui oleh seorang ahli agama. Apa yang Dr. Asri kali ini nampaknya menyerlahkan lagi kebenaran ini. Di sisi Dr. Asri hadis tersebut tidak menunjukkan kekhususan hari raya sebagai ’illah keharusan berhibur dengan nyanyian disertai dengan muzik bahkan keharusannya melampaui waktu-waktu lain. Ini jelas bertentangan dengan ilmu uṣūl al-fiqh. Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Bakr RA yang menyifatkan nyanyian yang 13 disertai dengan paluan kompang di sisi baginda sebagai ‘serunai syaitan’3 dengan katanya: دَ عْ هُ دَ دَ دَبدَ بدَ عْ رٍر إِ نَّ لإِ هُ لِّ دَقَعْ رٍ إِ عْيدًيا دَ إِ نَّ إِ يدَي دَ دَ دَ ا اليدَقَعْ إِ Terjemahan: biarkan mereka wahai Abu Bakr. Sesungguhnya setiap golongan ada hari raya dan sesungguhnya hari raya kita hari ini. Di sisi ulama-ulama uṣūliyyūn, إِ نَّ adalah lafaz ṣarīḥ bagi ta’līl. Sebahagian mereka pula berpendapat, lafaz tersebut adalah īma‘ sahaja.4 Walau bagaimanapun, kesemua mereka bersepakat mengatakan lafaz ini menunjukkan ta’līl. Ini bermakna, ‘sesungguhnya setiap golongan ada hari raya dan sesungguhnya hari raya kita hari ini’ adalah ’illah diharuskan hiburan seperti yang disebutkan. Dalam riwayat lain disebutkan pula dengan lafaz: دَ عْ هُ دَ دَ دَبدَ بدَ عْ رٍر فدَإِإ قَ نَّدَ دَ نَّ هُ إِ ي رٍ ي دَ تإِعْل دَ ك الأدَ نَّ هُ دَ نَّ هُ إِمدَنَ Terjemahan: biarkan mereka wahai Abu Bakr kerana sesungguhnya ini adalah hari raya dan hari raya itu adalah hari Minā.5 Dalam riwayat ini, keadaan menjadi lebih jelas. Lafaz yang digunakan adalah فَ إِ نَّ yang merupakan gabungan dua huruf yang masing-masing menunjukkan ’illah apabila bersendirian, apatah lagi ketika bersama.6 Saya rasa kalau Dr. Asri mengambil riwayat ini menggantikan riwayat yang disebutnya, pasti agak payah baginya menterjemahkan فَ إِننَّهفَا dengan selain ‘kerana...’ Dengan itu, sukar pula untuknya mentakwilkan ‘kerana’ 3 Terjemahan yang tepat untuk إِ مزْ فَ مار yang disebut dalam hadis ialah ‘serunai’ atau ‘seruling’. Dr. Asri pula menterjemahkannya sebagai ‘suara’. [Lihat: Kamus Besar Arab-Melayu Dewan (2006), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka; hal. 1042] 4 Lihat: Mabāḥith al-’Illah fī al-Qiyās ’ind al-Uṣūliyyīn oleh Dr. ’Abd al-Ḥakīm ’Abd al-Raḥmān al-Sa’dī; Beirut: Dār al-Bashā‘ir al-Islāmiyyah; 1430 H; hal. 355-357. 5 Diriwayatkan oleh al-Bukhārī dalam Kitāb al-’īdayn, Bāb Idhā Fātahu al-’Īd Yuṣallī Rak’atayn, hadis no. 987. 6 Kata Dr. ’Abd al-Ḥakīm ’Abd al-Raḥmān al-Sa’dī: aku mengatakan bahawa contoh-contoh yang di dalamnya digabungkan antara ف dengan boleh dikatakan sebagai dua iaitu menunjukkan ’illah jika merujuk kepada dengan baris bawah sebagaimana pendapat jumhur uṣūliyyūn dan īmā‘ dengannya jika merujuk kepada ف kerana majoriti mereka mengatakan bahawa ta’līl dengan ف sebenarnya termasuk dalam bab īmā‘. [Mabāḥith al-’Illah fī al-Qiyās ’ind al-Uṣūliyyīn; op. cit; hal. 367] 14 sebagai selain daripada ’illah. Tetapi, kalau diterima sebagai ’illah pun, pasti beliau akan mengatakan ’illah yang sebenar adalah suasana gembira, bukan hari raya. Malangnya, kalau beliau mengatakan itu, saya akan cepat-cepat bertanya: kalau suasana sedih pula bagaimana?! Nampaknya, Dr. Asri cuba mengabaikan alasan yang diberikan oleh Rasulullah SAW berkaitan hari raya. Seolah-olah hadis tersebut berbunyi ‘biarkan mereka wahai Abū Bakr’ sahaja dan ‘sesungguhnya setiap golongan ada hari raya dan sesungguhnya hari raya kita hari ini’ tidak wujud. Kalau tidak, mengapa beliau tergamak mengatakan: ada sesetengah pandangan yang cuba menyatakan bahawa Nabi SAW tidak menolak dakwaan Abū Bakr bahawa nyanyian suara syaitan, cumanya hanya diizinkan disebabkan hari raya. Penghujahan seperti ini tidak kukuh. Kononnya. Tidak kukuh kerana apa? Menurutnya, tidak masuk akal ‘serunai syaitan’ boleh menjadi harus pada hari raya dan kembali menjadi haram selepas hari raya. Saya rasa, kalau begitulah hujahnya, alamatnya solat boleh dijamakkan setiap masa dengan alasan, mustahil solat boleh dijamakkan pada ketika bermusafir tetapi tidak boleh ketika bermukim. Sungguh, alasan yang sungguh melucukan. *** Selepas menafikan hari raya sebagai sebab keizinan Rasulullah SAW, beliau menegaskan bahawa nyanyian menjadi haram hanyalah disebabkan kandungannya. Katanya, suara syaitan sepatutnya bukan dikaitkan dengan hari dan waktu, tetapi dengan isi kandungan! Pada siang Ramadan, seorang lelaki masuk ke dalam rumah dan mendapati anak perempuannya sedang makan di samping isterinya. Lelaki tersebut memarahi anaknya. Si isteri menghalang dengan berkata “biarkan dia. Hari ini dia datang bulan.” Bagi Dr. Maza, dalam situasi ini, sebab isterinya membenarkan anak gadisnya makan adalah kerana makanannya tidak mengandungi benda-benda yang diharamkan. Lelaki tersebut tidak sepatutnya marah hanya disebabkan anaknya tidak 15 berpuasa, tetapi kerana kandungan makanan. Apabila kandungan makanan halal, bolehlah dimakan walaupun pada siang bulan Ramadan. Begitulah bagaimana Dr. Asri menganalisis nas. Sebenarnya, orang yang waras akan mengatakan seperti yang dikatakan oleh Dr. Asri tetapi hanya apabila hadis tadi berbunyi: biarkan mereka kerana syair yang mereka nyanyikan tidak salah; bukan berbunyi: biarkan mereka kerana hari ini hari raya. *** Berkenaan nyanyian wanita, Dr. Asri seperti yang disebutkan tadi tidak menganggapnya sebagai satu perkara mungkar, bahkan halal. Boleh jadi beliau akan menggalakkannya sebagai satu sunnah Rasulullah SAW dalam bentuk taqrīr. Hal ini demikian kerana beliau menterjemah hadis sebagai ‘... ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi...’ sedangkan ini tidak boleh ditakwilkan lagi, begitu jelas menunjukkan pendapat beliau dalam masalah ini. Bukan ‘dua orang hamba perempuan’ yang disebutkan, bahkan ‘dua penyanyi wanita’. Dengan kata lain, beliau seolah-olah menggambarkan dua orang wanita merdeka sedang menyanyi-nyanyi di dalam rumah Rasulullah SAW. Adakah ini gambaran yang benar sehingga dapat disabitkan keharusan berhibur dengan nyanyian wanita merdeka di dalam syariat Islam? Jawapannya, tidak. ‘Penyanyi wanita’ adalah terjemahan yang diada-adakan. Terjemahan yang sepatutnya adalah ‘hamba perempuan’ atau ‘hamba wanita’. Paling tidak, disebut ‘penyanyi wanita daripada kalangan hamba’. Ini bermakna, hanya perempuan daripada golongan hamba sahaja yang dibenarkan mempersembahkan nyanyian pada hari raya dan majlis perkahwinan. Apa yang tersebar di seluruh dunia pada hari, kemunculan penyanyi-penyanyi wanita merdeka adalah perkara mungkar. Islam tidak pernah meredainya walaupun wanita-wanita itu berpurdah litup sekalipun. 16 Saya tidak tahu adakah Dr. Asri dan gurunya, Syeikh al-Qaraḍāwī juga begitu atau tidak. Yang jelas, al-Qaraḍāwī mengaku beliau menikmati nyanyian artis-artis wanita Arab yang terkenal. Kali ini, kesilapan yang dilakukan oleh Dr. Asri adalah kesilapan yang tidak boleh dibayangkan boleh dilakukan oleh seorang yang berijazah kedoktoran dalam bidang agama. Hal ini demikian kerana hadis yang diterjemahkannya mempunyai perkataan qaynatān, bukan mughanniyatān: dua penyanyi wanita. Qaynatān adalah muthannā bagi perkataan qaynah yang bermaksud hamba perempuan. Kata al-Khalīl bin Aḥmad (170 H)7 dan muridnya, al-Layth bin al-Muẓaffar8 9: Qayn dan qaynah: hamba lelaki dan hamba perempuan. Pengarang al-Jarāthīm10, al-Jawharī (393 H)11, dan lain-lain pula mengatakan: Qaynah: hamba perempuan penyanyi atau tidak. Ini bermakna, qaynah sebenarnya semata-mata hamba perempuan. Tidak ada kaitan dengan menyanyi atau tidak. Walau bagaimanapun, qaynah digunakan untuk hamba perempuan yang menyanyi sebelum meluas digunakan untuk penyanyi wanita merdeka. Tetapi, apa yang jelas, qaynah di dalam hadis adalah hamba perempuan yang pandai menyanyi. Menyatakan qaynah sebagai wanita merdeka tidak boleh diterima sama sekali. 7 Kitāb al-’Ayn Murattaban ’alā Ḥurūf al-Mu’jam; Beirut: Dār al-Kutub al-’Ilmiyyah; 1424 H; jil. 3, hal. 445, 8 Tarikh beliau meninggal tidak diketahui. 9 Lihat: Tahdhīb al-Lughah oleh al-Azharī (370 H); al-Mu‘assasah al-Miṣriyyah al-’Āmmah; tanpa tahun; jil. 9, hal. 320. 10 Kitāb al-Jarāthīm al-Mansūb li-’Abd Allāh ibn Muslim ibn Qutaybah; Damsyik: Wizārah al-Thaqāfah fī al-Jumhūriyyah al-’Arabiyyah al-Sūriyyah; 1997 M; jil. 1, hal. 381. 11 Al-Ṣiḥāḥ Tāj al-Lughah wa-Ṣiḥāḥ al-’Arabiyyah; Beirut: Dār al-’Ilm li-al-Malāyīn; 1990 M; jil. 6, hal. 2186. 17 Al-Azharī ketika menjelaskan kata-kata al-Layth bahawa orang awam menamakan penyanyi perempuan sebagai qaynah berkata: Sesungguhnya penyanyi perempuan dipanggil qaynah sekiranya bernyanyi menjadi kebiasaan baginya dan ini adalah amalan hamba-hamba perempuan, bukan wanita-wanita merdeka.12 Saya tahu di mana letaknya asas terjemahan Dr. Asri. Asasnya adalah kitab-kitab syarah hadis seperti Fatḥ al-Bārī dan ’Umdah al-Qārī yang memberikan makna ‘penyanyi perempuan’ kepada qaynah. Saya tetap tidak akan memaafkan Dr. Asri atas kesilapan ini kerana tiga sebab. Pertama, mereka secara zahirnya tidak memaksudkan penyanyi perempuan itu wanita merdeka. Kedua, kamus-kamus bahasa Arab terdahulu jelas-jelas menunjukkan perkara ini. Setahu saya Dr. Asri mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang bahasa Arab. Agak aneh Dr. Asri boleh terlepas pandang. Bahkan, kalau Dr. Asri bersungguh-sungguh dalam mencari kebenaran, sebahagian kitab syarah hadis pun sudah mencukupi. Imam Abū al-’Abbās al-Qurṭūbī (656 H) dalam syarahnya ke atas Ṣaḥīḥ Muslim yang merupakan salah sebuah kitab masyhur mengatakan: Qaynah: hamba perempuan penyanyi atau tidak. Memang silap orang yang menyangkanya ‘penyanyi perempuan’ sahaja.13 Ketiga, Dr. Asri pun sebagai seorang yang terkenal dengan ketokohan dalam bidang hadis pasti tahu bagaimana hendak mentafsirkan hadis iaitu hadis dengan hadis, riwayat dengan riwayat. Tersangat pelik, Dr. Asri boleh berpada dengan satu riwayat sahaja untuk menjelaskan hadis tersebut padahal riwayat-riwayat lain terlalu banyak. 12 Tahdhīb al-Lughah; op. cit. 13 Al-Mufhim li-mā Ashkala min Talkhīṣ Kitāb Muslim; Damsyik: Dār Ibn Kathīr; 1417 H; jil. 2, hal. 533. 18 Qaynatān dalam riwayat-riwayat lain disebut sebagai jāriyatān. Ada riwayat menambah, min jawārī al-Anṣār.14 Dalam riwayat Ibnu Isḥāq secara ’an’anah pula menyebut, jāriyatān li-’Abd Allāh ibn Salām.15 Ini sedikit sebanyak menyokong kenyataan bahawa qaynatān adalah hamba. Setepatnya, qaynah dan jāriyah perlu diserasikan. Jāriyah mempunyai tiga maksud: hamba perempuan, kanak-kanak, dan gadis jika merujuk kepada manusia seperti dalam hadis tersebut. Makna qaynah tidak boleh bercanggah dengan makna jāriyah malah jika ada makna yang bertindih maka itulah yang paling tepat. Merujuk kepada pengertian qaynah semata-mata bererti menafikan kewujudan jāriyah. Maka sesungguhnya, al-i’māl awlā min al-ihmāl: menggunakan kedua-dua lebih baik daripada menggugurkan salah satu. Qaynah dalam kamus-kamus bahasa Arab merujuk kepada hamba, penyanyi, dan jurusolek. Tidak ada padanan makna dengan jāriyah kecuali satu iaitu hamba. Maka, qaynatān dalam hadis tersebut dengan bantuan riwayat jāriyatān difahami merujuk kepada hamba perempuan atau setidak-tidaknya penyanyi perempuan daripada golongan hamba. Semata-mata ‘penyanyi perempuan’ adalah terjemahan yang sukar diterima kerana membelakangkan maksud hamba yang tersirat dalam makna kedua-dua perkataan. Sebenarnya pandangan ini bukan semata-mata berdasarkan kaedah berkenaan. Dalam hadis-hadis dan āthār lain juga perempuan yang menyanyi atau memainkan gendang senantiasa dikaitkan dengan perhambaan - sama ada dengan menyandarkannya kepada seorang tuan atau menyebutkan pembelian atau penghadiahan. Ini adalah bukti yang sangat kuat berdasarkan pengamatan yang menyeluruh, bukan berpada dengan satu hadis yang dilihat dari satu riwayat dan makna sahaja. 14 Diriwayatkan oleh al-Bukhārī dalam Kitāb al-’Īdayn, Bāb Sunnah al-’Īdayn li-Ahl al-Islām, hadis no. 952; dan Muslim dalam Kitāb Ṣalāt al-’Īd, Bāb al-Rukhṣah fī al-Ladhī Lā Ma’ṣiyah fī-hi fī Ayyām al-’Īd, hadis no. 892. 15 Diriwayatkan oleh al-Sulamī di dalam al-Arba’īn fī al-Taṣawwuf, hadis no. 39. 19 Walau bagaimanapun, pandangan yang masyhur dalam kalangan ulama berbeza daripada apa yang disebutkan. Mereka mengatakan perempuan yang sudah baligh tidak dibenarkan menyanyi di hadapan lelaki ajnabi sama sekali tidak kira merdeka atau sahaya. Oleh sebab itu, bagi mereka, perempuan dalam hadis tadi adalah kanak-kanak yang belum baligh. Mereka menentukan maksud jāriyatān dalam hadis tersebut sebagai kanak-kanak perempuan. Antara yang mengatakan demikian dengan jelas ialah Imam Abū ’Abd Allāh al-Qurṭubī (671 H) ketika menghuraikan perihal ghulām dalam surah al-Kahf: ... Kerana ghulām bagi lelaki digunakan untuk orang yang belum baligh dan lawannya jāriyah bagi perempuan.16 Kata-kata ini kemungkinan diambil daripada guru beliau, Imam Abū al-’Abbās al-Qurṭubī ketika mensyarahkan hadis tadi17 yang diikuti pula oleh al-’Aynī (855 H)18, al-Sayūṭī (911 H)19, al-Sindī (1138 H) 20, dan lain-lain yang mengatakan bahawa: jāriyah bagi perempuan seperti ghulām bagi lelaki. Kedua-duanya dikatakan kepada perempuan dan lelaki yang belum baligh. Imam Ibnu al-Jawzī (597 H) pula tampil dengan jawapan lain. Kata beliau: Zahir keadaan dua jāriyah ini adalah masih kecil kerana usia ’Ā‘ishah pun masih kecil.21 16 Al-Jāmi’ li-Aḥkām al-Qur‘ān wa-al-Mubayyin li-mā Taḍammanahū min al-Sunnah wa-Āy al-Qur‘ān; Beirut: Mu‘assasah al-Risālah; 1427 H; jil. 13, hal. 331. 17 Lihat: al-Mufhim li-mā Ashkala min Talkhīṣ Kitāb Muslim; op. cit; hal. 533. 18 Lihat: ’Umdah al-Qārī Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī; Beirut: Dār al-Kutub al-’Ilmiyyah; 1421 H; jil. 6, hal. 389. 19 Lihat: Sunan al-Nasā‘ī bi-Sharḥ al-Ḥāfiẓ Jalāl al-Dīn al-Sayūṭī wa-Ḥāshiyah al-Imām al-Sindī; Aleppo: Maktab al-Maṭbū’āt al-Islāmiyyah; 1414 H; jil. 3, hal. 197. 20 Lihat: Sunan al-Nasā‘ī bi-Sharḥ al-Ḥāfiẓ Jalāl al-Dīn al-Sayūṭī wa-Ḥāshiyah al-Imām al-Sindī; ibid; hal. 195. 21 Talbīs Iblīs; Beirut: Dār al-Qalam; 1403 H; hal. 217. 20 Tawjīḥ ini sebenarnya diisyaratkan oleh Imam Abū al-Ṭayyib (450 H) dalam katanya; ... Tetapi, Nabi SAW melarang Abū Bakr daripada bersikap terlalu keras dalam menegur dan untuk membiarkan kanak-kanak gembira pada hari yang merupakan hari kegembiraan.22 Pandangan yang mengatakan jāriyatān masih kecil kerana ’Ā‘ishah juga masih kecil sebenarnya kurang tepat kerana tidak ada qarīnah yang kuat menunjukkan demikian apatah lagi terdapat bukti yang kuat menunjukkan ’Ā‘ishah ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW sudah remaja sebagaimana dapatan Syeikh Muḥammad Ḥabīb al-Raḥmān al-Kandahlawī dalam kajiannya. Selain itu, mendakwa mereka kanak-kanak belum baligh sahaja seolah-olah menolak mereka sebagai hamba. Jika benar begitu, pendapat ini boleh dianggap silap. Bahkan, paling kurang, jāriyatān sepatutnya diertikan dengan hamba perempuan yang belum baligh sebagai meraikan kewujudan riwayat qaynatān. Tetapi, saya rasa mereka tidak sesekali mengatakan jāriyatān hamba perempuan yang belum baligh kerana mereka tidak menyebut langsung tentang hamba. Lebih-lebih lagi, ada antara mereka yang memberikan petunjuk jelas berkenaan hal ini. Al-’Aynī misalnya, setelah menyebutkan bahawa jāriyatān belum baligh menyatakan pula: Di dalamnya, harus mendengar suara jāriyah bernyanyi walaupun bukan hamba kerana baginda tidak melarang Abu Bakr mendengarnya... 23 Ini menunjukkan beliau berpendapat jāriyatān dalam hadis tadi bukan hamba. Itu pun kalau beliau tidak bermaksud menyebut ‘... bukan hamba sendiri...’ Walau bagaimanapun, pendapat ini lebih baik kerana tetap melarang perempuan merdeka yang baligh bernyanyi. Kesimpulan yang mengatakan jāriyah dalam hadis tadi tidak sesekali berkemungkinan 22 Al-Radd ’alā Man Yuḥibbu al-Ghinā‘; Tanta: Dār al-Ṣaḥābah; 1410 H; hal. 55. 23 Lihat: ’Umdah al-Qārī Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī; op. cit; jil. 6, hal. 394. 21 bermaksud wanita merdeka ditegaskan juga oleh Syeikh ’Abd al-Raḥmān al-Suḥaym yang berkata dalam salah satu fatwa beliau: Walau bagaimanapun, kata-kata ’Ā‘ishah RA ‘dan di sisi saya ada jāriyatān’ dapat ditafsirkan dengan dua makna tetapi tidak ada di dalamnya sesuatu yang dapat difahami menyatakan mereka berdua adalah perempuan merdeka yang sudah baligh.24 Saya sebenarnya tidak dapat mengecam dengan baik apa pendapat ulama-ulama lain yang tidak menyebutkan secara jelas siapa jāriyatān di sisi mereka. Ada kemungkinan bagi mereka, jāriyatān adalah hamba perempuan - sama seperti pendapat yang saya pilih. Itulah sebab mengapa saya hanya memanggil pendapat tadi sebagai pendapat masyhur sahaja. Namun begitu, mazhab alim-ulama terdahulu tidak sesekali meredai pendapat yang diada-adakan oleh ulama-ulama mutakhir yang diikut oleh Dr. Asri ini. Bahkan, Imam Ibnu Ḥazm (456 H) yang menjadi tokoh ulama yang memperjuangkan keharusan muzik pun mengharamkan nyanyian wanita. Kata beliau: ... Oleh sebab itu, Muslim diharamkan berhibur dengan mendengar alunan (suara) wanita ajnabī... 25 Begitu juga Imam al-Ghazālī (505 H), sungguhpun beliau terkenal dengan pendapatnya tentang keharusan mendengar nyanyian, tetapi beliau dengan jelas mengatakan bahawa nyanyian menjadi haram apabila: ... Penyanyi adalah perempuan yang tidak dihalalkan untuk dilihat dan dibimbangkan timbul fitnah apabila mendengarnya... Ini haram kerana ditakuti timbul fitnah... Suara wanita ketika tidak bernyanyi tidak aurat...26 24 al-ershaad.net/vb4/showthread.php?t=1590. 25 Ṭawq al-Ḥamāmah; Damsyik: Maktabah ’Arafah; tanpa tahun; hal. 123-124. 26 Iḥyā‘ ’Ulūm al-Dīn; Kaherah: Dār al-Sha’b; tanpa tahun; jil. 6, hal. 1143. 22 Hakikatnya, tidak ada dalil yang mengecualikan nyanyian wanita merdeka yang dewasa daripada perkara-perkara yang diharamkan dipersembahkan kepada lelaki. Sesungguhnya, al-mar‘ah ’awrah: wanita itu aurat. Abu Bakr RA sendiri mengamalkan kaedah ini sehingga beliau menganggap nyanyian wanita - bersama alat muzik - adalah haram secara mutlak sehinggalah diberitahu oleh Rasulullah SAW bahawa kemutlakan itu dikecualikan untuk hamba perempuan - dan kompang -pada hari raya. Maka, yang berbaki kekal di atas hukumnya yang asal sebagaimana kaedah, al-aṣl al-’umūm hattā ya‘tiya dalīl yukhaṣṣisuhu: asal adalah umum sehingga datang dalil mengkhususkannya. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Ḥajar al-’Asqalānī: Asalnya adalah menjauhi permainan dan hiburan serta mengehadkannya sekadar yang disebutkan oleh nas dari segi waktu dan keadaannya supaya kurang menyalahi asal.27 Tentang pendapat yang saya pilih, pendapat ini seperti yang disebutkan tidak masyhur seperti pendapat tadi. Akan tetapi, pendapat ini bukanlah pendapat baharu sehingga boleh dituduh menyalahi ijmā’ ḍimnī. Hal ini demikian kerana terdapat dua bukti bahawa pendapat dipegang oleh sesetengah ulama terdahulu. Pertama, kata-kata Imam Abū al-Ṭayyib al-Ṭabarī; Adapun mendengar nyanyian daripada wanita yang bukan maḥram, murid-murid (atau ulama-ulama mazhab) al-Shāfi’ī mengatakan tidak harus sama sekali; sama ada secara terbuka atau di sebalik tabir, dan sama ada merdeka atau hamba.28 Daripada penjelasan beliau, difahami bahawa terdapat khilaf tentang nyanyian wanita yang merdeka dengan wanita sahaya. Ini bermakna, 27 Fatḥ al-Bārī Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī; Riyadh: Dār al-Salām; 1421 H; jil. 2, hal. 571. 28 Al-Radd ’alā Man Yuḥibbu al-Ghinā‘; op. cit; hal. 27. 23 terdapat ulama daripada mazhab lain yang mengharuskan nyanyian hamba perempuan. Kedua, Imam al-Ghazālī dalam penolakannya terhadap larangan mendengar nyanyian dalam hadis ‘sesungguhnya Allah mengharamkan qaynah serta mengharamkan jual-belinya, harganya, dan mengajarkannya’29 menjelaskan; Adapun nyanyian jāriyah kepada tuannya tidak difahami keharamannya menerusi hadis ini. Bahkan, selain tuan pun boleh mendengarnya jika tidak menimbulkan fitnah berdalilkan apa yang diriwayatkan dalam Ṣaḥīhān berupa nyanyian jāriyatān di dalam rumah ’Ā‘ishah RA.30 Kenyataan beliau cukup jelas menunjukkan pendapat beliau iaitu keharusan hamba perempuan menyanyi dan memperdengarkan nyanyiannya kepada lelaki-lelaki ajnabi dengan syarat tidak mendatangkan fitnah. Jāriyah yang beliau maksudkan sudah tentu bukan gadis atau kanak-kanak merdeka tetapi hamba perempuan. Perkara ini diisyaratkan dalam kata-kata ‘nyanyian jāriyah kepada tuannya’. Orang merdeka tidak mempunyai tuan. Beliau juga tidak memaksudkan jāriyah dengan hamba perempuan yang belum baligh. Istilah yang beliau gunakan, ‘perempuan ajnabi’ mengesahkan perkara ini. Hal ini demikian kerana semata-mata kanak-kanak tidak dipanggil ajnabi. Bahkan, amat ganjil jika beliau memaksudkannya dengan kanak-kanak, seolah-olah ada ulama yang mengharamkan nyanyian kanak-kanak perempuan. Walau bagaimanapun, mafhūm mukhālafah daripada kata-kata ‘nyanyian perempuan ajnabi untuk orang-orang fasiq dan yang dibimbangkan ditimpa fitnah dengannya adalah haram’ menunjukkan 29 Ḍa’īf: diriwayatkan oleh al-Ṭabrānī di dalam al-Mu’jam al-Awsaṭ, no. 4513, 6839, dan 8541 daripada ’Ā‘ishah RA. Rawinya, al-Layth bin Abū Sulaym ḍa’īf selain sanadnya muḍṭarib. 30 Iḥyā‘ ’Ulūm al-Dīn; op. cit; hal. 1148. 24 beliau berpendapat keharusan ini tidak terhad kepada hamba perempuan sahaja malah melampaui wanita-wanita merdeka dengan syarat bebas daripada fitnah. Namun, mafhūm mukhālafah ini lemah kerana boleh diihtimalkan bahawa ajnabi itu merujuk kepada hubungan hamba perempuan dengan bukan tuannya memang tidak dianggap sebagai maḥram. Lagipun, dalil yang digunakan beliau hanya menyebutkan jāriyah. Tidak lebih daripada itu. Pada hakikatnya, saya yakin bahawa pendapat yang dipilih ini juga merupakan pendapat ramai ulama. Hanya sahaja saya tidak mempunyai hujah yang kuat untuk membuktikannya. Mereka ialah ulama-ulama yang memahami jāriyah dalam hadis ’Ā‘ishah sebagai hamba perempuan sahaja; bukan hamba yang belum baligh. Bagi saya, mereka dapat dikenal pasti daripada diamnya mereka daripada mentakwilkan jāriyah dengan makna kanak-kanak yang belum baligh dan jumlahnya terlalu ramai. Malangnya, diam itu juga menyebabkan pendapat mereka tidak masyhur dan ramainya seolah-olah sedikit bahkan tiada. 25 Akhirulkalam Walhasil, fatwa Dr. Asri silap. Pertama, silap kerana mengharuskan muzik. Kedua, kerana mengharuskan nyanyian wanita merdeka. Pendapat yang benar adalah pendapat yang mengharamkan muzik secara umum dengan mengecualikan kompang serta kaul yang melarang wanita bernyanyi sehingga didengari lelaki asing kecuali hamba pada hari raya dan majlis perkahwinan. Kesilapan dalam bentuk teori ini telah pun menjalar ke dalam dunia realiti. Pengikut-pengikut Dr. Asri ramai dan mereka pasti akan menuruti beliau. Akhirnya, berapa ramai kaki-kaki masjid terjebak ke dalam hiburan. Tiap-tiap ketika bersama lagu. Lagu, lagu, dan lagu. Lagu yang berunsurkan agama, dinamakannya ‘nasyid’. Maka, berlambak-lambaklah nasyid di luar sana. Ramai yang ketagih. Seakan-akan Islam agama nasyid. Agama hiburan. Wanita tidak terkecuali, turut dilibatkan sama. Kalau dahulu hamba-hamba perempuan menjadi penghibur, sekarang anak-anak dara kawan pula. Dengan sedikit goyangan pada tubuh, menyanyilah gadis-gadis bertudung labuh dalam festival nasyid peringkat negeri di hadapan ustaz-ustaz bersongkok hitam. Tidak cukup dengan itu, wanita dibenarkan pula mengalunkan bacaan al-Quran di khalayak umum dengan suara yang mendayu-dayu. Entah, mungkin esok akan ada pertandingan azan dan iqamat kepada para Muslimah. Sebenarnya, Dr. Asri tidak dipersalahkan dalam hal ini semata-mata kerana mengikut pandangan Syeikh al-Qaraḍāwī yang ganjil ini tetapi kerana beliau memilih untuk membutakan mata, terpesona dengan pendapat-pendapat beliau sehingga tidak mampu menilai yang mana benar yang mana tidak. Pada hari ini, bukan Dr. Asri seorang sahaja yang terjebak dalam ketaasuban kepada manhaj taysīr moden bawaan beliau, malah ramai lagi tokoh-tokoh lain terpalit sama. Di atas kertas, mereka menolak fanatik kepada tokoh dan aliran tetapi pada hakikatnya adalah sebaliknya. 26 Saya faham, sebenarnya apa yang menyebabkan Dr. Asri tegar dengan pendiriannya yang condong ke arah al-Qaraḍāwī dan taysīr moden adalah kerana jasa sebahagian besar agamawan yang keterlaluan dalam bermazhab sampai membelakangkan roh Islam yang sebenar. Selain itu, hujahan orang kepada al-Qaraḍāwī mendorong beliau untuk mempertahankan gurunya itu. Semakin disanggah, semakin dikasihi. Itulah secara psikologinya. Dr. Asri tidak boleh lari. Beliau manusia. Tambahan pula, rudūd yang muncul dan sempat dibaca oleh beliau keterlaluan sikapnya sehingga nampak jelas seperti mencari-cari kesalahan orang. Itulah yang menambah cinta Dr. Asri kepada al-Qaraḍāwī. Tetapi, itu bukan alasan untuk mewajarkan kesilapan. Kesilapan adalah kesilapan dan perlu diperbetulkan. Siapa sahaja, sebesar mana pun tokoh, sehebat mana pun ia, jika salah tetap salah. Sesungguhnya, al-ḥaqq la yu’rafu bi-al-rijāl: kebenaran tidak boleh dicam berdasarkan orangnya. Saya nasihatkan Dr. Asri supaya kembali kepada kebenaran sebelum manusia makin rosak dan beliau menjadi pendosanya. Mungkin Dr. Asri tidak nampak kekuatan pendapat lawan tetapi dalam sesetengah keadaan, apabila terdapat maslahat kita boleh memilih untuk memfatwakan dengan yang lebih keras. Inilah yang dinamakan sadd al-dharā‘i’, Dr. Asri lebih tahu. Fiqh al-wāqi’ juga bertutur mengeyakan hal ini. Panorama dunia jelas menunjukkan fatwa yang silap itu telah menjauhkan jutaan manusia daripada taat dan mendekatkan kepada maksiat. Usah berdalih dengan bilangan pemeluk Islam atau orang yang berubah kerana nasyid bermuzik dan nyanyian wanita yang sedikit itu, kita bercakap tentang realiti. Cuba Dr. Asri ke sekolah-sekolah agama, masuk ke fakulti-fakulti syariah, lihat apa yang menjadi teman penghibur mereka. Apakah ini yang Islam ajarkan? Mereka bukan mendengar nasyid sahaja, bahkan meratai segala jenis lagu termasuk lagu-lagu yang pastinya akan diharamkan oleh al-Qaraḍāwī sendiri kalau beliau tahu apa liriknya. 27 Melodinya pun sumbang, tiada ketenangan. Semua ini melalaikan. Apabila dikatakan kepada mereka, Islam menegah perkara ini; mereka akan menjawab, ada ulama membolehkannya. Dr Asri, adakah anda ingin termasuk dalam ulama itu? Saya memandang jelik kepada mereka yang selalu mengumandangkan kalimat taysīr, fiqh al-wāqi’, maqāṣid al-sharī’ah, dan fiqh mu’āṣir bagai. Mereka sebenarnya tidak tahu apa-apa tentang semua ilmu tersebut. Sebab itu, kesan fatwa yang mereka keluarkan buruk sekali yang akhirnya mereka terpaksa menekankan syarat-syarat sampingan seperti tidak melalaikan, bebas daripada hawa fitnah, mestilah bersesuaian dengan sekian, tidak sekian, dan mestilah sekian-sekian. Pada masa itu, tidak ada seorang pun yang mendengarnya. Semuanya ralik dengan apa yang mereka fatwakan sebagai harus itu. Ingat, kiamat sudah dekat. 28 Kesimpulan Di bawah ini saya butirkan kesimpulan-kesimpulan daripada perbahasan tadi secara ringkas. 1. Dr. Asri berpandangan, muzik dan nyanyian wanita zatnya adalah harus di sisi Islam. 2. Jumhur ulama berpendapat bahawa muzik adalah haram pada zatnya melainkan kompang dan seumpamanya yang dimainkan pada waktu-waktu tertentu. 3. Pendapat yang masyhur dalam kalangan ulama adalah mengharamkan nyanyian wanita dewasa sama ada wanita itu merdeka atau hamba secara mutlak. 4. Pendapat segelintir ulama adalah mengharuskan nyanyian hamba wanita. 5. Dr. Asri menolak pengkhususan hari raya sebagai waktu dibenarkan berhibur dengan paluan kompang oleh jumhur dengan menganggap tidak logik apa yang didakwa sebagai ‘seruling syaitan’ itu diharuskan pula pada waktu-waktu tertentu dan boleh menjadi haram semula selepas itu. 6. Dr. Asri menggunakan salah satu riwayat hadis ’Ā‘ishah RA untuk menyokong pandangan beliau dengan menterjemahkan qaynatān dalam riwayat tersebut dengan ‘dua penyanyi wanita’ dan menjadikan teguran Rasulullah SAW kepada jerkahan Abū Bakr RA sebagai hujah utama bagi pandangannya. 7. Penolakan beliau terhadap pengkhususan itu dijawab dengan kaedah uṣūl al-fiqh iaitu nas jelas-jelas menunjukkan hari raya sebagai ’illah keharusan selain dijawab dengan ‘zina mata’ yang diharuskan pula ketika meminang. 8. Terjemahan ‘penyanyi wanita’ dihujahkan dengan menggunakan bahasa Arab yang berdasarkan kamus-kamus besar menunjukkan terjemahan yang sebetulnya adalah penyanyi wanita daripada kalangan hamba atau seumpamanya. 9. Selain itu, terjemahan Dr. Asri disanggah pula dengan menggunakan riwayat lain yang menggunakan lafaz jāriyatān yang mempunyai makna sepadan dengan jāriyatān iaitu hamba perempuan. 29 10. Kebanyakan ulama mentakwilkan jāriyatān dengan kanak-kanak perempuan yang belum baligh berdasarkan salah satu maknanya selain umur ’Ā‘ishah yang ketika itu masih kanak-kanak. 11. Pandangan tersebut ditolak kerana jāriyatān juga mempunyai makna lain. Dakwaan ’Ā‘ishah pada waktu tersebut masih kecil juga diragui. 12. Pandangan yang terpilih dalam masalah nyanyian perempuan adalah pandangan yang mengharuskan nyanyian hamba perempuan pada waktu-waktu tertentu kerana terjemahan yang paling tepat bagi qaynatān dan jāriyatān adalah hamba perempuan.
Posted on: Sun, 21 Jul 2013 16:14:31 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015