100 TAHUN ENAKMEN REZAB MELAYU Oleh: SHAHROM MD - TopicsExpress



          

100 TAHUN ENAKMEN REZAB MELAYU Oleh: SHAHROM MD ARIFFIN Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa pada tahun 2013 ini, genaplah 100 tahun Enakmen Tanah Rizab Melayu (ERM) dikuatkuasakan. Walaupun undang-undang ini diluluskan pada akhir tahun 1913, tetapi mengikut sejarah, kronologi peristiwa-peristiwa penting kearah penggubalan ERM bermula lebih awal lagi sebelum 1913. Begitu juga dengan tarikh perlaksanaan undang-undang Tanah Rizab Melayu. Langkah mengistiharkan kawasan Tanah Rizab Melayu (TRM) di Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan) hanya mula dilaksanakan pada tahun 1914 dan tahun-tahun berikutnya memandangkan proses mewartakan kawasan terlibat mengambil masa dan memakan belanja yang banyak. Tambahan pula sehingga tahun 1920, proses perlaksanaan terbantut apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama di Eropah menyebabkan perancangan penjajah Inggeris di Tanah Melayu tertangguh. Mengikut rekod, perlaksanaan awal pengistiharan kawasan TRM di Negeri-negeri Bersekutu berlaku agak perlahan dan tidak serancak tahun-tahun 1920an. Menurut sejarah, usaha kearah wewujudkan undang-undang TRM di negeri-negeri Melayu bermula semenjak tahun 1891 lagi. Residen Selangor dimasa itu, W.E. Maxwell, telah pun wewujudkan Kanun Tanah Selangor 1891 yang mana terdapat didalamnya peruntukan undang-undang yang memberi jaminan hakmilik tanah yang kekal bagi tanah-tanah adat dan memelihara kepentingan pemilik orang Melayu daripada tergadai dan dijual kepada orang bukan Melayu. W.E.Maxwell juga merupakan Pesuruhjaya Tanah Negeri-negeri Selat yang memainkan peranan utama dalam pembentukan satu undang-undang tanah yang lebih sistematik di negeri-negeri Melayu selepas tahun 1897 berpandukan Sistem Torrens yang dikaji oleh beliau di Australia. Sistem Torrens adalah satu sistem pendaftaran hakmilik tanah yang diasaskan oleh Sir Robert Torrens semasa beliau menjadi Ketua Pemungut Kastam di Pelabuhan Adelaide, Australia Selatan. Sistem inilah yang masih diguna pakai dalam sistem pentadbiran dan undang-undang tanah negara (Kanun Tanah Negara) hingga kehari ini. Usul kearah mengenakan sekatan terhadap pajakan tanah orang Melayu kepada orang bukan Melayu telah dibawa oleh Pemangku Residen Perak, Edward Lewis Brockman Campbell dalam persidangan Residen-residen pada 1908. Cadangan beliau disokong oleh Residen Negeri Sembilan Douglas Graham yang juga mencadangkan supaya kawasan rizab Melayu diwujudkan bagi kawasaan-kawasan perkampungan orang Melayu. Tetapi cadangan Campbell tidak dipersetujui oleh Residen-General Sir William Taylor atas alasan menurunkan nilai tanah orang Melayu. Hanya dua tahun kemudian masalah kehilangan hakmilik tanah orang Melayu kembali dibincang secara lebih serius sehinggalah ERM digubal pada tahun 1913. Namun begitu, yang pentingnya disini penulis cuba membawa kembali orang Melayu mengimbas kembali tentang sejarah ERM bagaimana undang-undang berkenaan boleh diwujudkan di Semenanjung Tanah Melayu hampir seabad yang lalu dan menilai kesan dan implikasi undang-undang berkenaan kepada kedudukan sosio-ekonomi orang Melayu selepas perlaksanaan undang-undang berkenaan sehingga hari ini. Adalah tidak sukar bagi kita untuk mengetahui tentang sejarah penggubalan undang-undang ERM memandangkan sudah banyak buku-buku, artikel dan kajian ilmiah oleh mereka yang wewakili bidang pengajian undang-undang, sosiologi dan ekonomi telah dibukukan dan didokumentasikan. Semuanya pasti menyentuh perkara pokok sejarah penggubalan undang-undang ERM ia-itu tentang tujuan dan kenapa undang-undang ERM diwujudkan di Semenanjung Tanah Melayu seabad yang lalu dalam penulisan maupun kajian literatur mereka. Ringkasnya, undang-undang ERM digubal bertujuan menjaga kepentingan hakmilik tanah orang Melayu dimasa itu. Tindakan ini dilihat perlu disebabkan trend kehilangan hakmilik tanah orang Melayu yang semakin meningkat sebelum tahun 1913 lagi, berpunca dari bebanan hutang dan penjualan tanah-tanah kepada bukan Melayu berlaku diluar rasional ekonomi. Keadaan yang begitu membimbangkan telah menarik perhatian penjajah Inggeris lantas mencadangkan satu instrumen undang-undang perlu digubal bagi mengawal dan menyekat perkembangan yang tidak sihat terus berlaku dan mengancam kedudukan orang Melayu dari segi sosio-ekonomi dan politik. Pada keseluruhannya, undang-undang ERM bertujuan menghalang sebarang perpindahan hakmilik orang Melayu kepada orang bukan Melayu dan sebarang urusniaga tanah dalam Kawasan Rizab Melayu hanya sah dijalankan dengan orang Melayu sahaja. Bagi sebuah kehidupan, usia 100 tahun adalah lama. Banyak pengalaman tentang liku-liku hidup dan banyak peristiwa telah diharungi. Begitu juga bagi sebuah undang-undang yang digubal oleh manusia untuk manusia yang berbeza asal usulnya, bangsa, ugama, budaya, amalan dan gaya kehidupan antara mereka. Pasti ada cacat celanya. Banyak isu dan cabaran yang dilalui sepanjang 100 tahun ERM dilaksanakan. Sehingga hari ini, kedudukan TRM dalam sosio-ekonomi orang Melayu dan negara amnya masih goyah dan banyak persoalan yang belum terjawab malah kekal status quonya dari dulu hingga sekarang. Pun begitu, sepanjang 100 tahun, ada juga beberapa pindaan keatas ERM yang telah dilakukan. Namun pindaan lebih kepada mengukuhkan lagi “pagar” perlindungan keatas hakmilik TRM. Seperti pindaan yang dibuat pada tahun 1933 adalah lebih kepada menutup lubang-lubang yang menyebabkan kebolosan urusniaga seperti pajakan, cagaran, lien dan surat kuasa wakil yang masih berlaku antara pemilik TRM dengan orang bukan Melayu. Hingga kehari ini pun urusniaga sedemikian masih berlaku secara tersembunyi tanpa ada hurmat kepada keluhuran perlembangan atas nama kemajuan. Urusniaga secara “Ali-Baba” sudah lama dijalankan antara orang Melayu dan orang Cina dalam perniagaan termasuk urusniaga yang melibatkan TRM. Hakikatnya, ada kalangan orang Melayu sendiri samada generasi dulu maupun sekarang yang tidak menyokong dan tidak dapat menerima undang-undang TRM yang dianggap sebagai penjara kepada kehidupan orang Melayu. Bukan itu saja, malah mereka melihat ERM sebagai undang-undang lapuk dan ketinggalan zaman, warisan penjajah, disinsentif, mendiskriminasikan orang Melayu dari kemudahan kredit, mengekang kemajuan ekonomi orang Melayu, TRM sebagai aset beku , bernilai rendah dan merugikan orang Melayu. Pada peringkat awal cadangan deraf ERM lagi, sudah bermula tentangan dan kritikan oleh mereka yang berkepentingan samada orang bukan Melayu maupun orang Melayu sendiri. Mereka mempertikaikan kewajaran diwujudkan kawasan TRM terutamanya dari segi rasional ekonomi, jika dilaksanakan akan memberi masalah dan menjadi disinsentif kepada orang Melayu sendiri. Mereka juga berpandangan, pewujudan TRM yang diuar-uarkan oleh penjajah Inggeris adalah bercanggah dengan sistem ekonomi pasaran laissez-faire yang mereka pelopori dalam pemerintahan mereka. Dengan mengenakan sekatan penjualan dan urusniaga keatas tanah-tanah orang Melayu ianya akan menutup ruang perekonomian orang Melayu dibumi mereka sendiri, sedangkan ekonomi negeri-negeri Melayu semasa itu sudah begitu rancak kemajuannya dibawah sistem kapitalis penjajah yang dipacu oleh industri perlombongan bijih timah dan perladangan getah. Nada yang sama juga masih kita dengar hari ini bila dikaitkan kesan dan implikasi TRM keatas perekonomian orang Melayu. Dengan arus pemodenan dan struktur ekonomi negara yang sudah berubah, mereka yang pro-liberalisasi pastinya tidak menyokong apa bentuk sekatan dan halangan dalam urusniaga perdagangan atas nama ekonomi tanpa sempadan. Setelah berakhirnya penjajahan Inggeris dan negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, undang-undang ERM masih kekal dilaksanakan di setiap negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan ERM masing-masing hingga kehari ini kecuali bekas negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka tiada undang-undang ERM dilaksanakan. Walaupun terdapat beberapa pindaan kecil bagi menyesuaikan TRM dengan keadaan politik dan ekonomi semasa, seperti membolehkan TRM digunakan bagi mendapatkan kemudahan kredit dan pinjaman, namun TRM masih kekal sebagai hak istimewa orang Melayu dan kedudukan ini diperakukan dan diperkukuhkan lagi oleh Perlembagaan Persekutuan melalui artikel 89. Terdapat juga beberapa pindaan kecil yang dibuat bagi menyesuaikan TRM dengan keadaan politik dan ekonomi semasa, seperti membolehkan TRM digunakan bagi mendapatkan kemudahan kredit dan pinjaman, namun masalah ini masih berkekalan hingga kehari ini. Pihak bank masih mengamalkan syarat-syarat yang ketat dalam pemberian pinjaman kepada orang Melayu bercagarkan TRM. Masalah ini ditambah lagi dengan amalan penilaian yang stereotaip oleh para pakar penilaian hartanah yang mengkategorikan TRM sebagai aset kelas kedua dimana nilai pasaran TRM kurang antara 20% – 30% berbanding nilai pasaran tanah bukan TRM. Sudahlah dinilai rendah, pihak bank pula akan memberikan nisbah pinjaman ke nilai pasaran tanah (LVR ratio) yang rendah antara 50-60% sahaja. Seperti masalah yang pernah disuarakan oleh Persatuan Pemaju Hartanah Melayu Malaysia (PPHMM) bahawa pihak bank masih mengenakan syarat-syarat yang terlalu ketat bagi para pemaju Melayu memohon pinjaman untuk memajukan TRM. Tindakan ini menyebabkan ramai pemaju Melayu tidak dapat meneruskan cadangan pembangunan kerana kekurangan modal sehingga ada yang terpaksa lepaskan kepada pemaju bukan Melayu secara usahasama atau secara “Ali-Baba”. Namun begitu, seperkara yang begitu membimbangkan sejak 1940an lagi ialah trend penyusutan keluasan fisikal TRM yang semakin meningkat. Semasa tahun 1940an, industri perlombongan bijih timah telah banyak mengorbankan TRM. Begitu juga pada zaman darurat 1950an, pencerobohan keatas TRM terus berlaku bagi memenuhi keperluan penempatan semula masyarakat Cina disebabkan ancaman komunis dengan mewujudkan Kampung Baru. Pada tahun 1952, sebanyak 400 Kampung Baru telah diwujudkan di seluruh Semanjung Tanah Melayu, kebanyakannya di Perak dan Selangor. Selepas merdeka, trend penyusutan TRM masih meningkat terutamanya selepas Akta Pengambilan Tanah 1960 dikuatkuasakan. Bagi memenuhi keperluan pembangunan ekonomi yang semakin meningkat, kerajaan terpaksa mengambil balik tanah yang diberimilik secara paksa termasuklah TRM bagi tujuan awam seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 3 Akta berkenaan. Trend penyusutan TRM ada kaitannya dengan trend pembangunan ekonomi negara yang meningkat sejak 1970an lagi. Menurut rekod perangkaan resmi, keluasan TRM di seluruh Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1970 hanya tinggal 1,757,884 hektar sahaja berbanding keluasan tahun 1947 iaitu 2,432,790 hektar. Kebanyakan TRM dibatalkan selepas merdeka terutamanya apabila Akta Pengambilan Tanah 1960 dikuatkuasakan. Perangkaan terakhir TRM pada tahun 1982 menunjukkan keluasan TRM tinggal 1,752,293 hektar. Sehingga kini tiada perangkaan resmi mengenai keluasan TRM yang masih tinggal selepas lebih 50 tahun negara merdeka, walaupun ada angka tidak resmi yang mengatakan keluasan TRM yang pada asalnya 3.7 juta hektar kini tinggal lebih kurang 1.7 juta hektar sahaja. Jumlah keluasan TRM yang diganti akibat pengambilan balik tanah oleh pihak berkuasa negeri juga tiada dalam rekod perangkaan resmi untuk dijadikan rujukan sahih. Tetapi dengan melihat kepada trend pembangunan ekonomi yang begitu pesat berlaku dalam negara antara tahun 1980an hingga kini, serta jumlah kes pengambilan balik tanah yang meningkat, terutama setelah pindaan yang ketara dibuat keatas peruntukan Seksyen 3 (b) Akta berkenaan pada tahun 1991 yang membuka ruang kepada ‘penswastaan’, tidak keterlaluan untuk kita membuat kesimpulan bahawa TRM juga turut terlibat dengan keluasan yang besar bagi memenuhi tujuan tersebut. Hakikatnya pindaan keatas Seksyen 3(b) Akta Pengambilan Tanah 1960 tersebut telah membuka pintu kepada pihak swasta melalui kuasa pihak berkuasa negeri mendapatkan tanah untuk projek pembangunan berunsur komersil. Seperti yang dilaporkan oleh pihak media, kes-kes pengambilan balik tanah bagi tujuan pembangunan berkenaan melibatkan keluasan TRM yang agak besar dan banyak menimbulkan isu dan kontroversi. Amat malang sekali jika tanah yang diambil bagi tujuan itu merupakan TRM yang akan terbatal statusnya tetapi tidak diganti seperti yang dituntut oleh Artikel 89 Perlembagaan Persekutuan. Banyak yang boleh dipelajari dari 100 tahun perlaksanaan ERM. ERM diwujudkan pada tahun 1913 dan dipinda pada tahun 1933 dengan tujuan dan matlamat asalnya memelihara kepentingan pemilik tanah orang Melayu supaya tidak terlepas ke tangan orang bukan Melayu. Walaupun punca utama kepada masalah tanah orang Melayu tergadai dan dijual kepada orang bukan Melayu pada ketika itu ialah kerana kedudukan struktur ekonomi orang Melayu yang lemah dan tidak effisyen, ERM hanyalah undang-undang memelihara hak orang Melayu tetapi bukan satu polisi atau rancangan kearah menyelesaikan masalah ekonomi orang Melayu ketika itu. Penjajah Inggeris tidak menyokong perlaksanaan ERM dengan sebarang polisi ekonomi kearah membasmi kemiskinan dan meningkatkan keupayaan dan kecekapan ekonomi orang Melayu. Sebaliknya penjajah Inggeris terus mengamalkan dasar “pecah dan perintah” dan sistem “dwi-ekonomi” dengan mengekalkan kedudukan orang Melayu dalam struktur ekonomi asal pertanian traditional yang tidak effisyen dan serba kekurangan didalam habitat asal mereka sedangkan penjajah Inggeris, orang Cina dan India lebih aktif dalam struktur ekonomi kapitalis yang lebih menguntungkan dalam industri perlombongan dan perladangan getah yang pesat berkembang ketika itu. Walaupun orang Melayu dimasa itu dikatakan mengalami masalah sikap dan sukar ditransformasikan kedalam struktur ekonomi yang lebih mencabar, tiada langkah diambil oleh penjajah Inggeris kearah meorientasikan, membimbing, melatih dan meintegrasikan orang Melayu dalam dunia ekonomi yang dimonopoli mereka. Hakikatnya, apa yang mereka lakukan adalah agenda geopolitik yang sengaja dirancang bagi memelihara dan mengekalkan regim imperialisme di negeri-negeri Melayu dan rantau Asia amnya. 100 tahun telah berlalu, zaman pun sudah berubah, malangnya orang Melayu masih membicarakan tentang masalah TRM dan jalan penyelesaian yang tiada penghujungnya. Masalah TRM berkaitan dengan hakmilik, guna tanah, lokasi, saiz, kemudahan kredit & pembiayaan, sikap dan campurtangan politik merupakan masalah TRM dari dulu hingga sekarang. Persoalannya apakah masalah-masalah ini akan berterusan menjadi salah satu warisan bangsa Melayu dari abad keabad? Seperti kata-kata hikmah peninggalan Allahyarham Profesor Datuk Dr. Nik Abdul Rashid Nik Abdul Majid bekas Pengarah Institut Teknologi MARA (ITM) …“ERM adalah tanda kasih sayang yang ditinggalkan oleh datuk kita sebagai amanah untuk dipelihara dan diperturunkan kepada generasi anak-cucu kita. TRM adalah amanah. Kita adalah pemegang amanah TRM”. Kita perlu terima hakikat bahawasanya ERM sudah menjadi undang-undang yang terus kekal sebagai warisan Melayu kerana ianya digubal khas untuk orang Melayu dan dikukuhkan lagi oleh Perlembagaan Persekutuan. Hanya orang Melayu sahaja yang menjadi pelindung kepada ERM dari dipinda atau dimansuhkan dengan kuasa politik yang ada. Maka sewajarnyalah orang Melayu yang memelihara, memajukan dan memakmurkan TRM sebagai pemegang amanah dan bakal diwarisi oleh generasi Melayu akan datang sebagai aset yang kekal bernilai dan bermanfaat kepada mereka. Sebagai pemegang amanah kita tidak boleh lagi membiarkan TRM kekal ‘status quo’ tanpa memikirkan dan membuat sesuatu untuk memajukan dan memakmurkan TRM demi kebaikan ummah. Tanah adalah anugerah Allah yang terbaik yang tidak boleh disia-siakan. Sudah menjadi tanggung jawab kita mencari formula yang terbaik dan pendekatan yang efektif merungkai segala kekosotan kearah memajukan TRM. Perlu ada kesedaran dan perlu ada sokongan padu dari pemerintah dan agensi dari semua peringkat untuk memajukan TRM diseluruh negara. Perlu dirangka pelan induk yang komprehensif bagi setiap negeri dan pewujudan agensi atau institusi khas atau badan amanah yang akan memelihara, memajukan dan memakmurkan TRM. Penulis: Shahrom Md. Ariffin (MRICS, MRISM) ialah Pensyarah Kanan Ekonomi Hartanah, Fakulti Senibina, Perancangan & Ukur, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. E-mel: shahromariffin@yahoo
Posted on: Sun, 27 Oct 2013 08:50:31 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015