12 peti wang lesap Kota Bharu: Sekumpulan penjenayah mengambil - TopicsExpress



          

12 peti wang lesap Kota Bharu: Sekumpulan penjenayah mengambil kesempatan melarikan wang tunai berjumlah RM667,905 dengan memecah tiga mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dalam premis menempatkan mesin ATM sebuah bank di Chabang Tiga, Pengkalan Chepa, di sini, beberapa jam selepas orang ramai menanti detik menyambut ulang tahun kemerdekaan negera ke-56, awal pagi semalam. Dalam kejadian dipercayai jam 3 pagi, penjenayah dipercayai memecah masuk bangunan kosong di belakang premis mesin ATM itu dengan memotong jeriji pintu sebelum mematikan alat penggera dan memecah bahagian belakang mesin ATM menggunakan beberapa peralatan, termasuk gas oxy-acetylene. Kejadian disedari kakitangan syarikat kawalan keselamatan yang memeriksa mesin ATM sebelum melaporkan kepada polis, jam 7.30 pagi. Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, kumpulan penjenayah profesional itu dipercayai sudah lama merancang melarikan wang daripada mesin ATM berkenaan selepas melakukan perancangan teliti. Katanya, siasatan awal mendapati wang tunai di 12 peti daripada tiga mesin ATM berjumlah RM667,905 itu lesap, namun sebuah lagi mesin deposit tunai CDM tidak dipecahkan. “Hasil siasatan awal mendapati jenayah ini dilakukan penjenayah profesional dan mempunyai kemahiran menggunakan gas oxy. “Kita akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan siasatan secara menyeluruh akan dilakukan, termasuk meneliti kandungan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan penjenayah ditangkap secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Menurutnya, orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan polis. Mengenai kemungkinan kejadian itu ada kaitan dengan kes pecah mesin ATM di Jalan Masjid Lama, Pasir Mas, 1 Jun lalu, dan turut membabitkan Geng Oxy yang aktif melakukan jenayah pecah mesin ATM, Mazlan berkata, ia masih dalam siasatan. Bagaimanapun, katanya, dalam kejadian di Pasir Mas, modus operandinya berbeza kerana mesin ATM dipecahkan di bahagian depan. “Kita akan melakukan siasatan terperinci, termasuk kemungkinan pembabitan orang dalam atau turut membabitkan Geng Oxy,” katanya. Akhbar pada 2 Jun lalu melaporkan, sekumpulan penjenayah melarikan wang berjumlah RM217,950 di mesin ATM sebuah bank di Jalan Masjid Lama, Pasir Mas. Dalam kejadian itu, penjenayah dikatakan turut menggunakan kain rentang untuk menutup bahagian cermin berhampiran ATM terbabit ketika melakukan kegiatan mereka.HM
Posted on: Sun, 01 Sep 2013 06:15:09 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015