62 Geran Komunal dikeluarkan sehingga 31 Mei tahun ini: - TopicsExpress



          

62 Geran Komunal dikeluarkan sehingga 31 Mei tahun ini: Musa 200613-lead-2 BERSALAMAN ... Musa (kiri) bersalaman dengan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebaik tiba untuk persidangan DUN kelmarin. 20th June, 2013 KOTA KINABALU: Jumlah keseluruhan Geran Komunal yang dikeluarkan sehingga 31 Mei tahun ini ialah sejumlah 62 geran dengan keluasan 83,552 ekar, melibatkan seramai 8,115 benefisiari dan 155 kampung. Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, daripada 62 geran itu, sebanyak empat kawasan iaitu Lalampas, Tongod dan kawasan Ponguloban I, Ponguloban II dan Kabintaluan Tenom terlibat dengan Projek Agropolitan yang dilaksanakan oleh Sabah Land Development Board (SLDB). Beliau berkata, ia bertujuan untuk pembangunan ladang sawit dan ladang getah secara usaha sama. “Kawasan itu merangkumi keluasan 18,126 ekar dan melibatkan seramai 1,780 orang benefisari,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Bumburing (PKR-Tamparuli) pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini kelmarin. Bumburing bertanya sama ada benar para pemilik dan penduduk di atas tanah dalam “Community Title” dimestikan untuk menandatangani “Joint Venture Agreement” dengan SLDB dan sama ada nama-nama pemilik tanah tersebut disenaraikan dalam geran komuniti berkenaan. Musa berkata tiada paksaan untuk membangunkan secara usahasama ke atas mana-mana Geran Komunal yang telah didaftarkan. “Usahasama untuk membangunkan kawasan Geran Komunal hanya boleh dilaksanakan sekiranya kedua-dua pihak iaitu benefisari dan pemaju (agensi kerajaan atau swasta) bersetuju dan tertakluk kepada kelulusan Ketua Menteri. “Nama-nama yang terpilih dicatatkan sebagai benefisiari dalam Geran Komunal berkenaan,” katanya. Beliau berkata, Geran komunal yang telah didaftar akan dibangunkan secara terancang supaya memberi pulangan optima kepada benifisiari dan untuk mencapai objektif berkenaan jawatankuasa pembangunan tanah geran komunal ditubuhkan di daerah yang berkenaan. Katanya, Geran Komunal yang pertama dan kedua dikeluarkan pada 27 Mei 2010 dengan keluasan masing-masing 3,000 ekar dan 6,000 ekar melibatkan 444 benefisiari dan merangkumi 22 kampung di daerah Nabawan, Pensiangan. “Manakala Geran Komunal ketiga pula dikeluarkan pada 2 Feb 2011 dengan keluasan 9,120 ekar melibatkan 1,022 benefisiari dan merangkumi 16 kampung di Lalampas Tomgod. “Bagi Geran Komunal yang keempat, kelima, keenam dan ketujuh, ia dikeluarkan pada 30 Jun 2011 dengan keluasan masing-masing 4,447 ekar, 6,313 ekar, 2,223 ekar dan 470 ekar yang melibatkan 1,195 benefisiari dan merangkumi 27 kampung di daerah Tenom,” katanya. Musa berkata, antara objektif pengeluaran Geran Komunal ialah mempercepatkan proses pengeluaran hakmilik tanah jenis Native Title (NT)/ Field Register (FR) kepada Anak Negeri Sabah secara berkelompok, melindungi kepentingan anak negeri Sabah ke atas tanah kerajaan di sekitar kawasan perkampungan anak negeri, menyelesaikan isu tanah hak adat Anak Negeri Sabah, menyelesaikan isu pertindihan permohonan tanah, memastikan anak negeri Sabah tidak menjual hak dan kepentingan tanah dan membasmi kemiskinan melalui pemberimilikan tanah yang terancang dan pembangunan tanah yang optima. “Bagi memastikan pengeluaran Geran Komunal dilaksanakan dengan lebih berkesan, kerajaan negeri menetapkan dasar, mekanisme, prosedur dan kaedah pemilihan peserta atau benefisari sebagai panduan pengeluaran Geran Komunal. “Selain itu, dasar kerajaan dalam pengeluaran geran komunal ialah ketua menteri boleh memberi sanksi (sanction) ke atas mana-mana tanah kerajaan yang telah dirancang dan diperakukan untuk pengeluaran Geran Komunal di bawah pindaan Seksyen 76 Ordinan Tanah (Bab 68 Sabah). “Geran Komunal merupakan syarat khas kepada geran NT/FR. Hanya anak negeri yang ditakrifkan di bawah Ordinan Interpretasi anak negeri Bab 64 yang layak menjadi benefisari kepada Geran Komunal,” katanya. Musa berkata, Pemungut Hasil Tanah adalah pemegang amanah kepada Geran Komunal, nama setiap benefisari tercatat dalam Geran Komunal, premium dan sewa tanah tidak dikenakan ke atas geran komunal. “Penambahan, penyingkiran dan penggantian (termasuk tuntut waris) benefisari hanya boleh dilakukan melalui siasatan terperinci oleh penolong pemungut hasil tanah daerah berkenaan dan tertakluk kepada kelulusan pengarah tanah dan ukur. “Geran komunal boleh (tidak diwajibkan) dibangunkan secara usahasama (melalui surat perjanjian) dengan agensi ekrajaan atau swasta tertakluk kepada persetujuaan ketua menteri. “Geran komunal tidak boleh dipindahmilik atau dicagar. Geran komunal boleh dipecah bahagi kepada lot individu sekiranya peserta ingin membangunkan sendiri tanah terbabit. lot individu berkenaan boleh dikeluarkan geran selepas lima tahun dari tarikh ia dibangunkan sepenuhnya tertakluk kepada disanksi oleh pemungut selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 77 Ordinan Tanah,” katanya. Beliau berkata, perancangan pengeluaran geran komunal ke atas tanah kerajaan yang telah dikenalpasti sesuai akan diproses di peringkat penolong pemungut hasil tanah daerah yang berkenaan mengikut prosedur yang ditetapkan. Katanya, bagi memastikan pemprosesan dijalankan dengan telus, berkualiti dan berintegriti empat jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Khas Penggunaan Tanah Daerah, Jawatankuasa Penapisan Tanah Daerah, Jawatankuasa Pemilihan Peserta Geran Komunal dan Jawatankuasa Kampung.
Posted on: Sun, 23 Jun 2013 01:21:00 +0000

Trending Topics



the-classic-Think-and-Grow-Rich-Napoleon-Hill-directs-the-topic-10152916549318708">In the classic Think and Grow Rich, Napoleon Hill directs the

Recently Viewed Topics




© 2015