ADUAN USAHAWAN WANITA BUMIPUTRA DITINDAS, DIDISKRIMINASI, - TopicsExpress



          

ADUAN USAHAWAN WANITA BUMIPUTRA DITINDAS, DIDISKRIMINASI, DIPERLEKEH DAN DITAMATKAN PENYEWAAN OLEH SURIA KLCC 1. Saya Sherifah Binti Salim dari Kuala Lumpur merupakan Usahawan Wanita Bumiputra yang lahir daripada Program Pembangunan Francais, Jabatan Perdana Menteri yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1993. Program ini kemudian diselia oleh Kementerian Pembangunan Usahawan sehinggalah Kementerian berkenaan dimansuhkan. 2. Berasal sebagai anak kepada ibu saya Hajah Fatimah Hassan yang merupakan peniaga kecil di Pasar Minggu Kampung Baru pada tahun 1960an hingga 1980an, saya memulakan perniagaan pada April 1994 sebagai pemilik tunggal Foto Point dalam bidang peruncitan kedai foto dan kamera dan kini sudah 18 tahun berniaga. 3. Melalui Program Pembangunan Francais berkenaan, pihak Kerajaan telah membantu saya memperolehi kemudahan pembiayaan dan bimbingan pengurusan perniagaan hingga saya mampu berdikari dan berjaya dalam bidang yang mana penyertaan Bumiputra amat terhad dan mencabar. 4. Apabila Kompleks Membeli-Belah Suria KLCC dibuka pada tahun 1998 dalam suasana kegawatan ekonomi tersangat runcing ketika itu, saya merupakan di antara segelintir penyewa pertama yang mengambil risiko besar membuka perniagaan di Suria KLCC. Sampai sekarang saya sudah 14 tahun berniaga di Kompleks tersebut. 5. Selama tempoh penyewaan, kadar sewa sentiasa dinaikkan iaitu sekitar 30% setiap kali sewa diperbaharui. Malah untuk tempoh kontrak sewa 5 tahun terakhir dari 2007 hingga 2012 kos sewa disyaratkan naik pada setiap tahun. Sewa kedai saya sekarang ialah kira-kira RM22,500 sebulan untuk ruang kira-kira 300 kaki persegi, berbanding RM7,500 sebulan pada 1998. 6. Walaupun dikena sewa begitu tinggi tanpa sebarang keistimewaan dari pihak Suria KLCC, saya terus bertahan dan berdaya maju sambil membuktikan bahawa Wanita Bumiputra juga mampu berjaya sepertimana peniaga lain apabila diberi peluang berniaga di megamall yang gah seperti Suria KLCC. Oleh itu, aduan saya bukan tertumpu kepada kadar sewa yang tinggi. 7. Aduan saya adalah mengenai tindakan Pengurusan Suria KLCC yang kini enggan menyambung penyewaan saya yang akan tamat pada 30hb September 2012. Mereka memberi alasan amat tidak munasabah iaitu dengan sengaja memanipulasi fakta prestasi jualan saya bagi menjustifikasi tindakan mereka, sedangkan mengikut rekod mereka sendiri pencapaian saya selalunya adalah Terbaik atau Kedua Terbaik dari 5 kedai foto kamera, yang mana 4 kedai lain adalah milik bukan Bumiputra. 8. Dari 5 kedai foto/kamera di Suria KLCC, 3 dimiliki oleh Foto Flash Sdn Bhd (bukan Bumiputra) dan 1 dimiliki oleh Fotokem Sdn Bhd (juga bukan Bumiputra). Foto Flash juga mendapat keistimewaan membuka sebuah lagi kedai tambahan iaitu Flash Gadgets bererti satu peniaga berbangsa Cina ini boleh mendapat 4 ruang kedai di Suria KLCC tetapi saya yang satu-satunya peniaga berbangsa Melayu hendak dihalau keluar. 9. Unsur diskriminasi kaum amat jelas bila banyak kedai-kedai milik bukan Bumiputra dan Warga Asing diperbaharui sewa atau diberi ruang baru. Misalnya baru-baru ini kedai Digi Store (bukan Bumiputra) berhadapan kedai saya telah diberi ruang alternatif manakala ruang yang dikosongkan oleh Digi Store diberi pula kepada penyewa baru iaitu kedai Sweet Day (juga bukan Bumiputra). 10. Mereka menindas dan memperlekeh peniaga Bumiputra seperti saya dengan memberitahu bahawa tiada ruang kosong alternatif untuk saya, jika ada pun mereka berkata sudah tentu saya tidak mampu membayar sewa baru yang lebih tinggi. Lebih hina lagi, saya mendapat tahu bahawa mereka menawarkan ruang kedai saya sekarang kepada peniaga bukan Bumiputra yang sudah pun ada kedai bersebelahan iaitu Celcom Blue Cube semata-mata untuk membesarkan kedai dealer bukan Bumiputra ini. 11. Sebagaimana umum sedia maklum, bilangan peniaga Bumiputra di Suria KLCC sangat sedikit dan pada masa ini dipercayai kurang dari 5% dengan angka sebenar enggan didedahkan oleh pihak Pengurusan. Menurut satu laporan oleh CEO Suria KLCC pada tahun 2011, terdapat lebih 80 peniaga Luar Negara di Suria KLCC, tetapi beranikah dia sebut bilangan dan berapa peratus peniaga Bumiputra? 12. Isu penyingkiran peniaga-peniaga Bumiputra di Suria KLCC telah berlanjutan dan semakin buruk sejak tahun 2007 dengan saya sendiri hampir menjadi mangsa ketika itu. Nasib yang menimpa Restoran Kelantan Delights dan Levis Dockers yang dihalau satu demi satu oleh Suria KLCC manakala peniaga-peniaga bukan Bumiputra dan Luar Negara terus diberi keutamaan. Juga kes Muslimah Zaidas Collection di Alamanda Putrajaya pada tahun 2010 membabitkan pihak Pengurusan yang sama. 13. Kini giliran saya Foto Point pula dijadikan mangsa secara licik. Pihak Suria KLCC telah mengancam untuk mengenakan sewa “double rent” jika saya tidak keluar dari premis pada hujung bulan ini. Jika ini berlaku, saya kena membayar kira-kira RM45,000 sebulan yang akhirnya boleh bangkrapkan saya dalam beberapa bulan sahaja. 14. Sebenarnya pada tahun 2007 lagi pihak Suria KLCC pada mulanya enggan memperbaharui penyewaan saya tanpa memberi sebarang sebab. Namun, susulan publisiti buruk akibat penamatan sewa terhadap peniaga-peniaga Bumiputra iaitu Kelantan Delights dan Levis Dockers hingga menjadi isu nasional, mereka seperti terdesak menukar keputusan dengan menyambung sewa saya di waktu senja sambil meminta supaya tindakan awal mereka tidak dihebohkan kepada umum dan kementerian. 15. Lalu sambungan penyewaan saya pada 2007 adalah dengan syarat ketat iaitu kedai perlu diubahsuai sepenuhnya, sewa untuk tempoh 5 tahun dengan kenaikan sewa setiap tahun. Segala terma dan syarat Surat Perjanjian ditentukan sepenuhnya oleh Suria KLCC tanpa boleh dipertikai oleh saya walau satu ayat pun. Saya dimestikan menerima semua syarat jika mahu menyewa. 16. Sepanjang tempoh penyewaan selama 14 tahun di Suria KLCC, saya sentiasa menjelaskan sewa bulanan mengikut jadual dan tidak pernah tertunggak sewa walaupun sekali. Saya menyertai pelbagai program pemasaran yang dianjurkan oleh Suria KLCC serta melaksanakan pengurusan pelanggan dengan bagus dan berjaya. Kesimpulannya, saya tiada masalah penyewaan dengan pihak Pengurusan Suria KLCC walaupun ada pegawai-pegawai mereka cuba menimbulkan isu. 17. Pada tahun 2010 berlaku kejadian pecah kedai yang mengakibatkan saya kerugian kira-kira RM10 ribu. Walaupun laporan polis dan aduan dibuat, pihak Pengurusan Suria KLCC telah sambil lewa lepas tanggungjawab, tidak pernah memberi maklum balas proses siasatan dan tidak response kepada pertanyaan saya walaupun kes ini sangat berat kepada kredibiliti Pengurusan. Oleh kerana ingin menjaga hubungan dengan pihak Suria KLCC, saya terpaksa mengambil sikap berdiam diri. 18. Pada tahun 2009 terdapat 3 buah kedai foto/kamera di Suria KLCC dan saya telah memohon untuk membuka sebuah Nikon Concept Shop serta sebuah Camera Sub-Outlet tetapi ditolak oleh pihak Pengurusan atas alasan tiada lagi peruntukan untuk kategori kedai kamera. Pada tahun 2010 sekali lagi saya menghantar Cadangan dan Konsep untuk membuka Nikon Concept Shop melalui sokongan pembekal saya namun sekali lagi permohonan saya disimpan (KIV). Begitu juga dengan permohonan saya pada tahun 2011 terus diketepikan. 19. Sebaliknya pada tahun 2011 pihak Suria KLCC jelas prejudis dan pilih kulit dengan memberi tambahan ruang sewa kepada dua (2) buah kedai kamera baru yang kedua-duanya dipohon oleh peniaga bukan Bumiputra, termasuklah Nikon Concept Shop yang cadangan awal dan asalnya sudah dikemukakan oleh saya terlebih dahulu. Saya tidak mempertikai keputusan pihak Nikon memberi kepada peniaga bukan Bumiputra kerana itu hak Nikon.Yang dipertikaikan adalah tindakan pihak Suria KLCC berbohong bahawa tiada peruntukan untuk tambahan kedai kamera, tetapi sebaliknya memberi peluang kepada dua peniaga bukan Bumiputra. Pihak Suria KLCC berunding terus dengan Nikon tanpa pengetahuan saya sehingga peluang kepada usahawan Bumiputra diragut oleh peniaga bukan Bumiputra. 20. Oleh itu 3 buah kedai foto/kamera di Suria KLCC pada 2009-2010 telah bertambah kepada 5 buah pada 2011-2012 dan 4 daripadanya adalah milik bukan Bumiputra. Sudah tentu persaingan lebih hebat apabila ada tambahan 2 kedai yang menjual barangan fotografi dan kamera jenama yang sama dan ini telah memberi kesan penurunan Sales Performance semua kedai kamera pada 2011 berbanding 2010. Ini dijadikan alasan oleh Suria KLCC untuk menyingkir saya, tetapi tidak kepada peniaga bukan Bumiputra. 21. Sungguhpun begitu, prestasi Sales Performance Ranking yang dikeluarkan oleh pihak Suria KLCC mengikut kriteria jualan per kaki persegi (PSF) rasmi yang mereka sendiri tetapkan, masih meletakkan prestasi jualan Foto Point saya sering berada di kedudukan Terbaik dari 3 kedai pada 2009/2010 dan Kedua Terbaik dari 5 kedai pada 2011/2012. Ini bermaksud dari tahun 2009 hingga 2012 prestasi Sales Performance Ranking Foto Point saya sangat konsisten di kedudukan terbaik atau kedua terbaik di antara semua kedai foto/kamera di Suria KLCC. 22. Malahan Sales Performance terkini saya iaitu 8 bulan pertama dari Januari hingga Ogos 2012 telah menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 12% berbanding tempoh yang sama tahun 2011. Saya amat yakin ranking prestasi jualan bulanan saya pada tahun ini masih kekal di kedudukan Terbaik atau Kedua Terbaik sekiranya tiada manipulasi oleh pihak Suria KLCC. Sudah tentu mereka tidak berani lagi mengeluarkan ranking terkini kepada saya. 23. Pada April 2012 iaitu 6 bulan sebelum tamat tempoh penyewaan sekarang, saya telah menulis surat kepada pihak Suria KLCC untuk menyambung penyewaan. Semasa perjumpaan dengan Pengurus Leasing Puan Tan Wei Lynn dan Eksekutif Leasing Puan Debbie Ooi pada 07 Mei 2012, mereka memberitahu bahawa sewa tidak akan disambung kerana Sale Performance saya turun 21% pada tahun berakhir 31 Mac 2011 berbanding tahun sebelumnya dan mereka juga enggan mengambilkira kenaikan jualan saya pada tahun terkini. 24. Selain itu, mereka langsung tidak mahu mengambilkira rekod cemerlang bayaran sewa saya, kedudukan ranking prestasi Pertama dan Kedua saya dan punca mengapa jualan jatuh pada waktu itu (iaitu bertambah persaingan dari 3 kepada 5 kedai). Mereka tidak menggunakan kriteria Sale Performance sebagaimana biasa digunakan, dengan niat jahat dijadikan alasan untuk menghalau keluar saya. Mereka berdolak-dalih apabila saya mempertikaikan asas kiraan prestasi yang tidak munasabah itu. 25. Pengurus Leasing Suria KLCC itu dengan bongkaknya menyatakan bahawa keputusan ini (menyingkirkan peniaga Bumiputra) telah mendapat restu Lembaga Pengarah Suria KLCC sendiri. Saya difahamkan Lembaga Pengarah mereka diterajui oleh pihak atasan Petronas, maka saya sangsi jika pihak Lembaga Pengarah mengetahui hal sebenarnya atau tidak prihatin. 26. Pengurusan Suria KLCC yang terdiri daripada Eksekutif Leasing Debbie Ooi, Pengurus Leasing Tan Wei Lynn, Pengurus Besar Centre Management Francis Tan, Pengurus Besar Leasing David Monaghan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Andrew Brien kesemuanya terdiri dari Bukan Bumiputra atau Warga Asing. Saya amat mensyaki bahawa tindakan sebahagian mereka bermotifkan prejudis jantina, diskriminasi kaum atau anti aspirasi Kerajaan terutama membabitkan kepentingan Bumiputra. Malah unsur amalan rasuah juga tidak boleh diketepikan. 27. Pihak Pengurusan Suria KLCC seterusnya mengancam untuk mengenakan “double rent” terhadap saya berdasarkan klausa ‘tiada peruntukan untuk sambung sewa selepas tamat tempoh 5 tahun’ jika saya enggan keluar. Alasan ini sangat prejudis dan berniat tidak ikhlas kerana ditegaskan segala syarat dan terma perjanjian adalah mutlak 100% determined by Suria KLCC. Maka, untuk Suria KLCC berlindung pada ketiadaan klausa pembaharuan sewa amat tidak beretika sama sekali walhal ramai peniaga bukan Bumiputra dilepaskan klausa ini. 28. Saya masih ingat akan jaminan lisan sewaktu perbincangan sambung sewa pada tahun 2007 yang diberikan oleh Eksekutif Leasing Suria KLCC, Puan Aida Ithnin pada masa itu bahawa tiada sebab untuk pihaknya tidak menyambung sewa selepas tamat tempoh 5 tahun itu sekiranya tiada apa-apa masalah atau isu bersabit sewa saya. Bagaimanapun Puan Aida tidak lagi kendalikan kes saya kerana telah ditukarkan ke Kompeks Membeli-Belah Alamanda Putrajaya yang juga diurus oleh pihak Suria KLCC serta diterajui oleh isteri kepada CEO Suria KLCC yang juga warganegara Australia. 29. Kini hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum berakhir tempoh sewa sekarang. Jika kes ini masih gagal diselesaikan secara rundingan dan Pihak Pengurusan Suria KLCC terus bersikap sombong, angkuh dan degil terhadap bangsa kita, maka saya minta agar semua pihak-pihak berkenaan termasuk kementerian-kementerian, agensi-agensi dan badan-badan berkaitan mempercepatkan proses siasatan dan tindakan susulan demi keadilan dan kesaksamaan layanan terhadap peniaga Wanita Melayu dan Bumiputra khususnya. Saya percaya majoriti rakyat di negara berbilang kaum ini terutama bangsa Melayu sedang menanti untuk melihat dan menilai sejauh mana tindakan tegas, pantas dan berkesan diambil oleh pihak-pihak berwajib dan berkepentingan. Saya ingin ambil sikap yakin bahawa pasti bangkit keberanian muktamad untuk menyelesaikan segera kes ini, menyekat dari berlarutan dan terus merebak, menghakis gambaran negatif terhadap kepimpinan Kerajaan dan memberi mesej dan pengajaran kepada elemen-elemen tidak bertanggungjawab. Bertindaklah cepat, adil dan tegas sebelum terlambat. 30. Tujuan saya menyebarkan kes ini kepada pengetahuan umum agar nasib para usahawan Wanita dan Bumiputra khususnya peniaga-peniaga peruncitan di gedong-gedong membeli belah mega dan ikon kemegahan rakyat seperti Suria KLCC tidak dibiarkan ditindas, diperlekeh dan dihalau keluar sedemikian, rupa demi menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat berbilang kaum di negara ini. Apa erti kemerdekaan dan apa guna membina bangunan megah perkasa sedangkan nasib kaum bangsa sendiri diperkotak-katik dan diperlakukan sewenang-wenangnya terutama oleh Bangsa Asing. Jangan biarkan bangsa kita Bagai Melukut Di Tepi Gantang dan bangsa lain Bagai Kaduk Naik Junjung. Jika ada yang menuduh bangsa kita rasis, nah inilah perbuatan rasis yang amat rasis terhadap bangsa kita. sherry.salim@gmail - 25 September 2012 -
Posted on: Fri, 08 Nov 2013 18:56:42 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015