AIR MATA ASYIMAH- 040 Aku angguk. Lalu aku berjalan mencari bangku - TopicsExpress



          

AIR MATA ASYIMAH- 040 Aku angguk. Lalu aku berjalan mencari bangku di ruang legar untuk duduk seketika. Hampir sepuluh minit, Aswadi keluar dari pintu lif dan menghampiriku. “Mar…aku nak ke Johor Bharu dua hari lagi,” katanya sambil duduk di sebelahku. “Apa halnya?” “Encik Hairul yang minta aku ke sana. Ke Pejabat Menteri Besar Johor untuk mengikuti pembentangan kertas kerja mengenai strategi ekonomi Negeri Johor. Selain itu, aku pun ada urusan peribadi,” jawabnya. “Salmi dan anak-anak ikut?” tanyaku. Memang biasanya Aswadi suka membawa keluarga jika ada projek luar. “Tidak. Budak-budak kan sekolah. Jadi macam biasalah. Aku wasiatkan Salmi dan anak-anak di bawah jagaan kau,” jawab Aswadi dengan ketawa kecil. Aku tersasar bimbang mendengar gurauan Aswadi itu. “Wasiat? Banyaklah kau punya songel. Nak pergi tu pergi sajalah. Main wasiat-wasiat pula. Jangan nak cemarkan bahasa. Wasiat tu untuk orang yang nak mati saja,” kataku disambut dengan ketawa panjang Aswadi. “Berapa lama kau di sana?” “Seminggu. Urusan pejabat cuma tiga hari saja, yang selebihnya tu aku nak uruskan hal peribadi,” “Hal apa?” aku segera menatap wajahnya. “Sejak bila kau ni pandai menyungkil rahsia orang lain?” “Yalah, kalau boleh aku tahu. Kalau tak nak cakap, tak apalah,” kataku seolah-olah merajuk. Ketawa Aswadi pecah berderai. “Arwah babahku ada tinggalkan wasiat kepadaku dulu,” ujar Aswadi selepas ketawanya usai. “Wasiat lagi?” tanyaku, menjengilkan mata. “Tapi ini betul-betul dari orang yang dah mati. Arwah babahku meninggal di Mekah ketika mengerjakan haji bersama isteri mudanya. Sebelum dia berangkat, dia seperti tahu bahawa dia tidak akan pulang lagi. Lalu dia telah mewasiatkan kepadaku supaya menjaga dan melindungi ibu tiriku,” “Melindungi? Daripada apa?” tanyaku dengan rasa hairan. Tidak pernah aku mendengar cerita itu dari Aswadi sebelum ini. “Babahku berkahwin lain selepas ibuku meninggal. Tapi perkahwinan itu tidak disukai oleh kakak dan adik-adik perempuanku. Mereka menuduh wanita itu cuba merampas dan mengikis harta kami. Lalu selama itu mereka mencemuh dan mencaci mak udaku tu. Tapi aku tidak. Aku menganggap mak uda seorang yang jujur dan ikhlas. Walaupun usianya lebih kurang sama dengan aku, tapi dia mempunyai pengalaman hidup yang sangat matang. Mungkin babahku fikir, bahawa kalau dia tidak ada, kakak dan adikku akan menganiaya isterinya. Babahku telah memberikan chalet di Telok Cempedak dan rumah banglo kami di Kuantan kepada mak uda. Begitu juga dengan semua barang-barang kemas peninggalan arwah ibuku dan sedikit saham. Itu menambahkan lagi rasa sakit hati mereka terhadap mak uda. ” “Jadi?” aku semakin teruja. Cerita Aswadi begitu menarik perhatianku. “Semasa babahku berangkat ke Mekah aku tidak ada di sini. Aku pulang selepas semuanya terjadi,” jawab Aswadi perlahan. “Apa yang terjadi?” “Selepas babahku meninggal, mak uda telah berpindah dan tidak lagi menetap di Kuantan. Mungkin dia tidak sanggup menerima kejian saban hari. Mungkin dia pulang ke kampungnya di Johor. Sebelum dia pergi, dia telah menukarkan semua harta peninggalan babah atas namaku. Dia hanya mengambil sejumlah wang dan barang-barang kemas sahaja. Rumah, tanah dan saham-saham diberikan kepadaku. Dia keluar dari rumah itu dengan beberapa buah beg pakaian sahaja. Lepas itu dia terus tidak pulang-pulang lagi ke rumah itu,” kata Aswadi. Kudengar ada getaran halus dalam rentak suaranya. Wajahnya juga berubah rona. “Baguslah. Dia dah buktikan bahawa dia jujur berkahwin dengan babah kau dan tak mengharapkan harta benda,” kataku pula. “Itu memang betul Mar. Tapi, aku rasa bersalah dan tidak tenteram. Kebetulan semua harta itu diserahkan kepadaku. Sekali-sekala aku balik ke sana, aku rasa bersalah kepada mak uda. Semakin lama aku semakin tidak tenang Mar. Bayangan wajah babahku selalu menghantuiku. Terutama wasiatnya itu. Aku gagal melaksanakan tanggungjawab untuk melindungi mak uda. Sebaliknya aku biarkan dia keluar dari rumah itu dengan tangan kosong saja. Entah apa yang berlaku kepadanya. Jadi sekarang, aku rasa menjadi kewajipanku untuk mencari dia. Aku nak pulangkan rumah dan pusat peranginan Di Telok Cempedak itu. Dialah yang lebih berhak,” kata Aswadi dengan wajah sugul. Kali ini aku melihat satu keikhlasan serta rasa kasih sayang yang begitu tulus dalam kerdipan matanya. “Baguslah Di, kalau kau ingat macam tu. Aku doakan agar kau berjaya mencari dia. Pergilah. Jangan bimbang, aku akan jaga isteri dan anak kau,” ujarku jujur. Aswadi senyum puas dengan jawapanku.
Posted on: Thu, 12 Sep 2013 17:48:06 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015