Antara Syria, Iraq, Somalia, Mesir, Turki dan Malaysia… SELEPAS - TopicsExpress



          

Antara Syria, Iraq, Somalia, Mesir, Turki dan Malaysia… SELEPAS kejatuhan Iraq dan Afghanistan, negara Islam lain terus diselubungi pergolakan. Perang saudara tercetus atas pelbagai faktor termasuk tekanan dalaman dan luaran khususnya campur tangan ghaib kuasa asing. Kini perang saudara melanda Syria sudah berlarutan hampir tiga tahun menyaksikan lebih setengah juta rakyatnya terbunuh dan hampir 1 juta rakyat negara yang terkenal dengan jolokan bumi ambia itu menjadi pelarian. Manakala di Libya fenomana dikatakan “Arab Spring” menyebabkan kerajaan digulingkan. Turut mengalami nasib sama di Mesir di mana pergolakan dua tahun lalu akhirnya menyaksikan kerajaan digulingkan. Malangnya kerajaan baru setahun dibentuk selepas “Arab Spring”, yakni kerajaan dipilih secara pilihan raya ditumbangkan menerusi rampasan kuasa tentera. Selain itu, negara Islam yang miskin seperti Pakistan, Sudan dan Somalia terus dicekam perang saudara. Secara umum, masyarakat dunia menerusi media berpengaruh berjaya menghebahkan kepada umum bahawa negara Islam tidak stabil, tidak selamat, ganas dan sering diperintah oleh kerajaan yang zalim. Sekaligus, imej islam tercemar dan pengaruh Islam dipandang serong masyarakat dunia. Hakikatnya, banyak faktor menjadi punca kepada kemelut melanda negara Islam. Selain tiada perpaduan, sikap segelintir rakyat di negara terbabit yang agak agresif turut menyebabkan masalah melanda menjadi parah walau hanya disebabkan punca kecil. Lebih memburukkan keadaan, musuh di sekeliling bijak menggunakan isu untuk mengeruhkan keadaan. Sebelum kerajaan Mesir yang dipilih rakyat tumbang, Turki sebuah negara yang terletak di sempadan Asia dan Eropah turut dibelenggu rusuhan. Namun, masalah melanda Turki yang sebelum ini dikenali sebagai bumi kerajaan empayar Uthmanniyyah mempunyai faktor dan punca berbeza dengan negara lain. Turki menjadi negara sekular selepas panglima tentera empayar Uthmaniyyah, Mustafa Kemal Ataturk menggulingkan sultan terakhir kerajaan Islam dibentuk selepas berakhirnya era pemerintahan empat Khalifah Ar-Roshidin. SIAPA MUSTAFA KEMAL ATATURK? Mungkin ramai kagum dengan kemajuan Turki. Bukan saja ekonomi berkembang pesat negara terbabit juga menjadi tumpuan pelancong serata dunia kerana keindahan muka bumi negara berkenaan. Namun, sejak ketamadunan Turki mempunyai perjalanan yang amat panjang, malang ketika zaman kekuasan empayar Uthamaniyyah yang berpusat di kota Bursa, empayar Islam terbabit menguasai hampir separuh benua Eropah. Malah, empayar Uthmaniyyah hingga kini tercatat dalam sebagai kuasa negara Islam paling berjaya. Bagaimanapun semua itu, kini hanya tinggal sebagai catatan sejarah dan pameran di muzium seluruh dunia. Kemajuan dan kekuasaan yang terbina beratus tahun itu, dimusnahkan seorang tokoh yang digelar kuasa barat sebagai tokoh pemodenan Turki iaitu Mustafa Kemal Ataturk. Hakikatnya, semua itu hanya agenda dan propaganda musuh Islam. Mengikut catatan, selepas mengulingkan empayar Uthmaniyyah, pelbagai tindakan menghapuskan pengaruh Islam di negara terbabit dilaksanakan. Ataturk dilahirkan pada tahun 1881 di Selanik (Thessaloniki, Greece). Bapa beliau, Ali Riza Efendi bekerja sebagai pegawai kastam sebelum terbabit dalam dunia perniagaan. Ketika usia tujuh tahun, bapanya meninggal dunia dan Mustafa Kemal dibesarkan ibunya, Zubeyde Hanim. Pelbagai pendapat dikaitkan dengan asal-usul Mustafa Kemal. Ia termasuk mengaitkan ibunya seorang pelacur dan bapanya berketurunan Yahudi. Empat tahun selepas kematian bapanya, beliau dihantar ke sekolah tentera Selanik dan Manatir (kini Bitola, Republik Macedonia). Ataturk menyertai Akademi Tentera Uthmaniyyah di Manastir pada tahun 1895 dan ditugaskan di Damsyik, Syria. Ketika itu, beliau terbabit dengan gerakan reformasi sulit dipanggil ‘Vatan ve Hürriyet’ atau bermaksud “Tanah air dan Kebebasan”. Objektif utama ialah menentang Khilafah Uthmaniyyah yang dipimpin oleh Abdul Hamid II, sultan terakhir empayar Uthmaniyyah. Dengan ideologi diperjuangan dan menggunakan pengaruh sebagai pegawai tentera, beliau berusaha membawa perubahan. Mengikut catatan, sejak kecil beliau dilihat amat membenci Islam dan kebencian itu berterusan ketika beliau menjadi pegawai tentera. Beliau membina nama ketika menjadi komander tentera ketika terbabit dalam perperangan dengan tentera bersekutu untuk memecahkan Turki. Selepas perperangan itu, Mustafa Kemal memimpin gerakan nasional Turki dalam apa yang kemudiannya menjadi Perang Kemerdekaan Turki. Setelah kejayaan dalam Perang Kemerdekaan Turki, beliau dilantik sebagai Presiden Turki pertama pada 1918. Ketika menjadi Presiden Turki, pelbagai tindakan untuk menlenyapkan Islam di bekas bumi empayar Uthmaniyyah dilakukan. Beliau yang sejak kecil membenci Islam membawa ideologi yang dinamakan “kemalisma”. Mustafa Kemal memperkenalkan dasar pemerintah sekular iaitu memisahkan agama dan urusan kehidupan harian. Pada masa sama, beliau mengharamkan pemakaian tudung, penjualan arak dibenarkan secara terbuka. Beliau menukar azan daripada bahasa Arab ke dalam bahasa Turki. Al-Quran turut diterjemahkan ke dalam bahasa Turki dan bacaan Al-Quran dalam bahasa Arab dilarang. Semua itu dilakukan bagi menghapuskan pengaruh Arab yang dikaitkan dengan Islam. Selain itu, bagi menghalang tentangan rakyat, beliau melarang perhimpunan termasuk solat jemaah dan juga kelas agama. Semua itu dilakukan bagi mengelak perhimpunan rakyat yang boleh meniup gerakan menentang beliau seperti dilakukannya sebelum menumbangkan kerajaan empayar Uthmaniyyah. Tindakan dilakukan itu ditentang ulama. Namun dengan menggunakan tentara, ribuan ulama yang membantah dasar diperkenalkan beliau dibunuh. Dengan tindakan itu, usaha mengembangkan agama Islam di bumi Turki terhenti. Seterusnya, kemuliaan Islam yang terbina ratusan tahun ketika era pemerintahan empayar Uthmaniyyah lenyap. Rakyat Turki dan Islam mula terpisah dan Turki menjadi negara sekular. Kesan peninggalan tindakan Mustafa Kemal itu kekal hingga kini. Ratusan masjid tersergam indah dengan seni bina menarik dibina ketika era empayar Uthmaniyyah hilang fungsinya. Malah, Mustafa Kemal turut menukar masjid menjadi muzium untuk dilawati pelancong untuk melihat senibina menarik masjid yang dibina. Beliau berjaya mengubah landskap Turki dan kesannya berterusan selepas beliau meninggal dunia pada 1938. Kesan memisahkan Islam dan urusan kehidupan dan pemerintahan kerajaan Turki diwarisi selepas kematian Mustafa Kemal amat besar. Malah, tidak keterlaluan ramai umat Islam di Turki hanya tinggal pada nama, amalan kehidupan jauh terpesong. Namun, selepas bertahun-tahun Islam dipisahkan di negara itu, kemunculan beberapa pemimpin yang mempunyai pegangan agama tampil untuk membimbing 99 peratus rakyat Tturki kembali kepada ajaran Islam. Namun, usaha itu cuba digagalkan. ISLAM KEMBALI BERTAPAK DI TURKI? Kini kesedaran Islam di kalangan rakyat Turki semakin tinggi dan atas faktor itu, parti politik yang berusaha memperjuangkan Islam di bekas bumi empayar Uthmaniyyah mendapat sokongan. Kemunculan pemimpin seperti Abdullah Gul dan Recip Tayyip Erdogan yang tampil dengan pendekatan mengkagumkan mendapat sokongan. Hasilnya, sejak lebih 10 tahun lalu, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) diterajui dua tokoh terkenal dengan gelaran imam itu menang besar dalam pilihan raya umum serta pilihan raya Presiden. Ia sekaligus menafikan kekuasaan parti berteraskan sekular yang diasaskan Mustafa Kemal. Namun usaha menerap syiar Islam di negara itu bukan mudah. Pelbagai halangan terpaksa ditempuhi. Namun sejak 10 tahun lalu, tunas-tunas Islam kembali bertapak di Turki. Azan dibenarkan semula dalam bahasa Arab. Al-Quran dicetak semula dalam bahasa asal iaitu bahasa Arab dan kelas agama tumbuh ibarat cendawan lepas hujan. Walaupun AKP menguasai dua pertiga Parlimen, usaha dilakukan kerajaan tidak lekang daripada bantahan rakyat yang sudah sebati dengan fahaman sekular yang diasaskan Mustafa Kemal. Isu remeh-temeh seperti isteri dua pemimpin Turki bertudung menjadi perdebatan hangat sejak 10 tahun lalu. Semua ini berlaku kerana rakyat Turki selepas pemerintahan Mustafa Kemal sudah biasa dengan mendedahkan aurat. Namun, kerajaan AKP tetap berjaya, kini tudung mula dipakai wanita Turki membabitkan pelbagai peringkat umur. ISLAM DAN CABARAN DI TURKI Sejak dua tahun lalu, tudung mula dibenarkan dipakai penuntut di universiti selepas mendapat bantahan. Malangnya kebenaran memakai tudung di kalangan penjawat awam di negara terbabit masih belum dapat dilaksanakan untuk sementara waktu ini. Dalam usaha memperbaiki moral rakyat, larangan perbuatan sumbang termasuk bercumbu di tempat awam dilaksanakan. Juga cuba dilakukan melarang penjualan arak, minuman keras yang sudah sebati dengan sebahagian besar masyarakat sekular selepas dipromosi secara besar-besaran oleh Mustafa Kemal dilakukan. Malangnya usaha itu turut dibantah kaki botol . Sejajar dengan kemajuan dan kemodenan Turki seperti diwar-warkan Barat dengan kejayaan Mustafa Kemal sebagai bapak pemodenan Turki, rakyat negara itu berjuang habis-habisan menuntut kebebasan hak asasi. Ia termasuk pejuangan kumpuan lesbian, gay, biaseksual dan transgender (lgbt). Mereka menuntut hak, kebebasan dan tempat di Turki. Perjuangan mereka bukan saja di kalangan golongan belia, malah golongan dewasa dan tua yang sudah sebati dengan fahaman sekular yang dipelopori Mustafa Kemal. Jika dilihat dari segi geografi, sebahagian Turki terletak dalam benua Asia dan sebahagian kecil terletak dalam benua Eropah. Namun begitu, sebahagian besar rakyat Turki menganggap mereka sebagai penduduk Eropah yang terkenal dengan kemajuan dan moden. USAHA MENYEKAT KEMARAAN ISLAM Malangnya, tunas-tunas Islam yang mula bertapak dan berkembang semula di Turki kurang disenangi negara jiran khususnya di sebelah Eropah. Justeru, pelbagai usaha dilakukan untuk mencemar imej kerajaan AKP yang memerintah Turki. ISU KECIL DIPEBESARKAN Ia termasuk bantahan ribuan rakyat Turki terhadap pembinaan dirancang kerajaan di Taman Gezi berhampiran Dataran Taksim di Istanbul. Alasan mahu mengekalkan pokok di taman itu, ribuan rakyat Turki berhimpun di jalan raya di beberapa bandar utama di negara ini. Bantahan itu menyebabkan berlaku rusuhan antara penunjuk perasaan dan polis. Pihak berkuasa terpaksa bertindak bagi menghalang tunjuk perasaan berlaku. Ini kerana tindakan itu menjejaskan kegiatan harian khususnya peniaga di kawasan terbabit. Perhimpunan juga menimbulkan pelbagai masalah termasuk kesesakan lalu lintas. Paling serius, perhimpunan ini menyebabkan berlaku provokasi melampau dan akhirnya membawa kepada ketegangan. Justeru, pihak berkuasa perlu bertindak. Malangnya, tindakan yang diambil itu digunakan secara bijak oleh pihak yang tidak senang dengan kerajaan diterajui AKP untuk mencipta propaganda. Media asing pantas menghebahkan suasana kekecohan melanda di beberapa bandar utama di negara itu. Aksi rusuhan dihebahkan ke seluruh dunia dan seperti lazim laporan disampaikan secara berat sebelah. Tindakan perusuh bertindak ganas, liar dan kasar tidak diutamakan. Sebaliknya, tindakan pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan termasuk meleraikan tunjuk perasaan dijadikan keutamaan. Ia sekaligus, menggambarkan kepada dunia bahawa kerajaan Turki zalim dan mencabuli hak asasi. EROPAH DILANDA KRISIS EKONOMI Paparan dibuat media jelas memberi kesan kepada ekonomi Turki. Kehadiran pelancong ke Turki mula merosot dan banyak tempahan bilik penginapan dibatalkan. Ia sekaligus memberi kesan kepada sektor perkhidmatan yang dikaitkan dengan kuasa ekonomi utama Turki yang dijana menerusi sektor pelancongan. Hakikatnya, gambaran dibuat terhadap Turki bukan saja kerana Eropah iri hati dengan kemajuan ekonomi negara itu. Ketika banyak negara di Eropah dibayangi kemelesetan, ekonomi Turki sejak 10 tahun lalu terus stabil. Kekuatannya bersandarkan kepada ekonomi domestik khususnya sektor perkhidmatan yang kukuh. Namun, dengan meniup perasaan anti kerajaan dan seterusnya membawa kepada rusuhan jalanan, ia mampu mempengaruhi kekuatan ekonomi Turki. Yang pasti, krisis dalaman yang berlaku di Turki pasti ada dalangnya. Berdasarkan bukti dimiliki, Erdogan selaku Perdana Menteri Turki mendedahkan campur tangan asing dalam usaha memporak-peranda kestabilan Turki. Malah, kemajuan teknologi, khususnya media sosial turut memberi kesan kepada masalah yang berlaku. Media sosial seperti facebook dijadikan landasan menyebar maklumat palsu serta saluran menghasut rakyat. HALA TUJU RECIP TAYYIP ERDOGAN Sebenarnya, ketokohan Erdogan amat mengkagumkan dan beliau mendapat sokongan besar di kalangan rakyat. Namun seperti di seluruh dunia, golongan belia bandar lebih cenderung kepada pengaruh menyokong pembangkang. Jika dibandingkan dengan nisbah penyokong AKP, ia pasti sukar digugat pembangkang. Ini kerana, sebahagian besar rakyat Turki di luar bandar utama menyokong AKP. Malah kecuali bandar utama, semua kawasan parlimen juga dimenangi AKP. Pengaruh pembangkang di Turki juga semakin merosot dan keadaan itu pasti sukar untuk pembangkang menyekat Erdogan yang dijangka bakal bertanding sebagai Presiden Turki tahun hadapan. Mengikut peraturan, tempoh bagi seorang tokoh memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden hanya dihadkan kepada tiga penggal. Justeru, Erdogan bakal melangkah ke kedudukan lebih tinggi iaitu bertanding dalam pilihan raya Presiden tahun hadapan. Manakala, presiden, Abdullah Gul yang sudah tamat tempoh akan mengosongkan kerusi itu. Dan dalam usaha memecah-belahkan kekuatan AKP, pembangkang serta media asing berusaha melaga-lagakan kedua-dua pemimpin terbabit. Mereka digambarkan berbeza pendapat serta tidak sehaluan. Bagaimanapun hakikatnya, hubungan mereka amat kukuh dan pasti sukar digugat pembangkang. Justeru, peluang Erdogan meneruskan misi menyemai dan mengembalikan kegemilangan Islam di Turki memasih terbuka luas jika beliau dipilih sebagai Presiden Turki selepas ini. Dan yang pasti ketika itu, pelbagai isu baru akan dicipta malah dalam perjalanan yang hanya sebelah kaki untuk dilantik sebagai Presiden, ia pastinya bukan mudah buat Erdogan. Yang pasti pelbagai usaha mengugat dan menghalang beliau akan dilakukan. Justeru sebagai pemimpin beliau perlu menghadapi semua rintangan itu. Dan pada masa sama, beliau perlu mengelak Turki daripada mengalami nasib sama seperti Syria, Libya dan Mesir atau Pakistan, Sudan dan Somalia. Sebaliknya, sebagai pemimpin dan parti yang cenderung kepada usaha mengembalikan semula kegemilangan sejarah kerajaan empayar Uthmaniyyah, AKP perlu bijak menentu hala tuju parti itu. Pada masa sama, negara luar perlu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di Turki dan Mesir. Saluran demokrasi perlu dihormati dan bukan reformasi jalanan seperti cuba dilakukan di negara terbabit. Ini kerana setiap yang berlaku akan diputar-belit pihak yang tidak senang dengan semua perkembangan di negara terbabit. Semua isu akan diputar belit dan setiap perkara berkaitan Islam akan dihurai mengikut selera pihak yang tidak senang dengan agama itu. Pada masa sama, rakyat Malaysia juga perlu melihat semua yang berlaku di negara-negara terbabit dari sudut yang lebih luas, menilai baik dan buruk setiap perkembangan yang berlaku dan bersama-sama mendoakan agar bumi bertuah ini tidak senasib atau dilanda krisis seperti yang berlaku di negara Islam lain ketika ini.
Posted on: Thu, 01 Aug 2013 12:36:45 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015