Awang Selamat nasihat Ku Li pertimbang faktor usia Bekas Menteri - TopicsExpress



          

Awang Selamat nasihat Ku Li pertimbang faktor usia Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah atau mesra dipanggil Ku Li diminta mengambil kira faktor usia sebelum membuat keputusan untuk bertanding jawatan Presiden Umno gesa kolumnis akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, Awang Selamat. Kolumnis itu berkata pemimpin seangkatan dengan Ku Li seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa Hitam dan ramai lagi sudah berundur. "Awang tidak menafikan ketokohan dan sumbangan Ku Li tetapi berharap beliau membuat pertimbangan yang bijaksana kali ini. Faktor usia harus diambil kira. "Senario politik juga telah berubah. Pengaruh Ku Li di peringkat akar umbi tidak lagi sama sebagaimana 1987. Tidak keterlaluan bagi merumuskan bahawa era beliau sebagai calon pilihan bagi jawatan tertinggi parti sudah berlalu. "Awang sangat berharap Ku Li tidak mendapat nasihat yang salah. Ini kerana apabila beliau bertanding dan kalah, imej beliau akan lebih terjejas teruk, yang kali ini belum tentu dapat dipulihkan dengan mudah," katanya melalui akhbar edisi Ahad, Mingguan Malaysia. Kolumnis itu turut menyarankan kepada Ku Li bahawa sesiapa sahaja boleh terus menyumbang kepada Umno dan kerajaan biarpun tanpa jawatan utama. Katanya, jawatan politik bukan segala-galanya dalam hidup di samping melihat ketokohan pemimpin itu boleh dimanfaatkan dalam banyak cara kerana beliau masih dihormati. "Kenyataan Ku Li yang menyokong langkah kerajaan mengurangkan subsidi petrol dan diesel, adalah bukti beliau mampu berperanan secara konstruktif untuk negara. "Bagi jawatan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak tetap pilihan terbaik untuk dijadikan sandaran menerajui parti kerana beliau telah mencatatkan prestasi jauh lebih baik pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) berbanding PRU12 pada 2008," katanya. Ku Li, 76, pernah mencabar Dr Mahathir dalam pemilihan Presiden Umno pada 1987 dan Dr. Mahathir menang tetapi Umno berpecah sehingga membawa kepada penubuhan Parti Semangat 46 yang dipimpin Ku Li. Selepas kembali ke dalam Umno, Ku Li menawarkan diri bertanding jawatan yang sama bagi mencabar Dr. Mahathir pada tahun 2000, Abdullah Ahmad Badawi (2004) dan Najib (2009) tetapi semuanya gagal kerana pencalonan sangat kecil. The Malaysian Insider melaporkan Ku Li masih berahsia sama ada akan bertanding dalam pemilihan Umno Oktober ini, namun beliau tidak menafikan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) untuk mendapatkan sokongan. Beliau berkata beberapa perkara perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan, serta mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat dahulu. Katanya, jawatan presiden dan timbalan presiden yang tidak dipertandingkan atas alasan bagi mengelak perpecahan perlu berlandaskan perlembagaan. – 8 September, 2013. MTI YN
Posted on: Sun, 08 Sep 2013 15:24:16 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015