BERITA SEMASA: 15 MAUT KEBAKARAN HOTEL MADINAH 9 Feb. - - TopicsExpress



          

BERITA SEMASA: 15 MAUT KEBAKARAN HOTEL MADINAH 9 Feb. - Sebanyak 15 jemaah umrah terkorban dan lebih 130 orang lagi cedera, selepas hotel yang mereka diami terbakar di sini, semalam. Kebakaran tersebut berlaku di Hotel Ishraq al-Madina kira-kira pukul 2.33 petang waktu tempatan dan berjaya dikawal dua jam kemudian oleh 110 anggota bomba. Menurut pegawai yang dipetik agensi berita SPA, sebanyak 700 orang berada di dalam hotel berkenaan ketika kebakaran itu berlaku. Jurucakap Palang Merah Arab Saudi, Mohammed Mahmoud Kheyat berkata, kebanyakan mangsa maut akibat terhidu asap. Pihak berkuasa turut menutup jalan-jalan utama ke hotel yang terletak di Sitteen Street itu, bagi tujuan pemindahan mangsa ke tempat selamat. Punca kejadian sedang disiasat dengan sumber memberitahu, laporan awal menunjukkan kebakaran itu berlaku ekoran masalah litar pintas ketika kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan. Seramai 30 orang yang cedera, dirawat di tempat kejadian dan selebihnya dihantar ke Hospital King Fahd dan Hospital Ansar. Ada sesetengah daripada jemaah yang terperangkap di dalam hotel, bertindak memanjat bumbung hotel untuk menyelamatkan diri. Seorang jemaah umrah dari India yang tinggal di hotel berhampiran berkata, dia ternampak asap tebal keluar daripada Hotel Ishraq al-Madina ketika beliau pulang dari Masjid Nabi kira-kira pukul 2.45 petang. Saya nampak beberapa penghuni melambai-lambai dari tingkap. Kami juga lihat anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran. Orang ramai turut berkumpul di hadapan hotel, katanya. Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan melaporkan, tiada jemaah dari negara itu terlibat atau mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut. Laman web berita Al-Bawaba Nayouz pula memetik pegawai Palang Merah sebagai menyatakan, semua mangsa yang terkorban adalah rakyat Mesir. Seorang pegawai konsulat dari Kedutaan Mesir di Jeddah, Ahmad Zaki memberitahu akhbar Youm al-Sabaa, bahawa 10 yang maut merupakan warganegara Mesir. Menurut saksi pula, mangsa yang terkorban berasal dari pelbagai negara termasuk Mesir dan Turki. Gabenor Madinah, Putera Faisal bin Salman berkata, pihaknya akan menyiasat bagaimana kejadian itu boleh berlaku. - AGENSI/BERNAMA Artikel Penuh: utusan.my/utusan/Luar_Negara/20140210/lu_03/15-maut-kebakaran-hotel#ixzz2ssJw0eIq © Utusan Melayu (M) Bhd
Posted on: Mon, 10 Feb 2014 00:40:50 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015