BERTERUSAN BERZIKRULLAH SENDI AKIDAH Al-Quran membawa kepada - TopicsExpress



          

BERTERUSAN BERZIKRULLAH SENDI AKIDAH Al-Quran membawa kepada manusia satu konsep tasawwur penting dalam akidah iaitu kesempurnaan hati/roh. Ternyata al-Kitab mengkehendaki supaya umat Islam memfokuskan tasawwurnya kepada satu hakikat bahawa amalan zikrullah mempunyai hubungan yang kuat dengan Tuhan Maha Pencipta. Maha Berkuasa atas segalanya. Dia begitu hampir dengan hamba-hamba-Nya. Oleh sebab itulah Allah SWT berfirman. وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ Maksudnya: “Dan Kami lebih dekat kepadanya dari urat lehernya (sendiri).” (Surah Qaf: Ayat 16) Sebenarnya al-Quran telah memfokuskan bentuk tasawwur akidah Islam yang tersendiri, tidak didahului sebelumnya oleh mana-mana teori tauhid. Di dalamnya terdapat pengertian amalan zikrullah yang begitu luas lagi memberi kesan kepada fitrah manusia tanpa apa-apa kesukaran atau kepayahan. Banyak ayat Allah SWT di dalam al-Quran yang memerintahkan umat-Nya supaya berterusan berzikrullah (zikrul-qalb). Ini jelas membuktikan keutamaan dan kepentingan amalan ini untuk sampai ke darjat ihsan atau memiliki kesempurnaan hati/akidah, dan ianya selaras dengan penetapan-Nya bahawa amalan (zikrullah) ini merupakan seutama-utama ibadah sebagai pendokong kepada segala amal soleh yang difardukan. Ini ada diterangkan di dalam firman Allah SWT: وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ Maksudnya: “Zikrullah itu adalah seutama-utama ibadah.” (Surah al-Ankabut: Ayat 45) Oleh sebab itulah, maka al-Quran telah menetapkan bahawa amalan zikrullah sebagai wasilah untuk membersihkan hijab hati, kemudian ia tidak berhenti sekadar di situ kerana kalaulah dibiarkan begitu nescaya jadilah perintah (zikrullah) itu sekadar bersifat teori semata-mata. Dengan itu Allah SWT memerintahkan kepada umat Islam supaya mempelajari amalan zikrullah dan berterusan mengamalkannya dan membawa dalil-dalil tentang keutamaan amalan ini di mana manusia dapat mengambil manfaat daripadanya iaitu khusyuk hati dan menjadi penawar kepada hati yang terkena rasukan syaitan. Amalan ini juga diperintahkan-Nya supaya dilaksanakan seiring semasa mengerjakan segala amal soleh. Ini jelas menggambarkan keutamaan amalan kerohanian ini sebagai sendi akidah yang syumul. Di samping itu, Allah SWT juga memberi peringatan yang amat keras terhadap golongan yang keras hatinya untuk berzikir dan meletakkan mereka itu di dalam kesesatan (rosak akidah). Lantaran keutamaan berzikrullah ini, Allah SWT menghukum dengan hukuman munafik kepada mereka yang sedikit berzikir (bersambil lewa berzikrullah). Demikian juga Allah SWT menjadikan syaitan sebagai rakan kepada golongan yang lalai berzikrullah dan mereka dianggapkan telah melaksanakan kerja yang keji (jauh dari rahmat Allah SWT). Oleh itu, apabila kita lalai berzikir, maka binasalah akidah atau terputuslah tali kerohanian. Sesungguhnya amalan ini menjadi tali penghubung dengan Allah SWT dari aspek rohani (sendi akidah) yang tidak perlu ditokok tambah sebab akidah Islam ini sudah pun sempurna lengkap segala-galanya. Apabila iblis dan syaitan mengetahui dan menyedari, pusat operasi terpenting dalam tubuh badan manusia ialah hati, maka mereka berusaha sedaya upaya untuk menguasai pusat itu dengan cara mewujudkan perasaan was-was kepadanya (was-was syaitan), menghiasi nafsu dan syahwat, dan melariskan gerak kerja anggota zahir yang boleh menyelewengkan seseorang daripada jalan yang lurus. Iblis menguatkan pula dengan sumber-sumber luar (pengaruh persekitaran dan masyarakat) yang menjadikan manusia jauh dari mendapat hidayah dan pertolongan dari Allah SWT. Berbagai jerat dan jaring digunakan iblis dan syaitan untuk mempengaruhi manusia. Andaikata manusia terselamat daripada terjebak ke dalam satu jaring, ia tetap tidak dapat mengelakkan diri daripada menempuh halangan lain dalam perjalanan untuk mencapai ‘mardhatillah’. Terlalu sedikit manusia yang terselamat daripada tipu daya iblis dan syaitan ini kecuali golongan yang mampu berzikrullah terus menerus (kesempurnaan hati) dan sentiasa bermujahadah memerangi runtunan nafsu untuk mencapai darjat tertinggi dan mendapat keredaan-Nya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang mulia itu. إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ Maksudnya: “Sesungguhnya hamba-hambaku (yang ikhlas), tidak akan dapat dipengaruhi oleh mereka (syaitan).” (Surah Al-Hijr: Ayat 42) Berkata Sayyidina Ali bin Abu Talib r.a: “Sesungguhnya semua manusia bersungut atas iblis, namun iblis juga bersungut ke atas orang yang berzikrullah.” Lalu beliau pun membaca firman Allah SWT: إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَواْ إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِّنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُواْ فَإِذَا هُم مُّبْصِرُونَ Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang bertaqwa apabila disentuh rasukan syaitan, lalu mereka berzikrullah dan ketika itu mereka menjadi orang-orang yang mempunyai pemandangan (rahmat Allah ).” (Surah al-A’raf: Ayat 201) Dengan itu amalan zikrullah yang diperintahkan oleh Allah SWT menjadi senjata yang paling ampuh untuk meng- halang penguasaan iblis dan syaitan ke atas diri manusia. Apabila sampai ke darjat darjat ihsan atau memiliki kesempurnaan hati/akidah maka segala amal soleh yang dilaksanakan akan disinari oleh nur hidayah-Nya, dan mampu menjauhkan diri daripada segala larangan-Nya, lantas jadilah golongan ini sebagai orang yang hampir kepada Allah SWT (ikhlas). Turunlah ayat al-Quran: Maksudnya: “Iblis berkata, ‘Wahai Tuhanku! Kerana engkau telah menjadikan daku sesat, sesungguhnya aku akan memperindahkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di kalangan mereka’. Allah berfirman: ‘Inilah jalan yang lurus yang Aku tetap memeliharanya’.” (Surah Al-Hijr: Ayat 39-41) Hati berdasarkan fitrah ciptaan Allah SWT (darjat ihsan) bersedia menerima petunjuk Ilahi, tetapi oleh kerana ia dibentengi oleh runtunan nafsu syahwat dan was-was syaitan menjadikan ia menyeleweng dan berpaling dari petunjuk Allah SWT. Hati sentiasa menjadi rebutan antara tentera malaikat yang ditugaskan untuk menjaga hati manusia (nur kalbun) dengan tentera syaitan yang berusaha keras untuk menjajah dan menaklukinya, sehingga hati itu menyerah kepada salah satu daripada dua bala tentera ini. Apabila hati sudah dikuasai dan dijajah oleh mana-mana tentera ini, tentera ini akan menguatkan cengkamannya ke atas hati dan seterusnya membuat penempatan dan membuka operasi pentadbirannya di sana. Inilah yang dimaksudkan di dalam firman Allah SWT: “Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa tersembunyi.” (Surah An-Nas: Ayat 4) Allah SWT berfirman. وَلِتَصْغَى إِلَيْهِ أَفْئِدَةُ الَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ بِالآخِرَةِ وَلِيَرْضَوْهُ وَلِيَقْتَرِفُواْ مَا هُم مُّقْتَرِفُونَ Maksudnya: “Dan agar hati kecil orang yang tidak beriman kepada Hari Akhirat cenderung kepada bisikan (syaitan) itu dan agar mereka merasa senang kepadanya serta supaya mereka mahu mengerjakan apa yang dikerjakan oleh syaitan itu.” (Surah al-An’am: Ayat 113) Bala tentera syaitan dan iblis akan menjauhi golongan yang mampu berzikrullah terus menerus. Apabila ia lalai dari berzikrullah, syaitan dan iblis akan ambil kesempatan menguasai hati itu. Tidak ada amalan lain yang mampu menghalau tentera syaitan dan iblis kecuali melaksanakan amalan kerohanian ini. Tentera syaitan dan iblis tidak dapat menguasai hati orang yang mampu berzikrullah terus menerus kerana hati golongan ini dipenuhi oleh nur hidayah Ilahi. Sesungguhnya tentera syaitan dan iblis sentiasa berusaha menghalang manusia dari mendapat petunjuk Ilahi dengan menyesatkan mereka dengan jalan melalaikan dari berzikir dan mencintai runtunan nafsu syahwat. Oleh sebab itulah, maka amalan zikrullah ini menjadi amalan khusus sebagai wasilah untuk mencapai kesempurnaan hati/akidah yang dilaksanakan oleh Nabi SAW di dalam menyebarkan dakwah keimanan dan mentarbiyahkan orang ramai di kota Makkah selama 13 tahun sebelum berhijrah ke kota Madinah (untuk pelaksanaan segala amal soleh yang difardukan). Amalan kerohanian inilah yang pernah ditanyakan oleh Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a kepada Nabi SAW sebagai jalan (tariqah) untuk mencapai keredaan-Nya. Tanya Sayyidina Ali r.a: “Ya Rasulullah! Ajarkanlah kepada ku jalan yang paling dekat untuk sampai kepada Allah SWT, paling mudah (diamalkan) oleh hamba-hamba Allah dan yang paling afdhal (terbaik) di sisi Allah .” Nabi SAW menjawab dengan sabdanya: “Wajiblah atas engkau berterusan berzikrullah secara sirr (di dalam hati tanpa suara) dan secara terang (dengan suara).” Tegasnya, dakwah Nabi SAW di kota Makkah adalah menyempurnakan rohani (hati) atau akidah para sahabat r.a melalui amalan zikrullah seperti yang diperintahkan-Nya. Nabi SAW menunjukkan jalan berzikir kepada para sahabat r.a supaya sempurna hubungan rohani dengan Allah SWT (akidah) dan mereka tidak termasuk dalam golongan yang sesat. al-Quran ada membayangkan fakta tersebut dengan firman Allah SWT: وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّآلِّينَ Maksudnya: “Dan berzikrullah sebagaimana yang ditunjukkan kepada mu (yang memberi petunjuk kepada jalan berzikrullah mu). Dan sesungguhnya kamu sebelum itu termasuk dalam golongan orang-orang yang sesat.” (Surah Al - Baqarah: Ayat 198) Ayat al-Quran tersebut menunjukkan bahawa mempelajari ilmu dan amalan zikrullah adalah wajib kerana diperintahkan oleh Allah SWT. Apabila sempurna amalan ini maka sempurnalah hati itu dan kita tidak tergolong dalam golongan yang sesat (binasa rohani atau rosak akidah). Perhatikan bagaimana tasawwur akidah Islam yang berasaskan amalan kerohanian ini yang benar-benar berhubung dengan fitrah dalam diri manusia (roh) lagi bertepatan dengan realiti kejadiannya iaitu ditiupkan roh semasa manusia di dalam kandungan ibu, maka tiadalah cara lain baginya kecuali dengan cara memusnahkan segala halangan serta hijab-hijab hati yang mendindingnya di dalam hubungan dengan Allah SWT. Telah dijelaskan bahawa inilah peraturan yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dengan peraturan yang terang lagi mudah (amalan zikrullah) sebagai wasilah untuk pembersihan hati dari sifat-sifat keji (penyakit-penyakit hati) atau lintasaan-lintasan jahat (was-was syaitan) yang menyelubunginya dalam hubungan dengan Allah SWT (tali kerohanian). Oleh sebab itulah, maka fitrah asal dalam diri manusia (roh) tidak akan menemui ketenangan kecuali berhubung kepada Allah SWT melalui amalan ini. Dengan itu sebelum ditarbiyahkan dengan berzikir manusia itu berada di dalam kesesatan. Ternyata akidah Islam yang syumul (amalan zikrullah) begitu mudah dan ringkas untuk difahami dan dilaksanakan seperti yang diperintahkan Allah SWT. Terbukti Nabi SAW telah berjaya menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Diriwayatkan, seorang Badwi buta huruf yang datang berjumpa Nabi SAW dan mampu memahami tasawwur akidah Islam (amalan zikrullah) hanya dalam beberapa sesi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang syumul. Namun dalam kalangan umat Islam hari ini, tarbiyah keimanan yang dilaksanakan melalui hujah-hujah ilmu kalam (teori tauhid) begitu berfalsafah dan menyusahkan! Oleh sebab itulah, maka bukan Badwi buta huruf sahaja yang susah nak faham maksud akidah, tetapi mahasiswa universiti pun tidak memahaminya. Malah, seseorang bukan bertambah sempurna akidahnya, tetapi bertambah serabut pemikiranya tentang aspek itu. Sehingga lanjut usia masih dalam kesamaran dan jalan tarbiyah yang dilaksanakan pula tidak dapat diterap dalam amal ibadah dan kehidupan seharian. Diajar pengetahuan tentang pengertian Rabb, sifat-sifat Allah SWT dan af’al-Nya, padahal penganut agama lain juga menyatakan Tuhan itu ada, melihat, berkuasa, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan sebagainya. Apakah beza mereka dengan umat Islam jika hanya sekadar melonggokkan teori tauhid supaya bersarang pada akal semata-mata? Demikianlah, akidah Islam yang syumul yang berasaskan amalan zikrullah dan merupakan perintah Allah SWT tanpa pengubahsuaian tokok tambah atau tukarganti. Tidak bercampur di dalamnya dengan kewahaman mana-mana manusia atau campur tangan manusia, juga tanpa penyelewengan manusia. Ilmu dan amalan zikrullah (tariqah) ini telah lahir bersama kelahiran agama Islam, dihayati oleh Nabi SAW dan diajarkan kepada sahabat r.a, sehingga ia menjadi amalan biasa yang menyeluruh di kalangan sahabat r.a, tabi’in dan al-salaf. Bagaimana Nabi SAW mentalqinkan para sahabat r.a di dalam menjalani tarbiyah dengan berzikrullah, ianya juga menjadi displin pengajaran, asuhan, penyebaran ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah, menjadi satu displin yang penting, yang tidak boleh ditinggalkan sama sekali. Displin ini melahirkan konsep salasilah dalam ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah. Oleh itu, apabila umat Islam memilih jalan tarbiyah keimanan yang lain maka natijahnya juga akan menjadi lain. Umat Islam mesti menolaknya dan kembali mengikut jejak langkah tarbiyah keimanan angkatan umat Islam di zaman awal itu. Amalan zikrullah ini menjadi sendi akidah Islam yang syumul kerana amalan ini dapat membebaskan manusia dari keraguan dan kebimbangan serta menyelamatkannya daripada belenggu kesesatan. Inilah jawapan kepada masalah utama umat Islam (golongan ahli zahir) hari ini bagaimana jalan untuk mencapai ‘hati yang khusyuk’ atau kesempurnaan akidah meskipun telah jelas dalil-dalil di dalam al-Quran bahawa amalan kerohanian ini menjadi batu asas atau wasilah bagi pencapaian kesempurnaan aspek diri yang utama (hati/akidah) ini. Turunlah ayat al-Quran yang bermaksud: “Tidak kami abaikan sesuatu pun di dalam al-Kitab (Al-Quran).” (Surah Al-An’am: Ayat 38)
Posted on: Thu, 29 Aug 2013 08:16:24 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015