Bilakah Kudeta Bukan Lagi Kudeta? Apabila Ia Berlaku di Mesir, - TopicsExpress



          

Bilakah Kudeta Bukan Lagi Kudeta? Apabila Ia Berlaku di Mesir, Kelihatannya. Robert Fisk, The Independent. - Pemimpin Barat yang sedang memberitahu kita bahawa Mesir masih berada dalam jalan ke arah ‘demokrasi,’ perlu ingat satu perkara. Bahawa Mesir sememangnya dipilih melalui kaedah pilihan raya yang diiktiraf oleh Barat sebagai demokrasi. Pertama kali dalam sejarah dunia, kudeta bukan lagi kudeta. Askar mengambil alih, menurunkan, dan memenjara presiden yang dipilih secara demokratik. Bukan itu sahaja, bahkan perlembagaan digantung, tentera menahan siapa yang dirasakan perlu, menutup stesen-stesen televisyen, dan menzahirkan kekuatan mereka di tengah-tengah ibu kota. Apa pun, perkataan ‘kudeta’ atau ‘coup’ nampaknya tidak sama sekali keluar, ataupun boleh keluar, daripada mulut Barack Obama. Bukan juga daripada mulut Ban Ki Moon, Seiausaha Agung PBB. Bunyinya terlalu ofensif. Terlalu menyerang. Tentulah ini bukan kerana Obama tidak tahu apa yang berlaku. Mencadangkan Obama tidak tahu adalah luarbiasa apabila penembak tepat di Kaherah baru sahaja menembak mati 15 orang penduduk Mesir minggu lepas. Tembakan ini dibuat dari bumbung universiti yang sama di mana Obama membuat ucapan kepada seluruh umat Islam pada tahun 2009. Adakah rasa enggan ini lahir kerana ada berjuta rakyat Mesir yang menginginkan kudeta ini, walaupun ya, mereka tidak menamakannya kudeta? Maka di sini mengesahkan suatu sejarah di mana wujud perhimpunan pertama di dunia yang memang menginginkan sebuah kudeta, sebelum akhirnya berlaku kudeta itu? Adakah ini kerana Obama bimbang? Bimbang apabila dia mengiktiraf perbuatan tentera sebagai kudeta, Amerika terpaksa mengenakan sekatan ke atas negara Arab terpenting yang tidak bersengketa dengan Israel? Ataupun kebimbangannya adalah mereka yang melakukan kudeta ini akan kehilangan bantuan bernilai 1.5 biliion daripada Amerika. Kehilangan yang pasti, bukannya sekadar ditangguhkan sahaja. Ada satu detik yang mungkin menggembirakan hati Obama. Sewaktu membuat ucapan mengelat pada tahun 2009 itu, saat di mana Obama merujuk apa yang berlaku kepada rakyat Palestin sebagai suatu ‘campur tangan’ berbanding ‘rampasan,’ ada benda lain yang turut disebut. Apa yang disebut itu unik dan menarik apabila kita gandingkan dengan apa yang berlaku di Mesir hari ini. Sesetengah pemimpin, kata Obama, “hanya memperjuangkan demokrasi apabila dia hilang kuasa. Apabila berada di tampuk, dia menjadi kejam dalam menekan hak-hak orang lain… Kalian mesti mempertahankan hak minoriti dan bersama-sama dalam semangat toleransi dan kompromi. Kalian mesti meletakkan kemahuan rakyat dan kedaulatan politik melebihi parti sendiri. Tanpa semua ini, pilihranraya semata-mata tidak dapat disamakan dengan demokrasi.” Obama tidak mengucapkan kata-kata ini selepas sebuah kudeta, yang dikatakan bukan kudeta. Dia menyebut kata-kata ini, empat tahun yang lalu, di tempat yang tidak lain dan tidak bukan adalah Mesir sendiri. Kata-kata ini sedikit sebanyak merumuskan kesilapan Morsi (ada link bacaan tambahan di sini). Morsi melayan rakan-rakan Ikhwannya sebagai ketua, bukan sebagai pembantu rakyat. Dia tidak menunjukkan sebarang minat bagi mempertahankan minoriti Kristian di Mesir. Kemudian dia menaikkan kemarahan tentera apabila menghadiri perhimpunan Ikhwan; perhimpunan di mana rakyat Mesir diminta menyertai jihad di Syria bagi membunuh kaum Syiah dan menjatuhkan rejim Bashar al-Assad. Sebelum kita teruskan, di sini ada satu fakta penting. Bahawa yang berlaku dalam 48 jam yang lepas membawa kegembiraan dan kepuasaan kepada satu nama. Nama yang sedang bergelut melawan apa yang disifatkan ‘Islamis’ dan ‘terroris.’ Orang itu adalah Assad (ada link bacaan tambahan di sini). Barat memang mahu menghancurkan Assad. Ironinya, mereka tidak berbuat apa-apa apabila Tentera Mesir menjatuhkan Presiden Mesir. Presiden yang dilantik secara demokrasi dan menyokong apa yang disifatkan sebagai musuh Assad. Tentera Mesir tidak suka dengan sokongan ini. Tentera Mesir menggelarkan penyokong Morsi sebagai ‘pengganas dan mereka yang jahil.’ Panggilan yang sama juga digunakan oleh Bashar kepada musuhnya. Bertambah-tambah sinis jadinya apabila Assad memberitahu kami semalam yang tiada sesiapa patut menggunakan agama untuk mendapat kuasa. Apa pun, ucapan Obama itu tidak menjadikan dia benar-benar betul. Pemimpin Barat yang sedang mengingatkan kita betapa ini hanya sementara, ini hanyalah peralihan, sama seperti istilah ‘sementara’ yang digunakan oleh Tentera Mesir, ataupun betapa ada berjuta yang menyokong sebuah kudeta yang bukan kudeta ini, perlu ingat sesuatu. Betapa Morsi memang diundi melalui suatu sistem pilihraya yang diiktiraf dan diakui Barat. Ya, Morsi hanya menang 51 peratus, ataupun 52 peratus undi. Tetapi apa kisahnya pula dengan George W. Bush? Adakah dia benar-benar menang waktu itu? Apa yang pasti, Morsi menang dalam jumlah yang lebih besar daripada David Cameron (ada link bacaan tambahan di sini). Kita boleh katakan yang Morsi kehilangan mandatnya apabila tidak lagi berkhidmat untuk majoriti rakyat. Tetapi adakah logik ini terpakai untuk mengabsahkan sebuah kudeta? Adakah Tentera Eropah patut mengambil alih negara-negara mereka apabila sahaja perdana menteri mereka mendapat sokongan kurang daripada 50 peratus rakyat dalam tinjauan bebas? Selain itu, adakah Ikhwan akan dibenarkan terlibat dalam pilihanraya presiden akan datang? Adakah mereka akan diharamkan? Katakan mereka terlibat dan menang, apa pula akan berlaku? Yang jelas, Israel tentu sekali senang hati. Mereka tahu sekali apa itu kudeta apabila mereka melihatnya. Dengan keadaan sekarang, mereka akan memainkan semula peranan mereka sebagai satu-satunya ‘demokrasi’ di tengah-tengah negara Timur Tengah. Di tengah-tengah jiran yang mereka faham adalah hakikatnya pemerintahan tentera. Dan sekiranya pemerintah Mesir mendatang mendapat 1.5 billion setahun itu daripada Washington, sekalipun mungkin lambat, pemerintah ini tidak akan mengusik perjanjian damai sedia ada dengan Israel. Ini sekalipun betapa tidak popular tindakan pemerintah ini kepada mereka yang turut sama terlibat menjayakan sebuah kudeta yang dikatakan bukan kudeta tadi. Sekarang, bersedia untuk melihat delegasi pertama Amerika. Delegasi ke sebuah negara yang ditimpa sebuah kudeta yang bukan kudeta. Kita akan tahu sama ada mereka percaya kudeta ini memang berlaku ataupun tidak, dengan melihat siapa yang akan mereka temui ketika tiba di Kaherah nanti. Siapa lagi kalau bukan tentera, pastinya. Terjemahan untuk Universiti Terbuka Anak Muda. Pendapat dan hak analisa milik Robert Fisk. Tulisan asal di: independent.co.uk/voices/comment/when-is-a-military-coup-not-a-military-coup-when-it-happens-in-egypt-apparently-8688000.html
Posted on: Sat, 06 Jul 2013 18:39:30 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015