Contohi cara Nabi layan isteri Bijak menguruskan emosi menjadi - TopicsExpress



          

Contohi cara Nabi layan isteri Bijak menguruskan emosi menjadi faktor utama dalam mengekalkan kerukunan rumah tangga. Sebaliknya tindakan menurut emosi menjadikan masalah dihadapi semakin sukar ditangani, sekali gus menimbulkan kecelaruan berpanjangan. Suami atau isteri yang bersikap rasional dalam menghadapi sebarang isu dan masalah rumah tangga pasti dapat menjalani kehidupan dalam suasana harmoni. Sikap saling memahami di antara kedua-duanya mampu menenggelamkan apa saja masalah yang timbul. Jika kita perhatikan sirah Rasulullah SAW, sebenarnya baginda seorang suami yang sangat memahami isteri. Baginda menghormati isteri, tahu mengambil hati dan bertolak ansur dalam banyak hal. Dalam satu riwayat Muslim yang diceritakan isteri baginda, Aisyah RA: “Pada suatu hari Rasulullah SAW berkata kepadaku: Aku tahu bila engkau suka padaku dan kau marah padaku.” Mendengarkan kata-kata baginda itu, aku bertanya kepadanya: “Dari mana engkau tahu?” Baginda menjawab: “Jika engkau suka kepadaku, maka engkau akan mengatakan tidak demi Tuhan Muhammad. Dan jika engkau marah kepadaku, engkau akan mengatakan tidak demi Tuhan Ibrahim.” Sambung Aisyah lagi: “Kemudian aku berkata kepada baginda: Benar, demi Allah. Tidaklah aku menghindari melainkan namamu sahaja.” Perhatikan cara baginda SAW memahami isi hati isterinya. Baginda seorang suami yang tidak bertindak terburu-buru, sebaliknya baginda membaca ‘anatomi’ emosi isterinya. Demikianlah juga halnya dengan kita, sebagai seorang suami yang mengimpikan keberkatan hidup, sewajarnya kita berusaha belajar ‘membaca’ emosi isteri kita. At-Thabrani ada meriwayatkan mengenai sikap tolak ansur baginda seperti diperakui Aisyah: “Rasulullah apabila berkumpul bersama isteri-isterinya, baginda adalah seorang suami yang paling bijak dan semulia manusia yang penuh dengan gelak tawa dan senyum simpul.” Said bin Yazid juga ada melaporkan suatu ketika seorang wanita datang menemui Rasulullah SAW. Kemudian, Rasulullah bertanya kepada Aisyah: “Wahai Humairah, apakah kau kenal wanita yang datang ini?” Jawab Aisyah: “Tidak, wahai Rasulullah.” Lalu Rasulullah SAW menjelaskan mengenai wanita terbabit. “Dia adalah Qaynah...” Selepas itu baginda menambah satu soalan kepada Aisyah: “Apakah engkau ingin Qaynah nyanyi untukmu?” Dengan tersenyum malu, Aisyah menjawab: “Ya, aku mahu.” Lantas Rasulullah memanggil Qaynah dan mengarahkan dia persembahkan nyanyian untuk Aisyah. Ketika Qaynah mempersembahkan nyanyian untuk Aisyah, kelihatan baginda tersenyum riang melihat isterinya terhibur. (Riwayat an-Nasai) Nyata Rasulullah SAW tidak terlalu tegas dalam hal kebiasaan rumah tangga. Baginda tidak mengongkong isteri daripada mendapatkan ruang untuk berehat dan menghiburkan hati selepas penat seharian menguruskan rumah tangga. Satu lagi kisah membabitkan Saidina Umar al-Faruq atau al-Khattab. Diceritakan, pada suatu hari seorang lelaki datang ke rumah Umar untuk mengadu hal keburukan isterinya. Namun, setibanya di tepi rumah Umar, dia terdengar isteri Umar sedang mengeluarkan kata-kata yang keras dan kasar kepadanya. Umar pula hanya berdiam diri tanpa menjawab balas apa dikatakan isterinya. Lama lelaki itu berfikir, lalu mengambil keputusan berpatah balik ke rumahnya sahaja. Ketika lelaki itu melangkah untuk pulang, kebetulan Umar keluar ke pintu rumahnya. Melihatkan lelaki itu, lantas Umar berteriak memanggil lelaki itu dan berkata: “Engkau datang kepadaku, tentu hendak membawa berita penting!” Dijawab lelaki itu: “Ya sahabatku Umar. Aku datang kepadamu hendak mengadu keburukan isteriku kepadaku. Tetapi, selepas aku mendengar kelancangan isterimu tadi terhadapmu dan sikap diammu terhadap perlakuannya, aku terus membatalkan niatku untuk melaporkan kepadamu.” Umar gembira kerana lelaki itu berterus terang tanpa menyembunyikan niat sebenarnya tadi. Beliau berkata: “Wahai saudaraku, isteriku sudah memasak makanan untukku. Dia juga mencuci pakaianku, mengurus rumah tangga dengan baik dan mengasuh anak-anakku sehingga tiada kenal erti penatnya. “Maka apabila dia berbuat satu dua kesalahan tidaklah layak dikenangnya, sedang kebaikan-kebaikannya dilupakan...” Lelaki itu tunduk membisu tatkala mendengar penjelasan Umar yang nyata berjaya mengawal emosi. Dia kemudian melangkah pulang sambil berazam akan cuba memperbaiki hubungan dengan isterinya. Demikianlah beberapa kisah penuh hikmah untuk kita renungi dan teladani bersama. Dari itu, kawallah emosi dan fahami isteri kita agar kita tidaklah bertindak melulu, sekali gus mengelakkan kekeruhan alam rumah tangga. Penulis ialah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah hm
Posted on: Thu, 18 Jul 2013 10:35:05 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015