Dalam bab kedua, Dr Syamsuddin Arif dan Dr Dinar Dewi Kania - TopicsExpress



          

Dalam bab kedua, Dr Syamsuddin Arif dan Dr Dinar Dewi Kania menyorot definisi falsafah yang cuba dibawa oleh orientalis dengan memperkecilkan peranan keintelektualan Islam, sebaliknya hanya meletakkan Islam sebatas penyambung lidah filosof Yunani kepada Barat (sebagaimana yang turut disentuh oleh Julian Marrias dalam bukunya, History of Philosophy). Pandangan orientalis yang ada kalanya berbaur rasisme itu ditolak dengan mengemukakan pandangan intelektual Muslim sendiri seperti Seyyed Hossein Nasr (beliau memperincikan perjalanan sejarah falsafah Islam dengan baik dalam Islamic Philosophy from Its Origin to the Present: Philosophy in the Land of Prophecy), selain MM Sharif, Oliver Leaman dan Alparslan Acikgenc yang menegaskan falsafah Islam lahir daripada kegiatan intelektual sejak abad pertama Islam lagi kerana persoalan kekuasaan dan keadilan Tuhan, hakikat kebebasan dan kebertanggungjawaban manusia sudah memercikkan pelbagai mazhab aqidah dalam sejarah sehingga munculnya kelompok Khawarij, Syiah dan Muktazilah. Pengarang turut membawa kerangka pembinaan ilmu dalam tradisi Islam yang dibuat oleh Alparslan dan turut digunakan Hamid Fahmy Zarkasyi yang menjelaskan tahap kelahiran ilmu yang bermula dengan penurunan wahyu dan pembentukan pandangan alam Islam pada period Makkah pada zaman kenabian; diikuti period kesedaran bahawa wahyu mengandungi struktur ilmu pengetahuan yang kemudian memunculkan tradisi keilmuan serta kelahiran pelbagai disiplin ilmu dalam Islam. Sorotan ini sangat penting dalam membina keyakinan umat Islam terhadap kekuatan tradisi ilmu dalam Islam, sekali gus tidak menolaknya mentah-mentah sama ada kerana menggunakan kerangka modenisme yang memutuskan mata rantai tradisi ilmu dalam Islam semata-mata untuk mengabsahkan pandangan pemikir modenis sendiri atau pun golongan yang menggelarkan diri sebagai pengikut salafiyyun yang menolak bahagian tradisi ilmu dari kalangan ulama dan ilmuwan khalaf atau yang terkemudian seolah-olah keilmuan mereka sudah cukup untuk menggantikan tradisi ilmu ratusan tahun dalam Islam.
Posted on: Tue, 01 Oct 2013 03:14:49 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015