Empat daripada lapan mangsa tragedi bas terjunam ke dalam gaung di - TopicsExpress



          

Empat daripada lapan mangsa tragedi bas terjunam ke dalam gaung di Genting Highlands yang dirawat di Hospital Selayang, telah dipindahkan ke dua hospital lain. Pengarah Hospital Selayang Dr Siti Zaleha Mohd Salleh berkata Nur Shamimi Jaafar, 25 tahun, dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, pada 2 petang semalam kerana ingin berada di tempat kelahirannya. Tiga lagi mangsa iaitu Rashidah Buyah, 50 tahun; serta dua anaknya, Raawnok Arefin, 14 tahun; dan Rezyan Arefin, 24 tahun, dipindahkan ke Prince Court Medical Centre di ibu negara pada kira-kira 10.15 malam semalam. Mereka merupakan warga Kanada berketurunan Bangladesh. Menurut Dr Siti Zaleha, empat lagi mangsa nahas bas yang masih berada di Hospital Selayang kini ditempatkan di wad biasa dan berada dalam keadaan stabil. Sementara itu, setakat tengah hari tadi, mayat tujuh mangsa nahas itu yang ditempatkan di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) masih belum dituntut. Jurucakap HKL berkata, ini termasuk mayat seorang wanita dipercayai berbangsa Afrika yang belum dikenal pasti. Katanya, lima mangsa yang dirawat di HKL berada dalam keadaan stabil. Menurut Dr Siti Zaleha lagi, seorang mangsa kemalangan berbangsa Indonesia yang dirawat di Hospital Bentong, Pahang, dibenarkan keluar hari ini.
Posted on: Sun, 25 Aug 2013 11:45:02 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015