GUA MUSANG - Kerajaan diminta selesai segera masalah penduduk - TopicsExpress



          

GUA MUSANG - Kerajaan diminta selesai segera masalah penduduk Orang Asli di Kampung Lambok yang tidak menerima kemudahan air bersih. Penghulunya, Damak Angah berkata, sebelum ini masalah itu telah beberapa kali dikemukakan kepada pemimpin tempatan, namun belum ada tindakan untuk mengatasinya. Menurutnya, keadaan yang lebih utama keperluan air bersih kerana penduduk Orang Asli sekarang ini terpaksa menggunakan air sungai yang tidak terjamin kebersihannya. “Memang tangki air sudah lama dipasang di setiap rumah penduduk, namun belum disediakan kemudahan air hingga sekarang,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran di Kampung Lambok, dekat sini, kelmarin. Hadir sama pada majlis itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Adun Nenggiri, Mat Yusoff Ab Ghani dan Adun Galas, Ab Aziz Yusof. Damak berkata, begitu juga dengan masalah rumah penduduk yang sekian lama tinggal di rumah kayu hingga keadaan kediaman semakin reput dan menunggu runtuh. “Sekarang tidak sesuai lagi tinggal di rumah kayu kerana kerajaan sudah banyak melakukan perubahan dengan membina rumah konkrit untuk tahan lama,” katanya. Sementara itu, Mat Yusoff pula dalam ucapannya akan mengambil perhatian segera terhadap aduan itu dan mengakui sebelum ini juga sudah diadakan rundingan berhubung perkara tersebut. “Kita akan mengadakan perjumpaan susulan dengan penghulu kampung itu selepas ini bagi menetapkan cara terbaik untuk mengatasinya ,” katanya kepada Sinar Harian.
Posted on: Sat, 07 Sep 2013 11:39:14 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015