Helium adalah sejenis unsur kimia dengan simbol He dan nombor atom - TopicsExpress



          

Helium adalah sejenis unsur kimia dengan simbol He dan nombor atom 2. Ia adalah gas monoatom tidak berwarna, tidak berbau, tidak berasa, tidak beracun dan lengai yang menjadi kepala kepada kumpulan gas adi di dalam jadual berkala. Helium mempunyai takat didih dan lebur yang terendah antara semua unsur dan ia wujud dalam bentuk gas kecuali dalam keadaan-keadaan ekstrem. Helium adalah unsur kedua paling ringan dan yang kedua terbanyak di dalam alam semesta boleh cerap. Ia membentuk 24% jisim unsur keseluruhan, iaitu 12 kali ganda jisim kesemua unsur lain yang lebih berat digabungkan. Peratusan kelimpahan helium di alam semesta adalah sama dengan peratusannya di dalam Matahari dan planet Musytari. Ini disebabkan oleh tenaga pengikatan nuklear (setiap nukleon) helium-4 yang sangat tinggi berbanding dengan tiga unsur seterusnya selepas helium. Tenaga pengikatan helium-4 ini juga menjelaskan kebiasaannya diperolehi daripada pelakuran nuklear dan pereputan radioaktif. Kebanyakan helium di alam semesta ialah helium-4, dan ia dipercayai telah dihasilkan sewaktu Letupan Besar. Kini, helium baru dihasilkan oleh pelakuran hidrogen di dalam teras bintang-bintang. Helium dinamakan bersempena nama dewa Matahari dalam kepercayaan orang Yunani, Helios. Ia telah dikesan buat pertama kali sebagai satu garis spektrum kuning yang tidak diketahui di dalam cahaya matahari sewaktu gerhana matahari pada 1868 oleh seorang ahli falak Perancis, Jules Janssen. Janssen diberikan penghargaan kerana menemui helium bersama-sama dengan Norman Lockyer. Janssen telah memerhati sewaktu kejadian gerhana matahari pada 1868 itu, sementara Lockyer memerhatikan dari Britain. Lockyer merupakan orang pertama yang mencadangkan yang garis spektrum baru itu disebabkan oleh satu unsur baru, yang kemudiannya dinamakan olehnya. Penemuan unsur itu secara rasmi telah dibuat pada tahun 1895 oleh dua ahli kimia Sweden, Per Teodor Cleve dan Nils Abraham Langlet; mereka menemui unsur itu datang daripada sejenis bijih uranium bernama klevait (cleveite). Pada 1903, simpanan helium yang besar telah ditemui di medan-medan gas asli di kawasan-kawasan Amerika Syarikat, yang kini menjadi pembekal terbesar gas ini buat masa sekarang. Helium digunakan dalam kriogenik (kegunaannya yang terbesarnya, menggunakan suku daripada jumlah pengeluaran), terutama sekali dalam penyejukan magnet pengalir lampau (superconducting magnets), dan kegunaan komersialnya yang utama adalah di dalam pengimbas MRI. Kegunaan industri helium yang lain sebagai gas pemberi tekanan dan penyingkiran dan sebagai atmosfera pelindung untuk kimpalan arka dan di dalam proses-proses seperti membesarkan kristal untuk menghasilkan wafer silikon merangkumi separuh daripada penggunaan gas helium yang dihasilkan. Kegunaan kecil helium yang sangat diketahui ialah sebagai gas pengangkat di dalam belon dan kapal udara.[2] Seperti mana gas-gas lain yang lebih ringan daripada udara, jika gas ini disedut sedikit, ia akan mengubah kedalaman suara manusia untuk seketika. Dalam kajian saintifik, perilaku dua fasa cecair helium-4 (helium I dan helium II) adalah penting kepada para pengkaji yang mengkaji tentang mekanik kuantum (lebih tepat lagi, ciri-ciri kebendaliran lampau) dan juga kepada mereka yang memerhatikan fenomena yang suhu hampir sifar mutlak sebabkan pada jirim, seperti pengaliran lampau. Di Bumi, gas ini agak jarang, dengan kelimpahan di atmosfera bumi hanya sebanyak 0.00052% mengikut isipadu. Kebanyakan helium dari Bumi yang wujud pada hari ini dihasilkan melalui pereputan radioaktif unsur-unsur radioaktif yang berat (torium dan uranium). Zarah-zarah alfa yang dipancarkan dalam pereputan ini terdiri daripada nukelus-nukleus helium-4. Helium radiogenik ini terperangkap dengan gas asli dengan kepekatan sehingga 7% mengikut isipadu. Dari situ, ia diekstrak secara komersial melalui proses pemisahan bersuhu rendah yang dinamakan penyulingan berperingkat
Posted on: Sat, 14 Sep 2013 14:13:14 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015