I2M Muktamadkan Perjanjian Dengan Firma Yang Berminat Buka Operasi - TopicsExpress



          

I2M Muktamadkan Perjanjian Dengan Firma Yang Berminat Buka Operasi Di Iskandar Anak syarikat milik penuh Khazanah Malaysia, i2M Ventures Sdn Bhd (i2M), sedang memuktamadkan perjanjian dengan beberapa syarikat perkhidmatan perniagaan dan penyumberan luar bagi menubuhkan operasi di Iskandar Malaysia. Pengarah Urusannya Zulfiqar Zainuddin berkata syarikat tempatan dan asing kini menunjukkan minat dalam koridor ekonomi sebagai lokasi perkhidmatan perniagaan dan penyumberan luar pilihan. Banyak minat ditunjukkan terhadap Iskandar Malaysia. Kami juga sedang memuktamadkan perjanjian dengan syarikat tertentu yang berminat membuka operasi di sini (Iskandar). Kami berusaha membawa lebih banyak syarikat Malaysia dan asing ke Iskandar Malaysia dalam tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang, katanya kepada Bernama ketika ditemui sempena Sidang Kemuncak Penyumberan Luar Asia Pasifik 2013 di Nusajaya. Beliau berkata i2M merupakan mandat jelas bagi menarik dan membangunkan industri perkhidmatan dan penyumberan luar di Iskandar Malaysia yang bersempadan dengan Singapura. Kami kini di peringkat permulaan, katanya menegaskan mengenai perlunya i2M untuk memahami kehendak pelanggan untuk kemudahan infrastruktur dan komponen lain seperti pembangunan bakat, dasar dan pelbagai sokongan yang diperlukan. i2M, yang sebelum ini dikenali sebagai Malohom Bay Ventures Sdn Bhd, ditubuhkan pada 2012 dan memberi tumpuan ke atas inisiatif mempromosi pelaburan strategik untuk perkhidmatan perniagaan/perkhidmatan berkongsi dan sektor penyumberan luar di Iskandar Malaysia. Zulfiqar berkata syarikat yang menunjukkan minat di Iskandar meliputi pelbagai kumpulan, termasuk dari Singapura dan lain-lain yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Syarikat dari Singapura mungkin juga entiti dari Eropah dan Amerika Utara yang mempunyai peranan penting di peringkat kawasan dan Asia Pasifik di republik itu serta Kuala Lumpur, katanya. Syarikat ini sedang mengenal pasti lokasi untuk melengkapkan operasi mereka di Singapura dan Kuala Lumpur, dan Iskandar berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan mereka, katanya. Ditanya jika kos yang semakin meningkat di Singapura memain peranan penting dalam keputusan yang dibuat syarikat bagi memindahkan operasi perniagaan mereka ke Iskandar Malaysia, Zulfiqar berkata kos merupakan antara faktor peting dalam senarai panjang itu. Malaysia dan Iskandar, katanya, bukan sahaja sekadar kos malah jenis pembangunan, bakat, gaya hidup, jenis infrastruktur yang tepat selain dasar yang menyokong industri. Itulah perkara yang dilihat sebagai kelebihan menjalankan perniagaan di Iskandar Malaysia, katanya dan menambah kira-kira 300 firma multinasional memberi perkhidmatan kepada industri perkhidmatan berkongsi dan penyumberan luar di Malaysia. - BERNAMA
Posted on: Fri, 25 Oct 2013 00:33:09 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015