IKTIBAR DARI TANAH SUCI memaparkan beberapa kisah benar yang - TopicsExpress



          

IKTIBAR DARI TANAH SUCI memaparkan beberapa kisah benar yang pernah dialami oleh para jemaah haji dan umrah, yang boleh dikongsi untuk dijadikan iktibar dan renungan bersama. KISAH 05 : NAIK HAJI TAK CUKUP ‘BEKALAN’ (sambungan). Bahagian 2 Setelah tiba di Makkah semua jemaah menginap di sebuah hotel yang terletak lebih kurang 300 meter dari Masjidil Haram. Setelah bersarapan dan berehat, semua jemaah pargi ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf. Bagi jemaah yang melakukan haji tamattu’, mereka melakukan tawaf rukun untuk umrah, seterusnya melakukan saei dan bergunting rambut serta bertahallul. Selepas itu mereka tidak perlu memakai kain ihram lagi. Bagi jemaah yang melakukan haji ifrad dan haji qiran, mereka melakukan tawaf qudum (tawaf selamat datang). Mereka akan terus dalam pakaian ihram sehinggalah mereka melontar Jamrah Kubra di Mina pada Hari Raya Haji. Pada tanggal 8 Zulhijjah, selepas lebih daripada seminggu berada di Makkah, Wan Zainol dan majoriti jemaah haji lain bertolak ke Arafah untuk melakukan wukuf keesokannya. Setelah wukuf mereka mabit di Muzdalifah, kemudian terus ke Mina untuk melontar jamrah dan mabit di sana. Setelah itu mereka balik semula ke Makkah untuk melakukan tawaf dan saei haji. Kini selesailah kerja haji yang mereka lakukan. Jemaah haji yang datang awal ke Makkah akan bersiap untuk pulang ke tanah air. Wan Zainol bersama kumpulannya yang masuk lewat ke Makkah berpeluang mengerjakan beberapa kali umrah mengikut kemampuan masing-masing. Kini musim haji sudah berlalu. Pada suatu pagi selepas solat subuh berjemaah di masjid dan balik bersarapan di tempat menginap, Wan Zainol tidak terus ke bilik menginapnya. Beliau mahu duduk berehat saja di ruang tamu di hadapan kaunter penyambut tamu hotel. Beliau sengaja tidak mahu melakukan umrah sunat pada hari itu. Di ruang tamu hotel tersebut kebiasaannya Encik Sahari selalu berada di situ sedang menonton televisyen. Semasa Wan Zainol keluar untuk bersolat waktu di masjid dan balik semula, beliau pasti bersua dengan Encik Sahari selalu berada di situ. Memang tepat jangkaan beliau. Wan Zainol mengambil kesempatan untuk berbual dengan Encik Sahari dan kebetulan pada pagi itu cuma beliau berdua sahaja berada duduk di ruang tamu itu. Sudah banyak maklumat daripada jemaah lain mengenai Encik Sahari yang menusuk masuk ke telinga Wan Zainol. Antaranya beliau selalu ‘hanyut’ (antara sedar dengan tidak sedar), selalu lupa dan kadang-kala tanpa disedar terkencing di tempat duduknya. Isterinya yang tinggal sebilik dengannya yang tidak ada di situ, selalu kelihatan suram, pendiam dan kesal di atas kelakuan suaminya itu. Ibadat haji yang telah dikerja lebih kurang seminggu yang lalu sempurnakah atau tidak, wallahu a’alam. Semasa mengerjakan ibadat haji boleh dikatakan semua jemaah sibuk untuk menyelesai dan menyempurnakan amalan masing-masing. Boleh dikatakan tidak ada ruang untuk memantau amalan orang lain. Cuma yang jelas akhir-akhir ini Encik Sahari tidak jemu-jemu menonton televisyen di ruang tamu hotel dan selalu berada di situ, dan tidak pergi solat berjemaah di Masjidil Haram. Pergerakan jemaah lain yang mesti melalui ruangan tamu itu untuk bersolat waktu berjemaah di Masjidil Haram dan keluar untuk mengerjakan umrah sunat, sedikit pun tidak menarik minat beliau. Pujukan dan nasihat daripada kawan-kawan dan isterinya tidak dihiraukan. Isterinya kerap ke masjid menunaikan solat waktu dan mengerjakan umrah sunat menumpang bersama wanita yang lain. Setelah bersembang panjang diantara mereka berdua, Wan Zainol dapat mencungkilkan maklumat mengenai Encik Sahari, sebagaimana berikut :- 1. Encik Sahari tinggal di sebuah daerah di Selangor (maklumat lebih terperinci sengaja tidak didedahkan). 2. Beliau ialah sorang pesara kerajaan yang berada dan kerap melancong ke luar Negara sebelum dating ke Tanah Suci. Banyak wang yang dibawa bersamanya ketika dating untuk menunaikan ibadat haji. 3. Beliau dan isterinya mendaftar untuk menunaikan ibadat haji melalui pekej swasta. Oleh kerana nama mereka tidak termasuk dalam kuota Tabung Haji peringkat awal, mereka tidak membuat persiapan dan belajar mengenai cara-cara menunaikan ibadat haji dan umrah. 4. Akhirnya apabila ditawarkan melalui pekej swasta di saat akhir, beliau tidak sempat untuk membuat persediaan dari segi ilmu. Beliau ke Tanah Suci bersama isterinya dengan anggapan bahawa di sana nanti akan diberi kursus haji bersama jemaah lain. Tetapi anggapannya itu meleset. 5. Bila diuji beliau sedikit pun tidak mengetahui tentang pantang-larang dalam ihram. Hal-hal lain seperti rukun, wajib dan sunat dalam ibadat haji juga masih kabur, dan ibadat haji yang dilakukan adalah menurut apa yang dilakukan oleh jemaah haji lain yang bersama. 6. Semasa berada di Makkah beliau selalu merungut dan merasa jemu (serabut) dengan keadaan dan suasana di situ. Beliau selalu meluahkan keinginan untuk cepat kembali ke tanah air. Tiga hari lagi sebelum semua jemaah yang bersama Wan Zainol akan bertolak pula ke Madinah, Encik Sahari telah mengambil langkah yang nekad untuk balik ke tanah air. Sudah puas dinasihatkan oleh ustaz penasihat pekej dan pujukan isterinya, beliau tetap berkeras untuk pulang ke tanah air bersama isterinya. Beliau tetap tidak berganjak dengan hasratnya untuk balik awal dan tak mahu pergi menziarahi Madinah. Walaupun sudah diberi alasan bahawa tempahan tiket kapalterbang ialah dua minggu lagi, beliau tetap berkeras dan akan menguruskan sendiri. Isterinya kelihatan berlinang air mata dan terus berdiam diri tanpa berkata-kata. Encik Sahari kemudiannya telah menyewa khas sebuah teksi untuk pergi ke Jeddah bersama isterinya. Beliau meminta pemandu teksi tersebut mengambil paspot beliau dan isterinya daripada ketua rombongan. Beliau sanggup memberi upah sebanyak SR1000 kepada pemandu teksi tersebut setelah berjaya mendapat paspot-paspot berkenaan, tolong menempah tiket kapal terbang untuk dua orang dari Jeddah ke Malaysia (bayaran wang lain) dan menghantar mereka ke Jeddah. Pemandu teksi tersebut telah berjaya melaksanakan tugasnya dengan sempurna dan mendapat ganjaran yang lumayan. Akhirnya Encik Sahari bersama isterinya telah selamat pulang ke tanah air yang lebih dicintainya. (Nama watak-watak yang disebut dalam kisah di atas adalah bukan nama sebenar). Kesimpulan sebagai iktibar : 1. Bila sudah berniat untuk ke Tanah Suci belajar secukupnya. Kepada jemaah haji yang membuat rayuan mengikut kuota haji atau dalam keadaan menunggu ‘standby’, lengkapkan diri dengan ilmu dan sentiasa bersedia. Sekiranya diterima seruan di saat akhir untuk berangkat ke Tanah Suci, sekurang-kurangnya anda sudah berada dalam keadaan bersedia. 2. Kalau ada wang tunaikan kefarduan dulu kemudian baru melancong, dan bukan disebaliknya. 3. Perbelanjaan haji dan umrah hendaklah daripada sumber yang betul-betul halal. 4. Mana-mana jemaah akan kerugian besar sekiranya tidak gunakan sepenuh peluang semasa berada di Tanah Suci. 5. Umat Islam yang boleh sampai ke Makkah, sepatutnya pergi menziarahi Madinah. Ada beberapa hadis Rasulallah s.a.w. yang mengingatkan mengenai ziarah Madinah, sebagaimana berikut ; a. “Sesiapa yang menunaikan fardu haji ke Baitullah al-Haram dan tidak menziarahi aku, sesungguhnya ia menjauhkan dirinya daripada aku”. (Maksud hadis riwayat Al-Tabrani). b. “Sesiapa yang mengerjakan haji lalu ia menziarahiku selepas wafatku, seolah-olah ia telah menziarahiku semasa hidupku”. (Hadis riwayat Said Ibn. Mansur). c. “Barang siapa yang menunaikan fardu haji ke Baitullah Al-Haram, dan tidak menziarahiku (di Madinah), sesungguhnya ia menjauhkan dirinya daripadaku”. (Maksud hadis riwayat Al Tabrani). 6. Sebelum pulang ke tanah air setiap jemaah mesti melakukan tawaf wada’, kalau tidak ianya dikira satu kesalahan dan berdosa. 7. Dapatkan pahala sebanyak mungkin apabila pulang dari Tanah Suci, dan bukan disebaliknya. Wallahu aalam. wmn.
Posted on: Fri, 25 Oct 2013 13:46:05 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015