INFO PENTING DLM KEHIDUPAN KITA SAUDARA DAN SAUDARI...SILA LA - TopicsExpress



          

INFO PENTING DLM KEHIDUPAN KITA SAUDARA DAN SAUDARI...SILA LA BACA... Nama bapa dalam sijil lahir Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAAKOB dan SITI AIRUNNISA ALAUI [email protected] KUALA TERENGGANU 15 Okt. - Maklumat mengenai individu yang mengaku bapa kepada anak luar nikah kini boleh dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Maklumat itu berdasarkan pengakuan sebagai bapa bagi pasangan yang berkahwin kurang daripada enam bulan (qamariah) dan yang tidak berkahwin dengan syarat ibu dan lelaki itu menandatangani bersama borang permohonan. Ia selaras dengan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299), Seksyen 10 Ordinan Sabah Cap 123 dan Seksyen 11 Ordinan Sarawak Cap 10 dan Pekeliling 8/2009 yang telah diedarkan kepada semua JPN negeri pada Ogos 2009. Penjelasan itu dibuat dalam kertas kerja oleh Timbalan Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN, Noor Azliza Shaharuddin bersama Pegawai Undang-Undang JPN, Zarifah Zulghaffar. Ia dibentangkan oleh mereka dalam program Munaqasyah Al-Syariah: Isu Anak Tidak Sah Taraf di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini. Program anjuran Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam dengan kerjasama Jabatan Mufti disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat. Isu anak tidak sah taraf hangat dibincangkan apabila kerajaan negeri mencadangkan mekanisme bagi membolehkan anak-anak itu didaftarkan dalam sijil kelahiran dengan bin atau binti bapa bagi mengelak kanak-kanak itu menanggung tekanan emosi berpanjangan. Menurut kertas kerja itu, tujuan memasukkan maklumat berkenaan adalah untuk memberikan taraf kewarganegaraan kepada bayi sekiranya bapa adalah warganegara Malaysia. Bagaimanapun, pendaftaran anak tidak sah taraf di bawah peruntukan Seksyen 13 Akta 299 tidak terpakai bagi pasangan di mana salah seorang ibu atau bapa bukan beragama Islam. Sementara itu, Khazan berkata, cadangan kerajaan negeri agar diwujudkan mekanisme bagi membolehkan anak tidak sah taraf atau anak luar nikah didaftarkan dengan bin atau binti bapanya tidak harus disalah tafsir dan dipolitikkan. Menurut beliau, cadangan itu sebagai alternatif untuk memastikan golongan itu tidak menanggung bebanan emosi dan terhukum kerana kesalahan ibu bapa masing- masing. "Soal itu baru sahaja dikemukakan dalam kertas cadangan untuk diserahkan kepada Majlis Fatwa Negeri untuk dibincangkan pada mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan tidak lama lagi. "Berhubung isu ini juga, kita telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Mufti dan Bahagian Pendaftaran Nikah Kahwin Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)," ujarnya. Menurut beliau, pihak-pihak berkenaan sudah bersetuju dan akan memperkemaskan kertas cadangan itu bagi membolehkan perkara itu dibincangkan dengan lebih serius. "Justeru, saya berharap masyarakat tidak terlalu awal membuat kesimpulan tentang cadangan ini kerana seharusnya ia dibincang dan diputuskan oleh mereka yang lebih arif agar tidak mudah disalah tafsir," katanya. Khazan memberitahu, berdasarkan statistik pada 2009, seramai 952 anak tidak sah taraf direkodkan dan jumlah itu menurun kepada 891 orang pada tahun lalu. "Kita perlu bawa perkara ini kepada Majlis Fatwa Kebangsaan agar sekiranya ada ruang yang boleh kita bantu anak-anak tidak sah taraf ini, kita perlu lakukannya," jelasnya.
Posted on: Mon, 05 Aug 2013 05:25:53 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015