Jabatan Perangkaan Pelbagaikan Kaedah Pengumpulan Data ALOR - TopicsExpress



          

Jabatan Perangkaan Pelbagaikan Kaedah Pengumpulan Data ALOR SETAR, 5 Sept: Jabatan Perangkaan Malaysia telah mempelbagaikan kaedah pengumpulan data bagi membekalkan data dengan tepat dan cepat dalam memastikan perancangan negara dapat dilaksanakan dengan lebih kemas. Ketua Perangkawan Malaysia Dr Abdul Rahman Hasan berkata jika sebelum ini pengumpulan data hanya tertumpu kepada temu ramah, kini kaedah mengisi sendiri maklumat, telefon, faks, e-mel dan e-Survey dilaksanakan. "Kini lebih daripada 1,449 pertubuhan atau 33 peratus daripada responden pada keseluruhannya telah menggunakan kaedah e-Survey sebagai pilihan utama," katanya ketika merasmikan "Seminar Kepentingan Statistik Dalam Program Transformasi Ekonomi Negara (ETP) di sini Khamis. Katanya inovasi e-Survey memudahkan responden untuk mengemukakan maklumat mengikut kesesuaian masa responden dalam tempoh yang ditetapkan, selain memberikan persembahan paparan yang lebih mesra dan interaktif kepada responden dalam pengisian data. "e-Survey akan terus dibangunkan dan dijadikan sebagai mekanisme utama dalam aspek pengumpulan data selaras dengan aspirasi negara dalam membudayakan inovasi. Jadi jabatan menyarankan semua pihak untuk menggunakan e-Survey," katanya. Beliau berkata pihaknya juga telah melancarkan kemudahan e-Services yang telah mula beroperasi pada 2 April 2013 dalam membantu meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan dan pemegang amanah di laman portal rasmi Jabatan Perangkaan. "Perkhidmatan ini membolehkan pengguna mendapatkan data secara percuma di samping dapat membeli penerbitan secara dalam talian. Kita juga bekerjasama dengan Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) yang membantu menyebarkan statistik kepada orang ramai," katanya. Jabatan Perangkaan Malaysia sebagai Penjana Statistik Negara bertanggungjawab untuk memungut, mentafsir, dan menyebar perangkaan seperti yang dinyatakan dalam Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989). Data-data yang diperoleh daripada penyiasatan yang dijalankan secara berkala ke atas entiti perniagaan yang beroperasi di Malaysia ditaksirkan dalam bentuk perangkaan penting ekonomi seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Indeks Pengeluaran Perindustrian, Perangkaan Pembuatan Bulanan, Statistik Pembinaan Suku Tahunan dan pelbagai statistik lain. Seminar hari ini dihadiri oleh pemilik, pengurus, eksekutif dan wakil syarikat yang merupakan responden bagi penyiasatan ekonomi yang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia. - BERNAMA
Posted on: Thu, 05 Sep 2013 08:53:00 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015