Jamil Khir Baharom, pelawak berbakat...!!! Jamil Khir Baharom, - TopicsExpress



          

Jamil Khir Baharom, pelawak berbakat...!!! Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengetuai hal ehwal agama, berkata penguat kuasa agama akan di bekalkan dengan senjata api. Kenyataan Jamil Khir ini merupakan lawak jenaka yang paling sedap sekali kita dengar sejak akhir-akhir ini. Sebab kenapa penguat kuasa agama perlu di bekalkan senjata api ini ialah untuk mempertahankan diri selepas kejadian pembunuhan ke atas Pengarah Penguat Kuasa Agama Negeri Pahang, Rafli, baru-baru ini. Mengikut pandangan Jamil Khir, ini merupakan satu cara untuk menjamin keselamatan pegawai penguatkuasa agama yang bertugas untuk menguatkuasakan undang-undang khususnya dalam isu ajaran sesat yang agak meluas di negara ini. Saya terfikir pula insiden yang meragut jiwa rakan saya Datuk Shaharudin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kastam Di Raja kerana di tembak oleh penjenayah di Putrajaya beberapa bulan yang lalu. Adakah kerajaan akan membekalkan juga senjata terhadap semua pegawai kastam kita bagi menjaga keselamatan mereka? Bagaimana pula dengan rakyat yang bertugas dalam Jabatan dan Kementerian lain yang telah di tembak mati oleh penjenayah lain? Jika inilah caranya kerajaan atau pimpinan hendak menjaga keselamatan pegawainya dengan membekalkan senjata api, maka setiap pegawai kerajaan mesti di bekalkan dengan senjata untuk mempertahankan keselamatan mereka dalam menjalankan tugas harian mereka. Jika berlaku keadaan ini maka apa yang kita lihat dalam filem koboi di pawagam dan televisyen selama ini akan benar-benar berlaku di negara kita. Saya tidak dapat membayangkan Jamil Khir sendiri ada pistol di pinggang beliau semasa menjalankan tugas. Menteri-menteri kabinet dengan sepucuk pistol seorang mempunyai pistol yang tergantung di pinggang mereka kerana menjaga keselamatan mereka. Jamil Khir elok tambah lagi satu di badan beliau, ia itu topi koboi. Kalau boleh pakai cermin mata hitam sekali. Bukan pegawai penguatkuasa agama Pahang sahaja yang mempunyai risiko di tembak malahan semua penguatkuasa akan menghadapi masalah yang sama jika tahap keselamatan negara tidak berada di tahap yang tinggi. Negara ini akan menjadi negara koboi. PM Najib yang sentiasa di lindungi oleh puluhan pegawai keselamatan semasa pergi ke mana-mana juga perlu mengikat sepucuk pistol di pinggangnya bagi keselamatan diri beliau. Jika Datin Seri Rosmah sendiri memakai pistol untuk menjaga keselamatan beliau, di mana pistol itu hendak di selitkan? Pendeknya pandangan Jamil Khir ini amat menyedihkan kita yang ramai-ramai ini kerana kita mempunyai pemimpin yang tidak berfikir sebelum membuat ‘public statements’ untuk pengetahuan rakyat. Jika itu caranya pemimpin kita berfikir, sememangnya masalah negara kita tidak akan selesai sampai bila-bila. Kita tidak mahu melihat PM Najib mengenakan pistol di pinggang beliau. Begitu juga kepada Datin Seri Rosmah, memakai pistol dan topi koboi pergi kemana-mana untuk mempertahankan diri. Yang kita pentingkan sekarang ialah meningkatkan tahap keselamatan negara dengan mengurangkan penjenayah bukannya menambah bilangan pistol dan senjata api untuk mempertahankan diri. Kita mahukan negara yang tidak mempunyai penjenayah seperti ini. Itu senjata yang paling perlu untuk mempertahankan diri rakyat, bukannya membekalkan pistol atau senjata api yang lain. Jika terlalu ramai yang menyimpan senjata api, negara akan menghadapi masalah besar yag lain pula. Ia mungkin menambah keadaan bahaya kepada masyarakat kerana semua pegawai penguat kuasa negara mempunyai senjata api sepucuk seorang. Isu pengawalan senjata api itu akan menjadi isu besar jika terlalu ramai yang mempunyai pistol di pinggang atau di mana mana bahagian tubuh kita. Tidak payahlah di ulas dengan lebih panjang lagi dengan pandangan Jamil Khir Baharom ini. Semua orang yang mempunyai sedikit pemikiran akan tahu bagaimana hendak berbahas dengan Jamil Khir Baharom ini. Pandangan Jamil itu kita tolak awal-awal lagi supaya tidak timbul masalah keselamatan yang lain pula. Aspan Alias
Posted on: Thu, 14 Nov 2013 00:10:46 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015