Jangan sorok fakta agihan projek mega Petronas! Oleh Alias - TopicsExpress



          

Jangan sorok fakta agihan projek mega Petronas! Oleh Alias Ghani JAWAPAN Petronas di dalam sebuah akhbar baru-baru ini bertajuk Petronas Jawab Kritikan dan Syarikat Petroleum Nasional Nafi Pinggir Bumiputera menarik perhatian masyarakat umum. Namun kenyataan itu boleh dianggap benar itu cuba menyorokkan fakta atau perkara sebenar yang dibangkitkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selama ini. Jawapan berserta info dan gambar (digunakan untuk mengaburi mata rakyat) dalam memberikan penjelasan bahawa Petronas nafi meminggirkan syarikat bumiputera oleh Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin adalah kurang jelas dan tidak merangkumi keseluruhan operasi Petronas yang menelan belanja ribuan jutaan (bilion) ringgit. Selama ini, kita tidak pernah menafikan dan tidak menolak cerita kebenaran iaitu memang Petronas tidak meminggirkan bumiputera dalam memberikan peluang untuk mendapat kerja-kerja di Petronas. Tetapi kerja itu hanya sekitar tugas sebagai vendor atau stesen servis dan juga pengedar barangan Petronas, yang kosnya hanya bernilai sekitar jutaan ringgit sahaja. Itu pun untuk dikongsi bersama kira-kira 5,000 usahawan (terdapat kira-kira 3,000 usahawan tulen bumiputera). Adakah ini jawapan yang kita ingin dengar? Kenapa tidak menjelaskan peratus projek-projek mega yang umum ketahui telah dan hanya diberikan kepada tiga hingga empat syarikat sahaja yang mana kos projeknya bernilai bilion ringgit untuk setiap syarikat? Adakah syarikat bumiputera turut berada dalam senarai syarikat tersebut? Anugerah projek bernilai bilion kepada syarikat bukan bumiputera tidak usah dipertikaikan tetapi tak mungkin syarikat bumiputera langsung tidak diberi agihan yang munasabah daripada Petronas sendiri. Di mana tanggungjawab peneraju Melayu dalam Petronas dalam tanggungjawab memperkasa ekonomi bumiputera? Sudah menjadi kewajipan Petronas membantu syarikat bumiputera kerana majoriti penduduk negara ini ialah kaum bumiputera namun kenapa dianaktirikan usahawan bumiputera daripada menerima projek mega? Apakah tidak ada langsung syarikat bumiputera yang layak atau berkemampuan? Petronas patut juga meneliti ke mana disalurkan keuntungan syarikat tersebut, adakah hanya kepada kerajaan pemerintah atau dibahagikan juga kepada pihak pembangkang? Saf kepimpinan UMNO yang baharu elok menggesa pemimpin tertinggi kerajaan untuk menyiasat perkara ini dan maklumkan kepada rakyat, siapakah yang selama ini menerima hasil projek mega daripada Petronas? Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga elok didesak untuk membuka kertas siasatan tentang isu ini, supaya dapat dibuktikan maklumat penulis adakah benar atau bohong? Artikel Penuh: utusan.my/utusan/Rencana/20131022/re_05/Jangan-sorok-fakta-agihan-projek-mega-Petronas#ixzz2iaBKfsau © Utusan Melayu (M) Bhd
Posted on: Wed, 23 Oct 2013 21:22:54 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015