Jangan terpengaruh ‘Ulama Internet’ Posted date: August 12, - TopicsExpress



          

Jangan terpengaruh ‘Ulama Internet’ Posted date: August 12, 2013 Oleh Hasrulraizan, Media Permata BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Umat Islam di negara ini adalah diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan propaganda “Ulama’ Internet” yang mengatakan kononnya amalan tahlil dan sambutan Maulud Nabi adalah bid’ah. Perlu diketahui bahawa sambutan Maulud Nabi yang dilaksanakan di negara kita selalunya diisi dengan bacaan Selawat dan juga syair-syair yang menceritakan mengenai sirah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam sepertimana yang terkandung dalam Dikir Syarafil Anam, tegas Khatib. “Sesungguhnya berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam adalah perintah Allah Ta’ala sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Ahzab Ayat 56 yang tafsirnya: ‘Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam dengan penuh penghor- matan’. “Justeru, sambutan Maulud Nabi pada hakikatnya adalah amalan yang mulia bagi menzahirkan rasa cinta kepada Baginda. Apatah lagi Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam adalah manusia mulia yang diutus ke dunia ini sebagai rahmat bagi seluruh alam.” Sementara itu, majlis tahlil atau kenduri tahlil arwah yang diamalkan di negara kita dan rantau ini adalah merujuk kepada majlis yang dibacakan ayat-ayat Al-Quran, zikir serta doa, dan semuanya dilakukan dengan niat semoga Allah memberi manfaat pahala bacaan kepada si mati, jelas Khatib lanjut menerusi Khutbah Aidilfitri Pertama. Khatib menjelaskan bahawa bacaan tahlil itu adalah hasil ijtihad ulama’ Ahli Sunnah Wal Jamaah yang disusun rapi, terdiri dari ayat-ayat Al-Quran, Selawat kepada Nabi, zikir tahlil (Lailahaillallah), tahmid (Alhamdulillah), tasbih (Subhanallah), hauqalah (Lahaulawalaquwwataillabillah) dan doa-doa ma’thurah. Lafaz-lafaz itu semua dinyatakan dalam hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam sebagai kalimah Toyyibah (bacaan mulia), yang boleh dibaca sebagai wirid hizbun atau ratib dan dihadiahkan pahalanya kepada orang yang sudah meninggal, ujar Khatib lanjut. Maka dakwaan yang menyatakan bahawa bacaan tahlil terutama kepada arwah yang sudah meninggal adalah bid’ah sebenarnya tidak timbul kerana bacaan tahlil, Surah Yasin dan lain-lain adalah termasuk dalam kategori berdoa untuk orang yang sudah meninggal, tegas Khatib. “Oleh itu, berpegang teguhlah kita semua kepada ajaran ugama Islam yang telah diwariskan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam,” nasihat Khatib. Khatib seterusnya berseru, “Janganlah kita mudah terpe-ngaruh dengan fahaman baru yang ingin memesongkan aqidah dan syiar agama yang selama ini kita amalkan di Negara Zikir ini yang boleh menggugat keharmonian dan kesejahte- raan yang dinikmati selama ini.” Negara Brunei Darussalam sebagai “Negara Zikir” telah melaksanakan ajaran ugama Islam berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah mengikut kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah berjaya menyatupadukan masyarakat Brunei Darussalam sehingga mereka hidup aman damai dan harmoni. Walau bagaimanapun Khatib mengingatkan umat Islam di negara ini supaya berhati-hati akan bahaya kefahaman baru yang dibangkitkan oleh “Ulama’ Internet” yang berpegang kepada pendapat aliran ekstrem. Mereka membawa pelbagai fahaman dan dakwaan yang tidak ‘sebulu’ dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sudah dominan dan sebati di kalangan masyarakat Islam di negara ini, ujar Khatib lanjut. “Perlu diketahui bahawa golongan berkenaan cuba mempertikaikan pelbagai nilai dan syiar Islam yang sudah berjalan sejak zaman berzaman dan sudah difatwakan malah diijma’kan oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai perkara ‘mustahab’ (harus). “Mereka bangkitkan pelbagai masalah ijtihad kemudian melabelkannya sebagai bid’ah sesat seperti bacaan tahlil, membaca Surah Yasin pada setiap malam Jumaat dan juga di kubur, Dikir Syarafil Anam, sambutan Maulud Nabi, Isra’ dan Mi’raj, talqin dan lain-lain. “Mereka menganggap bahawa perkara sedemikian mestilah dijauhi kerana ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam dan para sahabat Baginda. “Ketahuilah bahawa pandangan seperti itu adalah me-ngelirukan, dan sama sekali tidak berasas,” ujar Khatib sambil menambah kata bahawa ia bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mendokong kewibawaan ulama’ sebagai pewaris para Anbiya’ dalam memahami dan mentafsir Al-Quran dan As-Sunnah. Khatib kemudiannya menegaskan bahawa bacaan tahlil, membaca Al-Quran di kubur dan lain-lain adalah bacaan mulia yang digalakkan dalam syari’at Islam, dan membacanya secara persendirian atau secara berjemaah adalah harus, lebih-lebih lagi jika pahala bacaan itu dihadiahkan kepada orang yang sudah meninggal dunia seperti ibu bapa, kaum keluarga dan lain-lain. Khatib mengongsikan bahawa Al-Za’farani berkata: “Saya pernah bertanya kepada Imam As-Syafi’i mengenai bacaan Al-Quran di kubur. Ternyata beliau (Imam As-Syafi’i) membolehkannya”. “Demikian juga kenyataan Imam An-Nawawi di dalam “Syarhul Muhaddab” bahawa disunatkan bagi orang yang ziarah kubur itu membaca ayat-ayat Al-Quran yang mudah-mudah baginya dan mendoakan mereka setelah membaca itu. Perkara ini adalah dinaskan oleh Imam As-Syafi’i. Beliau menambah: ‘Jika mereka mengkhatamkannya, itu adalah lebih afdal lagi’,” Kata Khatib lagi. Di dalam hadis riwayat Imam Abu Daud, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menyuruh membacakan Surah Yasin kepada mereka yang sudah meninggal, antara lain maksudnya: “Bacakan Surah Yasin ke atas keluargamu yang meninggal.” Khatib menjelaskan bahawa Imam Al-Qurtubi mengatakan bahawa hadis itu adalah mencakupi bacaan ketika orang akan mati dan juga bacaan di kuburnya. Kemudian Khatib menambah kata bahawa hadis-hadis yang sama maksud dengan hadis di atas adalah banyak sehingga ulama’ bersepakat bahawa membaca tahlil ke atas orang yang sudah meninggal adalah digalakkan.
Posted on: Mon, 12 Aug 2013 17:08:56 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015