Jenayah global, propagasi ‘ulama internet’ berleluasa Oleh: - TopicsExpress



          

Jenayah global, propagasi ‘ulama internet’ berleluasa Oleh: Saerah Haji Abdul Ghani Sunday, 03 November BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 2 November. -Isu-isu jenayah global, propagasi ‘ulama internet’ dan kefahaman-kefahaman songsang yang bertentangan dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah, pada masa ini, dilihat sebagai berleluasa. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bertitah demikian pada Majlis Hafl Al-Takharruj Ke-3 UNISSA, hari ini. “Semakin kita bersungguh-sungguh mendaulatkan syiar Islam, semakin mudah kita diganggu. “Contohnya, belum pun sampai sehari selepas kita melancarkan Akta Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah, sudah macam-macam respons negatif mendatangi kita. Respons-respons itu sudah tentu, berdasarkan kaca mata mereka yang kabur terhadap Islam,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada majlis yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini. Kebawah DYMM bertitah, ini janganlah hendaknya mengherankan kita, kerana Al-Qur’an dan Al-Hadits, semenjak lebih dari 1,400 tahun lagi, sudah pun memberitahu perkara ini. Oleh itu, titah baginda, tidaklah perlu untuk membuang-buang masa menunggu atau mengharapkan kaca mata yang kabur ini akan berubah atau bertukar menjadi terang, tidak perlu, kerana ianya tidak mungkin berlaku. “Yang penting, respons di kalangan rakyat adalah Alhamdulillah semuanya baik, menandakan kefahaman mereka yang tinggi. Bahkan kita juga mendapati respons sebahagian orang luar juga, ada yang turut memuji kita. Namun semua puji-pujian itu kita pulangkan ia kepada Allah jua,” titah baginda. Menurut titah baginda, di sana ada pula pihak yang bercakap tentang hak asasi manusia yang kononnya, langkah kita mendaulatkan Undang-Undang Allah ini adalah sebagai berundur ke belakang dan kuno. Baginda seterusnya bertitah, ini tidaklah memeranjatkan kita, kerana memang, kita dan mereka mempunyai tanggapan yang berbeza. Baginda menambah titah, perspektif mereka hanya lahir dari ‘rasa hati’, sementara perspektif kita, turut bertolak dari Hukum Tuhan.
Posted on: Sat, 02 Nov 2013 18:53:12 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015