KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan terus membantah pelaksanaan - TopicsExpress



          

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan terus membantah pelaksanaan Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaah dan Pemerluasan) 2013 atau Prevention of Crime Act (PCA) walaupun ia telah diluluskan kerajaan semalam. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah kerajaan meluluskan PCA terbukti satu tindakan yang angkuh serta mengenepikan prinsip-prinsip keadilan sejagat. Katanya lagi, pindaan PCA ternyata melanggar Perlembagaan Persekutuan dan mencabuli hak asasi manusia. "Ini pembohongan terang-terangan yang kedua terhadap janji Perdana Menteri pada 16 September 2011 apabila Datuk Seri Najib Razak mengatakan untuk memendekkan tempoh tahanan pencegahan dan memperluaskan peranan mahkamah. "Termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) yang sekaligus menamatkan penahanan tanpa bicara," jelasnya pada sidang media di lobi Parlimen. Katanya lagi, kerajaan sebelum ini meluluskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA dan kini pindaan PCA 2013. Jelasnya, undang-undang sekalipun bertujuan baik untuk mencegah jenayah tidak boleh dipertahankan apabila ia mengenepikan prinsip-prinsip keadilan dan mencabul hak-hak asasi yang diperakui dunia. "Pindaan PCA kini memperuntukkan Seksyen 19A yang membolehkan penahanan tanpa bicara. Malah Seksyen 15A dilihat menafikan semakan kehakiman di mana-mana mahkamah. "Hakikatnya masalah jenayah di Malaysia memang serius, Pakatan Rakyat tiada berkompromi dalam soal pembanterasan jenayah, namun ia perlu ditangani dengan berkesan secara profesional oleh pasukan polis. "Langkah-langkah paling berkesan ialah melaksanakan 125 syor-syor yang dirumuskan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM 2005," katanya. Tambah beliau, dalam suruhanjaya tersebut terdapat syor yang mencadangkan agar ISA dipindan dan EO dimansuhkan. "Selain itu juga, cadangan turut meminta agar sebahagian daripada PCA 1959 dimansuhkan, sebaliknya hari ini bukan sahaja cadangan tersebut dimansuhkan, malahan tidak diendahkan oleh kerajaan tetapi terdapat tambahan dengan penahanan tanpa bicara. "Negara ini tidak memerlukan pendekatan lapuk yakni menguatkuasakan undang-undang pencegahan untuk tangani jenayah, ISA dan EO juga sudah terbukti tidak berkesan sebagai mekanisma untuk membenteras jenayah," sambung beliau. Anwar mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat yang telah berbahas dalam menentang pelaksanaan PCA di Dewan Rakyat semalam. Katanya, penerangan akan dilakukan diseluruh negara bagi menerangkan kepada rakyat akibat dari pelaksanaan PCA 2013 yang telah diluluskan kerajaan.
Posted on: Thu, 03 Oct 2013 08:01:16 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015