Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum mengambil tindakan - TopicsExpress



          

Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum mengambil tindakan mengharamkan penerbitan atau memorabilia berunsur komunis, sebaliknya hanya melakukan semakan terhadap barangan sedemikian. Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan belum "cukup kejam" untuk mengharamkan perkara itu. "Kita bukan tahan, sekadar melakukan semakan, kita kena bezakan itu," katanya. Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan dua individu termasuk seorang bergelar "Datuk Seri" dan seorang warganegara Hong Kong di Georgetown malam tadi. Polis Pulau Pinang menahan mereka kerana disyaki memiliki beberapa bahan berkaitan komunis dan bekas pemimpin komunis Chin Peng. "Saya akan lihat daripada aspek undang-undang percetakan," kata Ahli Parlimen Bagan Datoh itu. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata hasil pemeriksaan ke atas bagasi mereka, polis menemui 13 buku berkaitan komunis selain 11 cendera hati dan lapan DVD bertemakan Chin Peng selain gambar mendiang Chin Peng. Suspek warga tempatan berusia 66 tahun dan warga Hong Kong berumur 59 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebelum dibawa ke Balai Polis Bayan Baru untuk pemeriksaan lanjut. Difahamkan kedua-dua lelaki itu tiba dengan penerbangan komersial dari Bangkok dan ditahan kira-kira 10.30 malam di balai ketibaan selepas 30 minit pesawat mendarat. Abdul Rahim berkata, polis tidak menjumpai abu mayat mendiang Chin Peng dalam bagasi yang diperiksa. Menurutnya, suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012.
Posted on: Wed, 25 Sep 2013 12:08:38 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015