Kenaikan Harga Minyak Adalah Hadiah Aidilfitri dan Merdeka - TopicsExpress



          

Kenaikan Harga Minyak Adalah Hadiah Aidilfitri dan Merdeka Sekaligus. Dewan Pemuda PAS Malaysia kesal dengan keputusan YAB Perdana Menteri menaikkan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula dari hari ini. Kenaikan ini secara lazimnya akan menyebabkan kesan gandaan drastik kepada harga barangan dan perkhidmatan yang pastinya membebankan masyarakat khususnya golongan marhaen dan kelas menengah yang telah sedia tertekan dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi. Kenaikan harga diesel pula pastinya memberi tekanan terhadap kos pengangkutan dan logistik memandangkan diesel merupakan bahan api utama untuk jentera dan kenderaan berat seperti lori dan bas. Pendek kata, kesan negatif dari kenaikan harga ini adalah menyeluruh meliputi kumpulan pengguna dan perniagaan. Menilai rasional yang diberikan PM dan penyokong-penyokong beliau sesungguhnya amat mendengkelkan dan mencabar kesabaran. Kenyataan seperti "kenaikan harga minyak boleh ditampung dengan peningkatan BR1M", "orang berkereta besar boleh menampung kenaikan harga minyak", "kenaikan harga minyak tidak akan memberi kesan yang banyak kepada harga barangan" ternyata merupakan alasan yang merendah-rendahkan kebijakan masyarakat dan mencerminkan sifat elitis kepimpinan negara yang tidak lagi dapat menjiwai nurani rakyat. Anggaran penjimatan RM 1.1 billion untuk 2013 dan RM 3.3 billion untuk 2014 (hatta RM 10 billion sekali pun!) dari pemotongan subsidi petrol/diesel ini tidak memberi makna sekiranya perbelanjaan fiskal negara tiris dengan keborosan, rasuah dan ketidakcekapan. Maka untuk siapa penjimatan ini jika tidak untuk disalurkan kepada projek-projek transformasi kosong yang cuma menguntungkan kroni pemerintah. Sekali lagi juga PM mengitar semula kenyataan bahawa kerajaan akan mewujudkan mekanisme subsidi yang lebih spesifik untuk manfaat masyarakat miskin. Hakikatnya perkara ini sudah disebut-sebut sejak skim penstrukturan semula harga minyak dan diesel diperkenalkan pada tahun 2008 lagi tetapi apakah mekanisme tersebut? Setelah bertahun lamanya, kerajaan masih gagal memikirkan strategi mapan untuk melaksanakan aspirasi ini. Sepanjang tempoh itu, apakah yang dilakukan oleh Kementerian Kewangan sebenarnya? Kenaikan harga petrol dan diesel juga dibuat di dalam keadaan pasaran minyak yang secara relatifnya stabil malah mencatatkan penurunan setelah serangan Barat ke atas Syria tertangguh. Untuk pengetahuan pembaca, sehingga semalam, kontrak penyerahan Oktober bagi pasaran Eropah dan antarabangsa masing-masing jatuh 82 sen dan 19 sen kepada USD 107.00 dan USD 113.00 setong. Trend dan harga pasaran terkini tidaklah berada di tahap krisis sepertimana yang berlaku pada tahun 2008 dahulu apabila harga minyak setong mencapai USD 140.00. Jadi di manakah kewajaran kerajaan menaikkan harga secara mendadak sebegini? Sekurang-kurangnya di zaman Pak Lah dahulu, pengumuman pernah dibuat seminggu sebelum harga dinaikkan. Sememangnya zaman Datuk Seri Najib ini adalah era "Endless Possibilities". Rentetan peristiwa sehingga saat pengumuman yang dibuat oleh PM juga menampakkan sikap tidak jujur dan ketidakcekapan kerajaan yang beroperasi di dalam kepompong birokrasi sendiri. Apabila khabar angin mula bertiup menjelang tengahari semalam mengatakan harga petrol akan naik maka KPDNKK giat mengeluarkan kenyataan pada petangnya agar tidak mempercayai khabar angin tersebut. Pada masa yang sama itu jugalah PM mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel! Bukan sahaja kementerian yang bertanggungjawab disisihkan dalam keputusan kerajaan malah nampak bodoh dengan begitu banyak percanggahan sesama birokrasi kerajaan. Maka elok dibubarkan sahaja kementerian-kementerian seperti ini dan kita biarkan saja negara ini ditadbir oleh jawatankuasa-jawatankuasa khas yang dipenuhkan dengan tuan penasihat-tuan penasihat yang lagaknya seperti penasihat yang digambarkan oleh P.Ramlee di dalam karya beliau "3 Abdul". Dewan Pemuda PAS tegas membantah keputusan tidak berhikmah ini. Sebagai permulaannya, kita akan melancarkan flashmob bantahan secara aman di lokasi-lokasi terpilih bagi menyampaikan keresahan rakyat dengan kenaikan harga petrol dan diesel ini. Kenaikan harga bahan api ini adalah petunjuk bahawa kerajaan sudah kebuntuan idea untuk menyelamatkan ekonomi negara. Maka selepas ini, masih sayangkah anda dengan PM? Nasrudin Hassan Ketua Pemuda PAS Malaysia merangkap Ahli Parlimen Temerloh.
Posted on: Wed, 04 Sep 2013 14:10:58 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015