Kenali Calon 33 - Exco Pergerakan Pemuda UMNO Di sebalik puluhan - TopicsExpress



          

Kenali Calon 33 - Exco Pergerakan Pemuda UMNO Di sebalik puluhan permohonan bagi mengisi jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, calon nombor 33 antara yang menangkap perhatian. Bagai satu ironi, Sheikh Ahmad Nafiq Alfirdaous, 31, yang bertanding bagi mengisi jawatan dalam sayap parti kebanggaan Melayu ini lahir pada tarikh merdeka dan begitu mengagumi cara tulisan Melayu lama. Kelainan ini dapat ditangkap apabila membaca statusnya di laman-laman media sosial. Begitu pun, beliau tidak hanya handal bermain bahasa dan petah berkata-kata. Kelebihan terbesar Sheikh Nafiq adalah kejayaannya membina empayar perniagaan pada usia muda. Malah beliau pernah menyandang anugerah Tokoh Belia dalam bidang keusahawanan pada tahun 2009. Anugerah itu diberikan Kementerian Belia dan Sukan setelah mengambil kira keupayaannya mengekalkan prestasi baik dalam tiga jenis perniagaan berasaskan teknologi maklumat, peruncitan makanan serta industri minyak dan gas pada usia baru 27 tahun. Segala-galanya bermula di zaman universiti apabila Sheikh Nafiq memulakan perniagaan menjual komputer bersama rakan-rakan sejurus menamatkan ijazah pertama. Langkah sulung itu disifatkannya berjaya apabila dalam masa dua hari sahaja, mereka berjaya menjual 114 unit komputer. Kejayaan itulah yang mencetuskan inspirasi untuk beliau tidak lagi menoleh ke belakang dan menjadikan perniagaan sebagai darah daging. Hari ini, Sheikh Nafiq boleh berbangga kerana bergelar Pengarah Eksekutif di syarikat teknologi maklumat yang dibinanya sejak zaman universiti dahulu, selain menjadi Pengarah di sebuah syarikat minyak dan gas di Kuala Lumpur. Satu fakta unik tentang syarikatnya, rata-rata pekerja turut terdiri daripada golongan muda di bawah usia 35 tahun. Sheikh Nafiq mendapat pendidikan menengah di MRSM Jasin, Melaka kemudian menyambung pendidikan di Universiti Multimedia Melaka dalam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Sistem Informasi Perniagaan. Beliau seterusnya menyambung ke Ijazah Sarjana Muda Lanjutan (SMDP) di Harvard Business School. Selain aktif dalam bidang keusahawanan, Sheikh Nafiq mempunyai minat mendalam dalam bidang politik. Minat ini bercambah kerana sejak kecil, anak sulung daripada empat beradik ini sudah biasa mengikut ibu bapa serta datuk dan neneknya menghadiri mesyuarat UMNO. Tidak hairanlah, beliau amat senang menjalankan tugas sebagai Pemangku Bendahari Pemuda dan Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai, Johor meskipun sibuk menguruskan perniagaan. Malah selain bertanding bagi Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq merupakan Calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai. Satu lagi perkara menarik tentang Sheikh Nafiq, beliau adalah penaung bagi Maahad Tahfiz Alfirdaous yang terletak di Johor Bahru. Baginya, inilah salah satu cara berkongsi rezeki di jalan yang diredai. Menyentuh sebab musabab Sheikh Nafiq sering melihat sesuatu dari sudut berbeza, beliau yang tidak sampai sebulan bergelar suami kepada Jeffina Jaffar berkongsi hobinya yang sangat gemar mengembara. Katanya, setiap tahun beliau akan memastikan minat ini terlaksana tidak kiralah jika ia bermakna dia harus mencuri-curi masa ketika menghadiri mesyuarat di satu-satu tempat atau negara sekali pun. Hal ini kerana Sheikh Nafiq berasakan pada masa inilah beliau dapat melihat, mengamati dan belajar sesuatu daripada keunikan sejarah dan budaya masyarakat lain.
Posted on: Tue, 01 Oct 2013 09:30:43 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015