Kerajaan Kedah Ambil Tindakan Tegas Kepada Individu Cemar Sungai - TopicsExpress



          

Kerajaan Kedah Ambil Tindakan Tegas Kepada Individu Cemar Sungai -Badrol KUALA NERANG, 6 Sept: Pihak Berkuasa Tempatan di Kedah diminta memantau kawasan perumahan, bengkel kereta dan premis perniagaan untuk memastikan tidak berlaku pembuangan sampah dan sisa lain yang boleh mencemarkan sungai. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Badrol Hisham Hashim berkata ini antara langkah yang akan diambil kerajaan negeri dalam usahanya bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang bertanggungjawab membuang bahan buangan ke dalam sungai yang menjadi sumber bekalan air. Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mengetatkan permohonan orang ramai yang ingin melakukan sebarang pembinaan premis perniagaan di tanah rezab sungai yang dianggap boleh mencemarkan sungai. Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) supaya PBT meningkatkan kawalan serta mengetatkan permohonan untuk pembinaan premis perniagaan atau bangunan di kawasan rezab sungai. Badrol Hisham menyeru orang ramai terutama yang tinggal di tanah rezab sungai agar tidak memandang remeh isu pencemaran air sungai dan tidak membuang sampah sarap dan pelbagai sisa lain ke dalam sungai. Kerajaan negeri dalam masa terdekat akan menjalankan kempen bagi mewujudkan kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya menjaga sungai sebagai aset yang paling berharga. "Ia perlu kesedaran yang tinggi oleh masyarakat dan kerajaan negeri akan lakukan secara berperingkat dan berterusan untuk menjadikan sungai di negeri ini bebas daripada pencemaran sekaligus menjadi sungai tercantik di negara ini," katanya. Badrol Hisham berkata pencemaran pembuangan sisa ke sungai jika tidak ditangani dengan segera akan menyebabkan perkara sama yang berlaku di Selangor akan terjadi di Kedah. Minggu lepas, sebahagian besar penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air setelah empat loji rawatan air ditutup ekoran Sungai Selangor dicemari tumpahan diesel. Tumpahan minyak berlaku apabila sebuah lori tangki diesel terbalik dan muatannya melimpah dan mengalir ke dalam Sungai Selangor.- BERNAMA
Posted on: Fri, 06 Sep 2013 07:09:37 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015