Ketahuilah bahawa telah menjadi tabiat semula jadi sebagaimana - TopicsExpress



          

Ketahuilah bahawa telah menjadi tabiat semula jadi sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah, perpindahan darjat seseorang salik dari satu maqam ke maqam yang lainnya yang lebih tinggi lagi itu tidak boleh berlaku kecuali di bawah pimpinan mursyid yang ‘arif lagi tahu tentang maqam-maqam perjalanan kepada Allah dan semua perkara (al-ahwal) di dalamnya. Janganlah disangkakan bahawa pembersihan jiwa (tazkiyatun-nafs) itu semudah yang difikirkan oleh akal sahaja seperti yang disangkakan oleh ahli falsafah dan orang-orang yang dipengaruhi oleh ajaran Brahmim dan lain-lain golongan lagi yang bersifat jahil itu. Dalam kejahilan mereka yang membabi buta itulah, mereka memperkenalkan sistem pembersihan jiwa mereka itu dengan berbagai latihan (kerohanian) dan hujah-hujah ilmu kalam (teori tauhid) yang direka cipta oleh manusia sehingga akhirnya mereka terhumban ke lembah kesesatan, kebinasaan dan berbagai perkara yang sangat mengelirukan. Perbersihan jiwa (tazkiyatun-nafs) sebenarnya adalah seperti merawat penyakit fizikal juga. Sebagaimana penggunaan berbagai ubat tidak boleh dilakukan oleh pesakit kecuali dengan nasihat doktor pakar yang mempunyai pengalaman yang cukup dalam bidang rawatan penyakit, maka begitulah juga halnya pembersihan jiwa (tazkiyatun-nafs) itu tidak boleh dilakukan kecuali dengan nasihat dan pimpinan seorang shaikh mursyid yang mempunyai pengalaman di bidang tersebut. Ketahuilah ada dua hijab bagi jiwa (an-nafs) itu, iaitu hijab nuraniyyah dan hijab zulmaniyyah. Jalan pertama yang mesti ditempuhi oleh seorang murid atau salik itu supaya ia berjaya dan dapat melepaskan jiwa dari berbagai hijab ialah dengan bermujahadah memerangi jiwa itu, sentiasa bersikap dan berpendirian menentangnya, dan menjauhkan diri dari runtunan kehendaknya. Sebab, runtunan kehendak jiwa (an-nafs) itulah hijab yang terbesar sekali yang mendinding antara seseorang dengan Tuhannya. Nabi SAW bersabda. Maksudnya: “Musuh engkau yang paling sengit sekali ialah nafsu yang terletak antara dua lambungmu itu.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi) Nafsu itu dikengkang dengan berlapar dan haus, dihinakan dengan dipadamkan semangat bermegah dan rasa mulia, dikurangkan nafsu syahwat dan ditundukkan di bawah telapak kaki orang yang semata-mata memandang akhirat, dihancurkan nafsu itu dengan meninggalkan hiasan orang-orang kaya. Elakkan diri dari kejahatannya dengan sentiasa buruk sangka terhadapnya dan berjinak-jinaklah selalu dengan semua perkara yang tidak disukai oleh nafsu itu. Tiada suatu yang mudah kecuali Allah SWT permudahkan. Apabila kita berusaha bersungguh-sungguh nescaya Allah SWT membuka jalan dan ruang ke arah mencapai kejayaan. Ini menepati firman Allah SWT: وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ Maksudnya: “Mereka yang berjuang kerana menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjuki jalan Kami.” (Surah al-Ankabut: Ayat 69) Allah SWT berfirman. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan dunia dan kebaikan di akhirat.” (Surah al-Baqarah: Ayat 201) Dunia ini dijadikan Allah SWT hanyalah sebagai alat atau jalan untuk mencapai kebahagiaan di Akhirat, bukan sebagai tujuan atau matlamat lain manusia dijadikan khalifah di atas muka bumi. Sesungguhnya Islam telah menyimpulkan matlamat-matlamat manusia dalam satu matlamat, iaitu mencari keredaan Allah SWT. 5. Polemik Di Antara Golongan Ahli Zahir Dengan Golongan Tasawwuf Polemik di antara golongan ahli zahir dengan golongan tasawwuf/tariqah tidak akan ada penyelesaian sehinggalah mereka (golongan ahli zahir) dapat memandang rahsia alam rohani melalui celik mata hati (basirah). Maka timbullah berbagai persoalan dan fitnah yang timbul terhadap tarbiyah mazhab tasawwuf/tariqah. Ini merupakan lanjutan dari polemik antara kedua golongan akidah itu yang telah wujud sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Jalan Tarbiyah mazhab tasawwuf/tariqah untuk mencapai kesempurnaan hati/akidah yang tidak dapat dihuraikan oleh golongan ahli zahir mengikut hujah-hujah ilmu kalam (teori tauhid) lantas dianggapkan khurafat dan sesat. Golongan ahli zahir ini seolah-olah sudah tertutup mata hati untuk menerima hakikat bahawa kesempurnaan hati yang dicapai melalui riyadah atau latihan amalan kerohanian (bersuluk) yang dilaksanakan oleh golongan tasawwuf merupakan sunnah Nabi SAW dan perintah Allah SWT. Amalan kerohanian ini telah lahir bersama kelahiran agama Islam. Segala pedoman ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah ini telah ditulis atau dibukukan oleh tokoh-tokoh besar tasawwuf seperti Shaikh al-Muhasibi (w.243 H./ 828 M.: al-Ri’ayah li Huquqi dan al-Wasaya), Shaikh Abu Talib al-Makki (w. 386 H./ 971 M.: Qut al-Qulub), Imam Al-Ghazali (w. 505 H./1111 M.: Ihya’‘Ulum al-Din dan Minhaj al’ Abidin), Shaikh Abd Qadir al-Jilani (w.562 H./1147 M. al-Ghuniyyah, al-Faith al-Rabbani dan Faith al-Ghaib), Shaikh al-Hujwiri (w.465 H./1050 M.: Kasyf al-Mahqub), Ibn Khaldun (w. 808 H/1393 M.: Shifa’ u’s-Sail li Tahdhibi’l-Masail), Shaikh Abu al-Qasim al-Qusyairi (w.465 H./1071 M.: al-Risalah al-Qusyairiah) dan banyak lagi kitab-kitab tasawwuf yang dihasilkan oleh tokoh-tokohnya sejak dahulu hinggalah ke hari ini. Kitab-kitab ini terus memainkan peranan penting dalam usaha meyakinkan umat Islam tentang kebenaran ilmu dan amalan tasawwuf/ tariqah. Kitab-kitab ini juga merupakan sumber maklumat dan rujukan yang sangat penting dan berharga sekali mengenai ilmu dan amalan tersebut. Ini digambarkan oleh Ibn Khaldun dalam kata-katanya: “Kemudian, sesungguhnya ramai dari kalangan ahli fiqah dan ahli fatwa bersungguh-sungguh untuk menentang golongan ahli tasawwuf yang kemudian itu mengenai perkara-perkara yang disebutkan itu dan yang seumpamanya. Malahan mereka itu bersungguh-sungguh mengingkari/menolak semua yang telah berlaku di dalam tariqah itu. Pada hal yang sebenarnya kata-kata ahli tasawwuf itu mempunyai huraian dan maksud tertentu.” Begitulah persoalan dan fitnah seumpamanya itu atau yang lebih hebat lagi akan terus berlaku selagi golongan ahli zahir itu tidak dapat memahami serta menghayati apa yang sebenarnya mereka persoalkan itu sendiri. Sejarah beberapa tokoh/ulama fuqaha yang terkenal pada mulanya menentang ilmu tasawwuf/tariqah begitu hebat, tetapi akhirnya dapat memahami serta beramal dengan ilmu tersebut dapat kita jadikan bukti kenyataan tersebut. Al-Quran datang untuk mengatur keperluan roh manusia itu dengan peraturan yang senang lagi mudah iaitu dengan memperbanyakkan zikrullah. Keimanan atau kesempurnaan hati ini begitu mudah untuk dicapai (memperbanyakkan zikrullah) dan tidak ada sebarang kesukaran untuk memahami dan mengamalkannya (zikrullah). Dengan terbukanya hijab hati mereka sampai kepada hakikat Allah dan hakikat kehambaan dirinya iaitu dapat makrifah kepada Allah SWT. Mereka dapat menguasai diri dan menentang berbagai-bagai kehendak nafsunya, dan dapat pula mengukuhkan imannya dengan kehendak dan kekuasaan Allah SWT semata-mata. Malangnya sesudah datang pelbagai pengaruh falsafah asing ke dalam pemikiran umat Islam sehingga tasawwur akidah Islam ini telah diubah suai mengikut kaedah yang tidak Islam. Berdasarkan kepada fakta-fakta sejarah dan lain-lainnya yang terlalu banyak, maka kita sangat yakin bahawa polemik antara mazhab akidah ahli zahir dengan ahli tasawwuf atau sufiyyah tidak akan ada penyelesaiannya sehinggalah golongan ahli zahir itu memahami benar-benar serta menghayati ilmu dan amalan tariqah itu. Selagi ahli zahir itu terus diselimuti fahaman zahir (longgokkan ilmu kalam) mereka maka selama itulah mereka akan terus diburu dan dihantui oleh sifat buruk sangka mereka sendiri, pada hal yang sebenarnya kata-kata ahli tasawwuf itu mempunyai huraian dan maksud tertentu. 6. Mentalkinkan Amalan Zikrullah Dan Bermujahadah Memerangi Nafsu (Bersuluk) Tarbiyah yang dilaksanakan Nabi SAW adalah sentiasa menggesa para sahabat r.a supaya menumpukan perhatian terhadap usaha memperbetul dan memperbaiki hati mereka berasaskan kepada amalan zikrullah dan bermujahadah memerangi nafsu (bersuluk). Baginda juga menjelaskan bahawa baiknya seseorang manusia itu bergantung kepada baik hatinya dan jahat hatinya dari berbagai-bagai penyakit batin yang tersembunyi itu. Baginda bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya ada segumpal daging di dalam jasad (manusia) itu, apabila ia itu baik maka baiklah seluruh jasad, bila ia rosak maka rosaklah jasad keseluruhan. Ketahuilah, itulah hati.” Seterusnya baginda (SAW) menjelaskan bahawa tempat tumpuan dan tilikan Allah SWT terhadap hamba-hambaNya ialah hati. Baginda SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad kamu, tidak pula kepada rupa (zahir) kamu tetapi Allah memandang terhadap hati-hati kamu.” Allah SWT berfirman: فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ Maksudnya: “Maka sesungguhnya bukan matalah yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang berada di dalam dada.” (Surah Al - Hajr: Ayat 46) Allah SWT berfirman: مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَى Maksudnya: “Tidak berdusta hati itu tentang apa yang dilihatnya.” (Surah an - Najm: Ayat 11) Ayat-ayat Al-Quran di atas menjelaskan betapa pentingnya mencapai matlamat perjalanan ke hadrat Allah SWT atau memiliki kesempurnaan hati/akidah ataupun sampai ke darjat ihsan, iaitu orang-orang yang telah berjaya menghayati jalan agama itu dan sampai ke darjat yang tertinggi. Oleh itu, ia menjadi seorang manusia yang bersih zahir dan batin/akidahnya. Kesempurnaan jalan agama Islam tersebut mesti melalui tariqah (jalan) yang umum dan tariqah (jalan) yang khusus. Tariqah yang umum tersebut ialah yang dimaksudkan oleh firman Allah SWT;
Posted on: Mon, 08 Jul 2013 13:00:58 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015