"Konflik Politik Mesir: Noktah yang Tidak - TopicsExpress



          

"Konflik Politik Mesir: Noktah yang Tidak Berpenghujung" Dijangkakan pada bila-bila masa daripada sekarang, pihak Angkatan Tentera Mesir (Supreme Council Armed Force) akan mengumumkan penyingkiran Dr Mursi daripada kerusi Presiden Mesir, menggantung perlembagaan dan sekaligus pembentukan kerajaan baru yang diketuai jeneral tentera. Tindakan kudeta (rampasan kuasa) ini tidaklah begitu mengejutkan kerana seperti diketahui ramai, ia merupakan institusi yang sudah sekian lama dikuasai oleh pewaris dan penyokong kuat Mubarak. Kedua-belah pihak samada Presiden Mursi dan Tentera sudah pun membuat pengisytiharan bahawa mereka sedia berkorban nyawa demi mempertahankan negara ketika konflik yang kian meruncing ini. Seandainya pihak tentera benar-benar melaksanakan ‘road-map’ tersendiri dengan mengenepikan Presiden Mursi yang telah dipilih secara demokratik pada tahun 2012, maka sejarah lama berulang kembali. Nasib malang yang dialami Ikhwanul Muslimin ini telah pun dialami gerakan Islam Front Islamic Salvation di Algeria dan Parti Refah di Turki. Inilah cabaran dan mehnah utama apabila gerakan Islam yang sedia menggunakan jalan demokrasi sebagai alat untuk mencapai matlamat tertinggi iaitu melaksanakan syariat Islam dalam konteks bernegara. Sudah sekian lama pihak penentang Mursi menjalankan komplot jahat dan sabotaj semenjak Mursi mengambilalih kuasa daripada Diktator Mubarak. Golongan penentang yang menjenamakan kumpulan mereka sebagai Tamarrud ini terdiri daripada pendokong fahaman sekularisme, liberalisme, sosialisme dan rakyat yang tidak berpuas-hati dengan prestasi pemerintahan Presiden Mursi. Ironinya, mereka ini jugalah antara penggerak utama ketika revolusi tercetus pada tahun 2011 yang berhasrat untuk melahirkan demokrasi tulen di Mesir. Dan kini, mereka pula ingin menjatuhkan Presiden Mursi yang telah dipilih secara sah dan demokratik melalui pilihanraya yang bersih buat kali pertamanya dalam sejarah Mesir. Mereka menyalahkan Mursi kerana gagal melaksanakan janji perubahan sedangkan antara punca utama nasib Mesir menjadi sedemikian rupa adalah akibat tindakan kumpulan Tamarud itu sendiri. Demonstrasi yang tidak henti-henti, jenayah yang kian menjadi-jadi telah menyebabkan prestasi ekonomi Mesir merosot begitu teruk dan impak besarnya begitu dirasai oleh sekalian rakyat jelata. Polarisasi dalam kalangan masyarakat antara kumpulan penyokong dan penentang Mursi kian ketara. Semestinya tindakan pihak tentera yang ingin kembali ke puncak kuasa akan ditentang hebat oleh penyokong Mursi khususnya Ikhwanul Muslimin itu sendiri. Sebagai penutup, ke arah mana hala tuju “The Arab Spring” ini menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan penganalisis politik Asia Barat. Kerana segala perubahan di Mesir akan turut memberi kesan kepada isu Israel-Palestin serta Amerika Syarikat. Adakah benar “The Arab Spring” ini telah menghasilkan ‘buah ranum’ yang enak dinikmati semua atau hakikatnya ia adalah ‘buah beracun’ yang tidak mengenal siapa pun mangsanya samada anda Sekularis mahupun Islamis..? Bersamalah kita mendoakan agar Allah memberikan pertolonganNya kepada pihak yang benar dan menghancurkan kumpulan yang batil. Walaupun pilu dan kecewa apabila melihat ummat Islam bergaduh sesama sendiri dek kerana perebutan kuasa namun itulah hakikat yang perlu ditelan sejak zaman berzaman. Pertembungan antara haq melawan batil. Apabila disorot kembali sirah perjuangan para Rasul Anbia’ jelas membuktikan, kumpulan yang menentang Islam ini ada pelbagai jenis dan rupa bentuknya. Ia senantiasa ada pada setiap zaman, yang membezakannya hanyalah nama dan strateginya. ~Semoga Dr Mursi dan sekalian pendokong gerakan Islam diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menempuh ujian getir ini. Kita tetap yakin dan percaya Allah sentiasa bersama kita dalam menegakkan kebenaran. Amiin..~ ***copy paste***
Posted on: Wed, 03 Jul 2013 19:10:35 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015