LARIKAN WANG DARIPADA ATM, DUA LELAKI DITAHAN Kota Bharu, 8 Feb - TopicsExpress



          

LARIKAN WANG DARIPADA ATM, DUA LELAKI DITAHAN Kota Bharu, 8 Feb - Dua lelaki ditahan di Pasir Mas di sini bagi membantu siasatan kes menyamun RM84,000 daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di hadapan Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas pada Rabu lepas. Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Supt Idris Abd Rafar berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Lorong Rogayah kira-kira 10 malam tadi disusuli penahanan lelaki berumur 36 tahun kira-kira 3.30 pagi tadi di kampung sama. Beliau berkata polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Honda CRV berwarna perak yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Pemeriksaan polis turut menemukan sebatang kuku kambing berukuran 1.9 meter, segulung kabel berukuran 8.2 meter, dua peralatan mendaki serta sebatang cota berwarna hitam. Polis juga menjumpai dua topeng muka dan sehelai sarung tangan warna hijau, yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah itu, katanya. Dalam kejadian kira-kira 5.15 pagi itu, tiga lelaki dilaporkan mengheret mesin ATM itu dengan sebuah pacuan empat roda dan melarikan wang tunai berjumlah RM84,000. Idris berkata pemilik kereta itu mendakwa kenderaan itu dipinjam oleh dua rakannya yang tinggal di Rantau Panjang dan seorang lelaki Thailand pada hari kejadian. Mereka ditahan reman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan. - BERNAMA
Posted on: Sat, 08 Feb 2014 11:32:00 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015