Lelaki curi rantai RM7,440 ditembak Kuala Lumpur: Cubaan seorang - TopicsExpress



          

Lelaki curi rantai RM7,440 ditembak Kuala Lumpur: Cubaan seorang lelaki untuk mencuri seutas rantai emas dari sebuah kedai emas di Pasar Keramat, di sini, semalam, berakhir dengan dia cedera di paha akibat ditembak pemilik kedai emas berkenaan. Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, suspek yang memakai topi bola lisut pada mulanya berpura-pura mahu membeli barang kemas. Isteri pemilik kedai berkenaan, Norliza Abdullah, 45, berkata, ketika kejadian dia bersama suaminya yang berusia 64 tahun berada di dalam kedai sebelum didatangi suspek yang berbadan tegap. “Lelaki memakai topi itu meminta saya mengeluarkan rantai paling berat dan saya mengeluarkan rantai seberat 45.47gram berharga RM7,440. “Dia membelek rantai berkenaan sebelum melarikan diri dan saya dan suami mengejarnya kira-kira 150 meter dari kedai,” katanya. Menurutnya, suspek kemudian jatuh selepas terlanggar batu pembahagi jalan, namun masih melawan apabila diminta menyerahkan semula rantai yang dicuri. “Ketika suami saya mengeluarkan pistol dari pinggangnya untuk mempertahankan diri, dia terlepas tembakan dan mengenai paha kiri lelaki itu. “Suami saya ada lesen untuk pistolnya sejak dua tahun lalu dan sentiasa membawa pistol bersamanya, tapi ini kali pertama dia menggunakan pistol itu,” katanya. Norliza berkata, dengan bantuan orang ramai suspek berjaya ditangkap dan diserahkan kepada anggota polis yang tiba di lokasi kejadian. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek yang berusia 26 tahun kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dilaporkan stabil. “Semakan mendapati pemilik kedai itu memiliki lesen senjata api dan suspek pula ada rekod membabitkan kes dadah,” katanya.HM
Posted on: Thu, 08 Aug 2013 01:28:10 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015