MENGENALI JAMAAH TABLIQH Pengenalan Dari segi sejarahnya, - TopicsExpress



          

MENGENALI JAMAAH TABLIQH Pengenalan Dari segi sejarahnya, gerakan Jamaah Tabligh diasaskan oleh Maulana Muhammad Ilyas (1885-1944). Beliau dilahirkan dan dibesarkan di Kandhela serta menerima pendidikan awalnya di Kuttab sekitar tahun 1896 bersama-sama abangnya Muhammad Yahya. Faktor utama kemasyhuran Maulana Muhammad Ilyas al-Kandahlawi adalah terletak kepada gerakan Islam yang diasaskan olehnya iaitu Jamaah Tabligh. Sejarah kemunculan gerakan ini bermula di Mewat apabila beliau menubuhkan madrasah-madrasah untuk mendidik orang-orang di situ. Tetapi oleh kerana kurang sambutan maka dibentuknya sebuah jemaah yang bertugas untuk bertabligh dan melawat tempat-tempat tertentu selama beberapa hari. Selepas kematian abangnya iaitu Muhammad Yahya, pusat kegiatannya lalu berpindah ke Masjid Bangle Wali, Nizamuddin, New Delhi. Semenjak inilah gerakan Jamaah Tabligh terkenal ke seluruh India. Di Malaysia pada mulanya gerakan Jamaah Tabligh berkembang di kalangan orang-orang India Muslim sahaja. Tokoh yang memperkenalkan gerakan ini ialah Maulana Abdul Malik Madani, yang datang ke Singapura dan Selangor sekitar tahun 1952 sebagai utusan dari markasnya di Nizamudin sendiri. Dari Singapura, beliau lalu datang ke Kuala Lumpur selama beberapa hari dan berangkat ke Ipoh dan Pulau Pinang lalu kembali ke Kuala Lumpur dan terus pulang ke India melalui Singapura. Semasa di Kuala Lumpur beliau disambut oleh beberapa orang tokoh India Muslim seperti Dato Daud Ahmad Merican, T. K. S Abdul Majeed dan S. O. K Ubaidullah. Melalui bantuan Imam Masjid India di Kuala Lumpur ketika itu, iaitu Mohamed Syed, Maulana Abdul Malik dapat menerangkan program tablighnya kepada orang-orang India-Muslim di sini. Demikianlah sepanjang tahun 1950-1960 kegiatan Jamaah Tabligh ini tertumpu kepada kaum India Muslim sahaja. Namun begitu mulai tahun 1970-an bermulalah tahap yang kedua dalam sejarah Jamaah Tabligh di Malaysia iaitu apabila kegiatannya turut melibatkan orang-orang Melayu di dalamnya. Asas-Asas Ajaran Jamaah Tabligh Agak sukar hendak ditinjau secara mendalam mengenai corak pemikiran dan ajaran Jamaah Tabligh kerana kekurangan sumber. Ini kerana jumlah buku-buku yang menjadi pegangan mereka amat sedikit. Tambahan pula mereka lebih mementingkan kegiatan amali daripada kegiatan menulis dan berteori. Ini agak bercanggah dengan nasihat Maulana Muhammad Ilyas sendiri kepada para karkun (ahli) yang jelas sekali sangat mementingkan penyampaian dakwah melalui penulisan. Malangnya nasihat ini kurang diperhatikan, maka terbentuklah sikap apatetis terhadap lapangan penulisan berunsur dakwah di kalangan ahli-ahli mereka. Namun begitu, sedikit sebanyak aspek-aspek ajaran Jamaah Tabligh ini akan dikupaskan terutamanya di Malaysia. Pertama sekali tujuan diperkatakan bahawa wujudnya gerakan Jemaah Tabligh ini ialah berdasarkan dua ayat Al-Quran:- Yang bermaksud:- Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung. (Al-Imran : 104) Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq. (Al-Imran :110) Jadi selaras dengan gerakan ini sendiri, matlamat utamanya ialah untuk menjalankan tabligh atau dakwah yang mengajak manusia ke jalan Allah s. w. t. dengan menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar. Jamaah tabligh ini memberi penekanan kepada ajarannya sehingga perkara-perkara lain menjadi kurang penting. Ini tidak bermakna mereka mengabaikan perkara-perkara lain tetapi tujuan terpenting ialah melaksanakan tabligh ini biarpun para anggotanya kurang berilmu atau tidak berilmu. Semuanya itu merupakan tujuan atau matlamatnya secara umum. Adapun secara khususnya, gerakan ini berpusat pada dua ajaran pokok: material dan spiritual. Dari segi materialnya, tujuannya ialah untuk mengadakan perjalanan tabligh secara berkumpulan dari satu tempat ke satu tempat . Sedangkan dari segi spiritualnya, ia bertujuan menghidupkan kembali semangat dan menyerahkan seluruh kehidupan kepada perintah Allah s. w. t., sebagaimana tersebut dalam al-Quran, surah an-Nisa (maksudnya): Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka persilisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya. Maka tujuan utama Jamaah Tabligh ialah melaksanakan perjalanan tabligh untuk menyeru dan mengamalkan Islam sebagaimana yang dijalankan oleh para Nabi dan Rasul. Jadi misi tabligh ini berjalan serentak dengan amalan iaitu teori dan praktiknya sekaligus. Di samping itu mereka belajar melalui kitab dan teladan. Menurut ajaran Maulana Muhammad Ilyas, terdapat prinsip-prinsip ajaran yang tertentu yang harus dijadikan pegangan asas. Yang pertama sekali ialah prinsip Iman, atau disebut sebagai kalimah Tayyibah sahaja. Yang dimaksudkan dengan Kalimah Tayyibah di sini ialah La ilaha iIlallah, Muhammad Rasulullah iaitu tiada Tuhan yang lain melainkan Allah, Muhammad itu pesuruh Allah. Seseorang itu bukan sahaja harus melafazkannya selalu, malah perlu memahami pengertian dan falsafah yang terkandung di dalamnya. Dengan menyebutnya selalu dia bukan sahaja mendapat pahala, bahkan dapat mengelakkannya dari menyengutukan Allah dan perbuatan-perbuatan mungkar. Melihat dari segi ini jelas sekali keutamaan Iman pada pandangan Muhammad Ilyas. Bagaimanapun selepas menyentuh tentang kepentingan dan keutamaannya, tidak pula dibahaskannya secara lanjut dalam hubungannya dengan realiti kehidupan umat Islam sebagai contoh di India pada ketika itu yang merupakan wilayah yang paling banyak tersebarnya kepercayaan tahyul, khurafat dan syirik yang benar-benar mengancam kemurnian Iman dan Aqidah. Muhammad Ilyas lebih gemar bercakap tentang kegiatan tabligh daripada menyentuh masalah syirik. Walaupun didapati beliau sama sekali tidak melayani permintaan untuk memberi azimat atau tangkal, namun beliau tidak pula menyebutkan dengan tegas bahawa azimat dan tangkal itu adalah amalan syirik belaka sebagaimana banyak tersebut dalam hadis-hadis sahih. Ringkasnya, keutamaannya kepada matlamat perjuangannya untuk bertabligh mengatasi persoalan-persoalan lain. Mengiringi prinsip pertama ialah prinsip kedua, iaitu Solat (Namaz). Menurut Muhammad Ilyas, Kalimah Tayyibah dan Namaz ini merupakan dua prinsip yang asasi dan terpenting. Fadhilat Salat adalah terlalu banyak jika hendak diperhitungkan, apalagi jika ianya dikerjakan secara berjamaah. Ketika menyentuh tentang kepentingan Kalimah dan Namaz ini, Muhammad Ilyas telah berkata:- The principal aim and purpose of our endeavour is to teach the Muslims all the things the holy Prophet had brought with him i. e., to integrate the Ummat with the whole of the practical and conceptual structure of Islam. This is our primary object. As for the setting out of Jamaats and Tabligh rounds, these are the elementary means to the realisation of that ends, while the teaching of the Kalima And Namaz are, so to speak, the ABC of our curriculum. Penekanan kepada prinsip Namaz atau Solat ini berkait rapat dengan sikap Muhammad Ilyas sendiri terhadap suasana keagamaan pada zamannya. Baginya ketika itu penyakit umat Islam yang terbesar ialah kejahilan tentang agama terutamanya mengenai ajaran dan kewajipan yang paling asas. Sesuai dengan pandangan kesufian yang menguasai dirinya, maka tuntutan yang paling mendesak baginya ialah penanaman ilmu pengetahuan yang asas iaitu Solat atau Namaz.
Posted on: Sat, 26 Oct 2013 12:20:59 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015