Madu lebah: Penawar sepanjang zaman. Oleh: Dr Norhaimaz b Mohd - TopicsExpress



          

Madu lebah: Penawar sepanjang zaman. Oleh: Dr Norhaimaz b Mohd Manoor LEBAH DAN MADU MENURUT AL-QURAN DAN AL-HADITH Allah SWT berfirman, “Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibuat manusia, kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan, dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah memudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu, keluarlah minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya. Di dalamya terdapat ubat yang boleh mnyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang yang memikirkannya.” (An-Nahl 16: 68-69) Rasulullah SAW bersabda, “Ambillah / pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Qur’an.” (HR Ibnu Majah, at-Tirmizi) Lebah merupakan antara serangga yang disebut di dalam Al-Quran selain semut (an-Naml) dan labah-labah (al-’Ankabuut). Sifat lebah yang hidup secara berkoloni (berjamaah) dan sifat serta sikapnya yang bekerja berasaskan pembahagian tugasan serta disiplin yang tertentu, merupakan ibrah dan panduan yang seharusnya kita sebagai manusia teladani. Lebah hidup bersosial, bekerjasama dan saling bergantungan. Dalam kelompok lebah, ada yang berfungsi sebagai lebah ratu (tunggal), ada lebah jantan dan majoriti adalah lebah pekerja, iaitu lebah betina yang mempunyai sistem reproduksi tidak berkembang, dan kepelbagaian fungsi tugas ini perlu-memerlukan. Seperti yang dinyatakan dalam ayat surah An-Nahl di atas, Allah SWT menggambarkan lebah telah diperintahkan olehNya untuk membuat sarang-sarang di tempat-tempat tertentu seperti di bukit-bukit, di pokok-pokok , malah ditempat-tempat khas yang dibina oleh manusia. Daripada sifat inilah, lebah memilih nutrien-nutrien yang istimewa dari khazanah alam dan seterusnya menghasilkan madu. Lebah bukan sekadar memilih yang terbaik untuk diri mereka sendiri, malah memberi yang terbaik untuk manfaat yang lainnya. Madu lebah dipercayai mempunyai kelebihan yang tersendiri. Hadis baginda Radulullah SAW menggambarkan kedua-dua madu dan Al-Quran merupakan syifa’ (penawar) yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat manusia, dan terpulanglah kepada manusia untuk memanfaatinya. PENGGUNAAN MADU MENURUT KHAZANAH SILAM Seorang lelaki yang datang menemui Rasulullah mengadu tentang saudaranya yang sakit perut. Nabi Muhammad SAW bersabda, “dia hendaklah diberi minum madu.” Namun, lelaki tersebut datang semula mengatakan penyakit saudaranya tidak juga sembuh. Nabi Muhammad SAW menyuruh saudara pemuda itu terus minum madu sehingga tiga kali. Jawab lelaki itu, saudaranya telah minum madu tetapi penyakitnya tidak juga sembuh, akhirnya Nabi SAW berkata ”Allah benar dan perut saudaramu itu berbohong”. Lalu Rasulullah SAW sendiri memberi minum lelaki tersebut dengan madu dan dia akhirnya sembuh. (HR Bukhari dan Muslim) Madu lebah merupakan penawar sepanjang zaman. Selain digunakan sebagai pemanis asli untuk makanan secara meluas, ia juga digunakan oleh para tabib dizaman purba Mesir dan Yunani terutamanya membantu dalam proses penyembuhan luka dan masalah penghadaman atau masalah perut (gastrointestinal). Pada zaman kegemilangan ketenteraan Roman, tabib-tabib menggunakan madu untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka tentera-tentera yang tercedera di medan perang supaya tentera-tentera itu tadi dapat kembali berjuang di medan. Selain itu madu mengurangkan lendir, membuka ruang pernafasan dan membantu mengawal serangan bagi pesakit asma. Malah pada zaman kegemilangan tamadun Islam, cendekiawan Muslim antaranya Ibnu Sina memberikan beberapa preskripsi rawatan penyakit daripada madu dan sarang lebah serta dinukilan dalam bukunya yang masyhur iaitu Qanun fi at-Tibb. KANDUNGAN DAN INTIPATI MADU Madu merupakan produk semulajadi yang sangat tinggi kandungan nutrien dan nutrisi. Madu diperoleh daripada nektar bunga dan kandungan manis pada buah-buahan dihasilkan oleh kawanan lebah pekerja serta disimpan didalam sarang lebah. Disebabkan itulah, kandungan dan komposisi nutrien pada madu sangat bergantung kepada punca botani disesuatu kawasan serta pengaruh cuaca dan geografi keadaan sekitar. Secara umum, madu asli yang diperolehi dari hutan-hutan botani dan pendalaman, mengandungi kandungan nutrisi yang lebih lengkap dan menyeluruh serta mempunyai tambahan nutrien tertentu yang bermanfaat kepada manusia. Sudah semestinya jenis madu ini lebih mahal kerana sukar diperolehi. Madu ini juga dikenali sebagai madu asli dan antara madu asli tempatan yang terkenal adalah madu tualang dan madu gelam. Majoriti kandungan nutrien yang terdapat pada madu adalah karbohidrat yang terdiri daripada fruktosa dan glukosa serta kandungan kecil gula renyai (seperti sukrosa) yang terhasil daripada tindakbalas enzim semasa proses penyimpanan di dalam sarang lebah. Kandungan lain madu ialah air sekitar 20% manakala selebihnya kandungan vitamin, mineral, asid amino bebas dan enzim. Madu juga mengandungi vitamin B1, B2, B6 dan B12 yang yang membantu perkembangan saraf dan otak. Kajian oleh ahli kimia juga mendapati madu lebah mengandungi bahan anti-radikal bebas (bahan anti-oksida). Walaubagaimanapun, kandungan bahan anti-radikal bebas ini berbeza dari jenis madu ke jenis madu yang lain. Antara bahan yang terdapat pada madu lebah sebagai agen menyisih radikal bebas adalah flavanoid, karotin (carotenoid) dan asid fenolik (phenolic). KHASIAT MADU MENGIKUT KAJIAN SAINTIFIK MODEN Madu lebah membekalkan karbohidrat dan memberi tenaga dalam bentuk kalori yang diperlukan oleh manusia kerana kandungan gulanya yang tinggi melebihi 80% daripada kandungan bahan keseluruhan madu lebah. Madu lebah lebih manis dari gula tebu kerana lebih kandungan fruktosa. Walaupun peratus kandungan gula pada madu lebah adalah tinggi, madu lebah asli selamat dimakan oleh pesakit kencing manis dalam kuantiti yang sederhana kerana sifatnya yang rendah ‘indeks glycemia’ menyebabkan kandungan gula dalam darah lebih perlahan, mudah dicerna dan jika dibandingkan gula tebu, ia kurang menyebabkan kawalan gula dalam darah yang terlalu tinggi dan tidak terkawal. Walaubagaimanapun, pesakit kencing manis juga dinasihati supaya kerap melakukan pemeriksaan gula dalam darah untuk memastikan kandungan gula sentiasa terkawal untuk mengelakkan sebarang komplikasi. Madu juga digunakan secara besar-besaran dalam proses pemulihan luka disebabkan beberapa kebaikan yang terdapat padanya secara semulajadi antaranya ciri-ciri anti-bakteria, anti-inflamasi dan anti-oksidan (anti-radikal bebas). Sifat anti-oksidan ini juga dipercayai membantu dalam keseimbangan nutrisi dan bermanfaat kepada kesihatan mereka yang mengamalkan madu secara rutin disamping menyah-toksinkan radikal bebas penyebab pelbagai penyakit antaranya kanser. Walaupun secara klinikal madu bukanlah ubat atau penyembuh kepada kanser, tetapi dalam aspek perubatan pencegahan dan komplimentari, madu lebah dipercayai membantu pencegahan penyakit kanser. SIFAT SEMULAJADI MADU MEMBANTU PROSES PENYEMBUHAN LUKA Madu semakin mendapat tempat terutamnya penggunaannya sebagai alternatif atau komplimentari kepada pengubatan moden yng sedia ada. Beberapa kajian saintifik tempatan terhadap madu asli menunjukkan keberkesanannya secara klinikal terhadap proses penyembuhan luka. Madu asli yang disterilisasikan melalui proses tertentu, diaplikasi pada luka-luka pesakit dan seterunya menghasilkan keputusan yang memberangkan bukan saja dalam bentuk testimoni, malahan kajian klinikal juga membuktikan keberkesanan aplikasi topikal (setempat) madu lebah steril pada luka. Penghasilan madu untuk proses penyembuhan luka ini mempunyai beberapa inovasi. Oleh kerana sifat semulajadi madu yang mempunyai kuantiti tinggi air, aplikasi pada luka menjadi sukar kerana madu tidak berada lama pada luka akibat kurang kelikatan dan mudah mengalir keluar daripada luka dan akhirnya mengurangkan kesan proses penyembuhan. Untuk itu sesetengah produk ditukar dalam bentuk kepada hydrogel yang lebih statik dan likat. Bagi tujuan komersial, madu lebah diubah kepada bentuk hydrogel malah diberi sinaran radiasi selamat untuk proses pensterilan (nyah kuman). Dan seterusnya selamat untuk diaplikasi pada luka. Mengikut kajian klinikal, madu lebah asli yang digunakan untuk membantu sesuatu penyembuhan luka mampu memberikan keadaan lembap yang baik untuk proses pemulihan luka, mengurangkan jangkitan pada luka, mengurangkan inflamasi dan eksudasi pada luka. Madu asli juga dipercayai mempercepat proses pemulihan melalui stimulasi proses angiogenesis (proses penghasilan sel-sel baru), menggalakkan granulasi (penghasilan tisu yang sihat) dan proses epitialisasi (penghasilan tisu epitial di permukaan kulit) serta akhirnya memberi kesan yang bermanfaat dari segi kosmetik. Terdapat dua jenis madu asli tempatan yang dijalankan secara meluas kajian-kajian tentang kelebihan penggunaan madu asli dalam proses penyembuhan luka, iaitu madu tualang dan madu gelam (Melaleuca spp.). Isu yang menjadi perdebatan dan perbincangan dalam dunia perubatan adalah penularan dan berkembangnya kuman atau bakteria yang rentan dengan pelbagai antibiotik. Isu ini amat membimbangkan dunia perubatan kerana perkembangan bakteria ini lebih cepat berbanding dengan inovasi antibiotik baru itu sendiri. Beberapa kajian dilakukan terhadap pesakit yang mendapat luka pada kulit atau pesakit lecuh terbakar dan didapati luka mengandungi kuman atau bakteria yang rentan pelbagai antibiotik menunjukkan respon yang positif apabila madu lebah diaplikasi secara topikal. PENUTUP Walaupun penggunaan madu lebah secara asasnya selamat untuk semua peringkat, tetapi kajian mendapati sebaliknya. Mikroorganisma atau organisma kecil membiak dalam keadaan kelembapan yang tinggi. Sebahagian besar organisma kecil tidak dapat membiak pada madu asli kerana keadaan serta kondisi yang tidak sesuai, iaitu mempunyai kandungan air yang terlalu rendah serta kepekatan gula yang sangat tinggi (iaitu keadaan osmolariti yang tinggi dan menyebabkan mikroorganisma mati). Terdapat sesetengah kajian yang menyatakan keperluan untuk berhati-hati dalam penggunaan madu terutamanya dikalangan bayi yang masih kecil. Dipercayai sesetengah madu merupakan tempat berselindungnya benih Clostridium botulinum yang dorman (lemah) malah ia boleh berubah menjadi aktif di dalam perut bayi baru lahir yang mempunyai sistem penghadaman yang belum matang dan seterusnya mengakibatkan komplikasi keracunan. Apapun, benarlah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nahl seperti yang dinyatakan pada awal artikel ini. Kadangkala kita terlalu mengagungkan ubat-ubatan moden hinggakan akhirnya kita alpa bahawa di dalam Al-Quran telah dinyatakan khasiat khazanah yang Allah SWT kurniakan kepada umat manusia, iaitulah madu. Semoga ahli sains dan pengamal perubatan Muslim mampu menegakkan sunnah dan membuktikan kebenaran wahyu malah dapat diaplikasi dalam sistem perubatan moden melalui kajian-kajian klinikal yang berautoriti. Sesungguhnya sebagai umat Islam kita adalah golongan yang beriman dengan sebenar-benar dan percaya tanpa ragu apa yang Allah SWT nukilkan dalam Al-Quran. Malah dalam Kalam Tuhan ini jugalah Allah SWT menceritakan bahawa antara nikmat di syurga yang menanti hambaNya adalah sungai-sungai madu yang tidak tergambar oleh kehebatan akal manusia semasa di dunia. Allah SWT berfirman yang maksudnya, ”(Apakah) perumpamaan (penghuni) Jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Tuhan mereka, sama dengan orang yang kekal dalam jahannam dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong ususnya?” (Muhammmad 47: 15) Akhirnya, janganlah kita berputus asa dari ujian dan rahmat Allah SWT, kerana setiap penyakit terdapat penawar. Batas ilmu yang ada pada manusialah yang menyebabkan penawar bagi penyakit tertentu belum di temui. Dari Abi Darda’ ra, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram.“ (HR Abu Daud)
Posted on: Thu, 20 Jun 2013 14:35:46 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015