Majlis Anjuran Malaysia Di New York Sentiasa - TopicsExpress



          

Majlis Anjuran Malaysia Di New York Sentiasa Dinanti-nantikan Daripada Nani Rahayu Yusof NEW YORK, 17 Sept (Bernama) -- Dewan Besar Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) penuh sesak dengan jemputan yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan diplomat serata dunia semasa sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, pada Isnin. Kebanyakan mereka yang ditemui berkata, jemputan ke majlis anjuran Pejabat wakil tetap itu, tidak boleh ditolak kerana "Malaysia" menjamu tetamunya dengan keramahan serta pelbagai jenis masakan lazat. Lebih 500 tetamu terdiri daripada diplomat dari negara Asean, Eropah, dan Afrika serta beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan, selebriti media dan televisyen di kota raya New York hadir pada majlis itu. Antara yang tidak ketinggalan ialah Presiden sesi ke-68 Perhimpunan Agung PBB, John Ashe yang juga wakil tetap Antigua dan Barbuda. Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Hussein Hanif berkata pejabat itu memilih untuk mengadakan sambutan itu pada 16 September bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang ke-50. Katanya banyak negara memandang tinggi dan menghormati Malaysia, sebuah negara kecil tetapi dapat bersaing dengan negara-negara lain. Ketua Pengarang Society and Diplomatic Review Gloria Starr Kins berkata beliau tertarik dengan sifat ramah tamah rakyat Malaysia dan makanannya yang sangat enak. "Saya tidak mahu ketinggalan setiap kali saya dijemput menghadiri sebarang majlis yang dianjurkan pejabat kerajaan Malaysia," katanya. Isteri Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datin Sharifah Raguan Syed Ismail menyediakan lebih 15 jenis makanan termasuk nasi goreng, mi wantan, roti jala, kari ayam, kuetiau goreng, kuih ketayap dan bingka pisang. Persidangan sesi ke-68 PBB dijangka bermula minggu depan. Mereka juga berkesempatan menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan oleh sekumpulan rakyat dan pelajar Malaysia yang berada di sini, yang disajikan oleh Pejabat Tourism Malaysia New York. Antara yang dipersembahkan ialah tarian asyik, joget, zapin, "tarian tradisional India, tarian kipas dan riben Cina, "Exotic Borneo" selain tetamu juga berkesempatan berjoget lambak bersama penari-penari. -- BERNAMA
Posted on: Wed, 25 Sep 2013 04:17:32 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015