Memperkasa Biro Agama UMNO UKURAN kekuatan politik di - TopicsExpress



          

Memperkasa Biro Agama UMNO UKURAN kekuatan politik di Malaysia tidak boleh dipisahkan dengan kekuatan perjuangan politik Melayu, dan kerana itulah kedudukan orang Melayu sentiasa dijadikan kambing hitam oleh mana-mana parti politik yang berusaha keras mengambil alih kuasa. Oleh kerana Malaysia memberikan hak kebebasan beragama dalam kalangan warganegara, kecuali larangan melakukan dakwah atau pengembangan agama lain ke atas masyarakat Islam, situasi politik liberalisme turut mempersoalkan konsep keadilan. Islam dilihat tidak berlaku adil kerana tidak membenarkan penganutnya memilih agama lain manakala penganut agama lain diberikan kebebasan untuk memeluk Islam. Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, berlaku kekecohan besar apabila ada parti politik yang bercadang menggunakan wang kutipan zakat untuk diagihkan sebahagiannya kepada penganut agama lain. Turut dipersoalkan adalah peruntukan kepada rumah-rumah ibadat lain, termasuk menubuhkan sebuah jawatankuasa antara agama. Akhir tahun lalu, seorang pemimpin parti pembangkang mengesyorkan agar kerajaan membenarkan penganut Kristian menggunakan istilah Allah sebagai terjemahan bahasa Melayu untuk istilah God yang digunakan dalam Bible. Persoalan itu sebenarnya merujuk kepada larangan Menteri Dalam Negeri menghalang penyebaran sebuah penerbitan mingguan yang diterbitkan oleh Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur pada 7 Januari 2009. Pada 14 Oktober 2013, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa The Herald-The Catholic Weekly adalah dilarang menggunakan istilah Allah bagi menggantikan terjemahan istilah God dalam bahasa Melayu. Kenyataan itu masih belum dapat meredakan segelintir pejuang agama Kristian kerana bagi mereka, istilah Allah tetap lebih tepat bagi menggantikan God khususnya dalam bahasa Melayu, kerana penggunaannya dikatakan sudah lama digunakan terutama di Sabah dan Sarawak. Meneliti perkembangan reaksi tersebut, maka wajarlah kepimpinan baharu dalam UMNO yang menang dalam pemilihan peringkat pusat dan bahagian menyusun peluang dialog intelektual dengan penganut Kristian bagi memperjelaskan keputusan tersebut bagi menjernihkan himpitan psikologi yang sedang berlaku, yang kalau tidak dapat dikawal bakal membawa kepada konflik lebih besar. Meskipun kepimpinan UMNO yang terpilih tidak ramai dalam kalangan mereka yang berpendidikan agama (seorang dalam Exco Pemuda, seorang di peringkat Naib Presiden dan seorang dalam Majlis Tertinggi) di bahu merekalah nanti tanggungjawab tersebut diletakkan untuk menggerakkan asas tersebut. Kalau dalam tahun-tahun 1980-an, lahir pelbagai bentuk forum dan seminar bagi mencari nilai-nilai bersama (universalisme) pelbagai agama, maka kali ini mereka perlu membuka gelanggang dialog sebagai kaedah jihad intelektual. Ia penting bagi membuktikan UMNO benar-benar berjuang meletakkan kedudukan Islam dan merealisasikan janji-janji yang dilontarkan ketika berhadapan dengan kehendak perjuangan Islam. UMNO perlu membuktikan kesungguhan perjuangan politiknya untuk menjadikan kesederhanaan yang lebih meluas, dan bukan hanya tertumpu dalam kerangka Islam. Pemimpin UMNO wajar menterjemahkan realiti wasatiyyah kepada bukan Islam dan diamalkan secara berkesan. Jika pemimpin UMNO yang baharu dipilih mengambil sikap yang lama, jumud, hanya membiarkan keputusan dibuat oleh mahkamah dan dalam masa yang sama melenting dalam dewan persidangan, maka kebijaksanaan kepimpinan mereka akan dinilai sebagai gagal. Generasi yang menjadi pengundi terbesar untuk PRU-14 sedang memerhatikan gelagat dan keberkesanan berkerja para pemimpin UMNO kini, apakah mereka benar akan mengotakan apa yang dijanjikan mengenai perjuangan Islam. Ini kerana sepanjang tahun 2013, sejak permulaannya kita terdedah dengan kontroversi politik mengenai penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. Ia kemudian bercambah dengan ancaman liberalisme dan pluralisme agama, wahabisme, syiah, gejala murtad, LBGT dan menghina Nabi Muhammad SAW menerusi media sosial. Dan ini menambah lagi satu masalah besar sedangkan hakikatnya kita sedang berhadapan dengan masalah-masalah yang lebih besar dan utama seperti soal perpaduan, pengukuhan politik Melayu-Islam dan kemunduran ekonomi umat Islam. Dalam masa sama, negara juga berdepan dengan situasi jenayah yang kian hari kian membimbangkan. Aktiviti-aktiviti seperti penyalahgunaan dadah, penculikan, gangsterisme, kongsi gelap, pelacuran, rempit, rogol dan bunuh telah menjadi suatu yang semakin menghimpit keamanan negara. Permasalahan ini juga memerlukan kekuatan yang benar-benar ampuh, telus untuk menghadapinya. Jalan yang besar dan lebih utama adalah bagaimana untuk menjaga akidah umat Islam dan menyatukan mereka dalam barisan ukhuwah Islamiah dalam menghadapi penyelewengan akidah seperti aliran-aliran fikiran bebas serta gejala-gejala kemungkaran yang bermaharajalela dalam kehidupan harian kita. Inilah yang perlu ditangani bersama terlebih dahulu daripada perkara yang remeh-temeh dalam masalah khilafiah. Termasuk juga dengan gerakan pelampau agama yang dikaitkan dengan sikap ketaksubannya dengan pandangannya sendiri tanpa mengiktiraf pandangan orang lain. Mereka menafikan pandangan orang lain dengan sewenang-wenangnya. Kemunculan gabungan 54 NGO hak asasi manusia COMANGO untuk mengemukakan resolusi semakan berkala rekod hak asasi manusia (termasuk LBGT, diskriminasi gender dalam undang-undang Islam dan sebagainya), merupakan suatu tamparan hebat kepada agensi Islam. Sebab kegagalan membendung agenda berkenaan bagi dikemukakan dalam forum PBB itu menunjukkan kelemahan pihak berkuasa Islam dalam mengawal dan menidakkan perbuatan yang boleh dianggap mencabuli perlembagaan negara. Cabaran ini perlu diterjemahkan dengan jelas dan berkesan oleh kepimpinan parti khasnya menerusi Biro Agama UMNO. Perlu ada agenda dan program baik yang bersifat jangka pendek mahupun jangka panjang bagi menangani isu-isu yang sedemikian. Biro Agama UMNO yang merupakan aktor intelektual dalam menangani masalah agama di negara ini, tidak boleh berpangku tangan sambil mengharapkan keberkesanan NGO Islam yang justeru kelihatan bertaring dan menjuarai setiap isu yang menggugat agama Islam. Oleh itu, tiada pilihan lain bagi kepimpinan parti untuk memperkasa dan memberi ruang yang cukup luas kepada Biro Agama bagi mengembalikan kewibawaan badan itu sebagai penaung Islam di negara ini. Jika kali ini kepimpinan UMNO juga masih gagal, maka ia akan menjadi sesuatu yang amat malang kepada perjuangan politik Melayu-Islam, dan akan terus dipersalahkan tidak bersungguh-sungguh melaksanakan jihad intelektual bagi memperjuang Islam dalam konteks masyarakat majmuk. Oleh Mod. Shauki Abd. Majid PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
Posted on: Mon, 28 Oct 2013 00:20:01 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015