Menjelang tayangan filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi - TopicsExpress



          

Menjelang tayangan filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba yang bakal menemui penonton Khamis ini, DAP menggesa Kementerian Penerangan dan Komunikasi mengkaji semula kelulusan kerana dikhuatiri bakal menyemarakkan lagi ketegangan kaum. Setiausaha agungnya, Lim Guan Eng berkata filem berkenaan memberi gambaran tidak tepat berhubung peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang hanya menimbulkan fitnah dan pembohongan yang didalangi oleh pihak kerajaan. Katanya, jika pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) membenarkan tayangan filem itu pada 29 Ogos, ini membuktikan gabungan pemerintah itu bersekongkol menyampaikan fitnah bertujuan untuk mencetuskan ketegangan kaum serta mahu memporak-perandakan Malaysia. "DAP mahu melihat apa tindakan yang akan diambil oleh pihak kerajaan. Jika tiada apa-apa tindakan yang diambil dalam masa terdekat, kami akan berbincang untuk melihat langkah seterusnya. "Babak tidak tepat yang terus mengecam DAP hanya melihatkan BN tiada nilai, prinsip dan maruah. Babak yang telah diakui songsang seharusnya dibuang dari paparan umum. Pihak penerbitan harus memaparkan kebenaran dan bukannya terus menyemarakkan api kebencian kaum di Malaysia," katanya apabila dihubungi The Malaysian Insider semalam. Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata tiada sebarang bukti kukuh sama ada dokumen, gambar atau laporan rasmi berkaitan peristiwa kencing di tiang bendera di perkarangan rumah bekas Menteri Besar Selangor Datuk Idris Harun. Beliau menjelaskan buku tulisan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sendiri tidak pernah pernah mengakui wujudnya kejadian beberapa orang pemuda Cina yang kencing di tiang bendera seperti dipaparkan filem berkenaan. Katanya, jika benar wujud peristiwa seperti digambarkan filem berkenaan pastinya ada pihak yang tampil mengakui kebenaran insiden itu sebelum pengarah melakonkan semula watak tersebut. “Tayangan semula peristiwa 13 Mei hanya akan menyemarakkan lagi kebencian antara kaum dan memberi kesan yang sangat buruk. Apatah lagi filem yang mendapat bajet dari kerajaan, maka pihak berkenaan perlu lebih bertanggungjawab terhadap sensitiviti kaum di Malaysia,” katanya kepada The Malaysian Insider. “Tambahan pula, beberapa bulan ini Malaysia dicemarkan dengan insiden polarisasi kaum dan agama dan penayangan filem tersebut pada waktu genting ini sangat tidak bertanggungjawab,” tambah beliau lagi. Katanya, filem yang mencetuskan ketegangan kaum tidak harus ditontonkan pada bila-bila masa dan berharap pihak penerbitan lebih bertanggungjawab lebih-lebih lagi membabitkan sejarah negara. The Malaysian Insider menghadiri tayangan perdana filem berkenaan pada Selasa dan mendapati filem yang menjalani penggambaran selama 60 hari itu masih mempunyai beberapa babak kontroversi termasuk adegan beberapa pemuda Cina kencing di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor. Filem arahan Shuhaimi itu seharusnya ditayangkan tahun lalu, tetapi ditangguhkan sebanyak tiga kali berikutan bantahan mengenai beberapa babak rusuhan kaum 13 Mei 1969. Kos penghasilan Tanda Putera menelan belanja sebanyak RM4.8 juta merupakan usaha sama Persona Pictures, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Multimedia Development Corporation (MDeC). Dalam filem itu, pengarah seolah-olah mahu menggambarkan masyarakat Cina bertanggungjawab terhadap rusuhan pada 13 Mei. Ini menyebabkan pemimpin DAP sebelum ini menyatakan filem itu sebagai propaganda BN yang boleh menimbulkan ketegangan kaum. Dialog kontroversi seperti, “Orang Melayu pergi balik kampung,“ dan adegan di mana pembunuhan dalam panggung wayang, tertera tulisan bahasa Cina “Melayu pergi mati” pada skrin sebelum mangsa ditetak. Semasa sidang media tayangan filem itu, Shuhaimi menegaskan Tanda Putera berkisarkan persahabatan di antara dua pemimpin iaitu mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang berdepan peristiwa getir membangunkan negara dan pada masa sama bertarung dengan masalah kesihatan masing-masing. Shuhaimi tidak berasakan mana-mana adegan dalam babak itu dianggap terlalu radikal dan melihat ia hanya gimik politik yang cuba dicanangkan oleh pemimpin DAP. “Beri peluang kepada filem sejarah negara kerana ia berkisarkan kisah benar,” katanya yang turut melahirkan kekecewaan kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF) terhadap layanan yang diterima semasa proses suntingan filem berkenaan.
Posted on: Mon, 26 Aug 2013 04:36:19 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015