Nahas pulang berkempen Oleh Mohd Ridzal Abdullah (Metro) Kunak: - TopicsExpress



          

Nahas pulang berkempen Oleh Mohd Ridzal Abdullah (Metro) Kunak: Calon Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Silam Jumriah Hambali, 42, mungkin lumpuh seluruh badan akibat cedera parah selepas kenderaan dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 27, Jalan Lahad Datu-Kunak, Tingkayu, di sini, malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, Samman Arum, 54, pemandu pikap jenis Mitsubishi Triton dinaiki Jumriah yang juga Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Wanita UMNO Silam, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Besar Tawau. Seorang lagi penumpang, Zuraidah Boching, 52, AJK Wanita UMNO Silam, yang duduk di kerusi penumpang belakang, turut parah dan kini koma di hospital yang sama. Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku apabila pikap Mitsubishi Triton dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik. Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing selepas selesai berkempen untuk sesi pemilihan UMNO bulan depan di sekitar Kunak. Anak saudara Jumriah, Kasmiati Sakka, 26, berkata, mereka sekeluarga masih terkejut dengan kejadian menimpa ibu saudaranya itu. “Dia (Jumriah) sangat aktif dalam politik dan menjadi tonggak keluarga selama ini. “Sejurus mengetahui Jumriah terbabit dalam kemalangan dan mengalami kecederaan parah, hanya linangan air mata dan doa saja yang dapat kami panjatkan,” katanya. Katanya, seluruh ahli keluarga berharap Jumriah dapat sembuh dan menjalani kehidupan seperti biasa. Sementara itu, Ahli Parlimen Silam yang juga penyandang Ketua UMNO Silam Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata, pihaknya terkejut sebaik dimaklumkan mengenai perkara itu. “Saya berdoa semoga kedua-dua mereka segera sembuh dan menasihatkan penduduk serta ahli UMNO supaya sentiasa berhati-hati kerana kemalangan kerap berlaku di kawasan itu,” katanya. Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan M Radzali Mahmud ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu pihaknya masih melakukan siasatan lanjut.
Posted on: Sat, 28 Sep 2013 01:01:38 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015