Operasi bersepadu: Wanita Thailand, China antara yang disoal - TopicsExpress



          

Operasi bersepadu: Wanita Thailand, China antara yang disoal siasat by AMIR ANUAR. Posted on July 2, 2013, Tuesday TAWAU: Sekurang-kurangnya 15 pekerja pusat spa dan refleksologi wanita warga Thailand dan China disoal siasat dalam operasi bersepadu melibatkan pihak berkuasa tempatan dengan agensi-agensi penguatkuasa di daerah ini yang berakhir sekitar jam 2 pagi kelmarin. Pemeriksaan itu dilakukan hasil daripada serbuan yang dijalankan di dua pusat spa dan refleksologi berasingan di kawasan Fajar dan Takada ketika ada di antara wanita terbabit sedang ‘melayan’ pelanggan, malah ada yang sekadar memakai kain tuala. Kekecohan kecil turut berlaku di salah sebuah premis terbabit apabila ada di antara wanita berkenaan yang pada mulanya enggan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bertugas sebelum situasi kembali terkawal. Kesemua wanita terbabit bagaimanapun tidak ditahan kerana tarikh sah laku dokumen pengenalan diri mereka didapati masih berkuatkuasa dan pihak berkuasa berpuas hati dengan keterangan yang diberikan. Operasi bersepadu yang dijalankan selama kira-kira empat jam itu disertai oleh pihak polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dan diketuai oleh pihak Majlis Perbandaran Tawau (MPT). Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Imigresen Tawau menahan sembilan individu yang disyaki warga asing kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan meragukan sebelum dihantar ke Pusat Tahanan Sementara Tawau untuk siasatan lanjut. Pihak Jheains Tawau pula menahan empat pasangan kekasih beragama Islam yang berumur antara 18 hingga 30 tahun kerana disyaki berkhalwat tanpa mempunyai sebarang ikatan hubungan suami isteri yang sah menerusi serbuan di beberapa pusat penginapan. Sementara itu, KDRM Tawau yang turut mengadakan pemeriksaan dalam operasi itu merampas sejumlah minuman keras termasuk jenama Tsingtao kerana disyaki tidak memiliki sebarang duti kastam. Mengulas lanjut mengenai operasi itu juga, Ketua Operasi merangkap Ketua Penguatkuasa MPT, Azinun Sanarul berkata lapan premis perniagaan diperiksa dalam operasi bersepadu terbabit melibatkan pusat spa dan refleksologi, pusat hiburan dan pusat penginapan. “Dua premis diarah supaya ditutup serta merta kerana beroperasi tanpa memiliki lesen perniagaan, manakala dua premis diarahkan berurusan di Pejabat MPT kerana didapati menyalahgunakan lesen dan melanggar Undang-Undang Kecil MPT,” katanya. Menyentuh hal terbabit, Azinun mengingatkan semua pihak yang berhasrat membuka pusat tumpangan atau penginapan lain supaya mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan dan memohon lesen terlebih dahulu sebelum menjalankan operasi perniagaan mereka. Read more: theborneopost/2013/07/02/operasi-bersepadu-wanita-thailand-china-antara-yang-disoal-siasat/#ixzz2XxlpI0Uz
Posted on: Wed, 03 Jul 2013 06:55:21 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015