PANDUAN MEMILIH PEKEJ HAJI DAN UMRAH Mengerjakan haji dan umrah - TopicsExpress



          

PANDUAN MEMILIH PEKEJ HAJI DAN UMRAH Mengerjakan haji dan umrah memerlukan belanja yang bukan sedikit. Biasanya seseorang itu terpaksa berjimat dan mengumpul wang dalam jangka masa yang panjang. Apabila simpanan wang sudah mencukupi barulah merancang untuk menyempurnakan niatnya untuk menunaikan fardu haji dan umrah. Rakyat Malaysia yang ingin menunaikan fardu haji mempunyai dua pilihan sama ada melalui Lembaga Tabung Haji atau pekej swasta. Sesiapa yang memilih untuk menunaikan fardu haji melalui pekej swasta mestilah menyediakan perbelanjaan yang lebih besar tetapi dapat menikmati perkhidmatan yang mungkin lebih licin dan selesa. Bagi menyempurnakan umrah ke Tanah Suci (dengan visa umrah) disyaratkan setiap jemaah diuruskan melalui syarikat yang mengendalikan umrah / pekej, kecuali melalui visa ziarah. Oleh kerana banyak syarikat yang mengendali dan menawarkan pekej umrah, pada masa inilah sangat perlu kepada ‘tips’ atau garis panduan untuk memilih syarikat yang boleh memberi kepuasan yang maksima. Berikut, dicadangkan garis panduan yang mungkin boleh membantu anda untuk memilih syarikat pengendalian / pekej yang berkaitan: 1. Pilihlah syarikat berdaftar yang sudah berpengalaman mengendalikan jemaah haji atau umrah. Pastikan tiada rekod jemaah yang diuruskan tersadai disebabkan visa, tiada tiket penerbangan atau tiada tempat penginapan. Masalah ini biasanya terjadi kerana kelemahan pengurusannya. Anda boleh dapatkan maklumat daripada jemaah yang pernah menerima perkhidmatannya. Sebaiknya syarikat tersebut adalah sebagai ejen pelancongan yang juga mengendalikan penjualan tiket kapalterbang. Walau bagaimanapun, terdapat juga syarikat yang agak baru, yang mengambil sedikit sahaja keuntungan tapi dapat menawarkan perkhidmatan dan pekej yang lebih baik. 2. Semak dan buat penilaian tentang pekej yang ditawarkannya, dan mungkin boleh dibandingkan dengan pekej syarikat lain. Dapatkan maklumat yang jelas tentang program dan kemudahan yang ditawarkan. Sebagai contoh tentukan perkara-perkara berikut :- a. Apakah alatan seperti beg sandang, beg pakaian, kain ihram dan sebagainya, disediakan (termasuk dalam pekej)? b. Berapakah jumlah caj pekej yang ditawarkan? Murah atau mahal? Ramai di kalangan jemaah yang terkeliru dengan harga. Ingatlah! Penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Jeddah atau ke Madinah mengambil masa tidak melebihi lapan jam setengah (dalam keadaan biasa). Penerbangan yang terbaik ialah penerbangan yang terus ke Madinah, yang dapat menjimatkan masa perjalanan sekurang-kurangnya lima jam. Biasanya harga yang murah ditawarkan kerana penerbangannya bukan terus ke Tanah Suci, yang mengambil masa kadangkala hampir 20 jam kerana ‘transit’ di mana-mana bandar. Bayangkanlah betapa letihnya kalau perjalanan pergi ke Tanah Suci mengambil masa hampir 20 jam dan balik nanti juga mengambil masa yang sama. Ini belum lagi termasuk masa perjalanan mungkin dengan bas dari Jeddah ke Madinah yang mengambil masa lebih kurang 6 jam. Atau boleh jadi terdapat beberapa kekurangan dalam pekej tersebut. Oleh itu buatlah penilaian sendiri mengenai perkara di atas. c. Berapa lamakah pekej yang ditawarkan termasuk hari pergi dan balik? Contohnya, kalau pekej umrah biasanya mengambil masa 12 hari (termasuk menginap 3 hari di Madinah dan 7 hari di Makkah). Perjalanan musafir masuk ke Makkah dahulu atau ke Madinah dahulu, hendaklah dipastikan dengan jelas. d. Adakah kursus bagi melaksanakan ibadat haji atau umrah diadakan untuk jemaah? e. Salah satu perkara yang sangat penting ialah dimanakan jemaah akan menginap semasa di Makkah dan di Madinah? Berapa jauhkah tempat menginap dari Masjidil Haram di Makkah atau Masjid Nabawi, di Madinah? Sebaiknya ialah yang paling dekat, supaya senang dan kurang meletihkan untuk berulang-alik ke masjid. f. Adakah disediakan pembimbing bagi mengerjakan ibadat haji atau umrah? Berapa kalikah umrah percuma (kendalian pekej) yang ditawarkan? Tempat-tempat manakah yang akan diziarahi di Makkah dan di Madinah? g. Kalau air Zam-zam disediakan sebagai salah satu cenderahati untuk dibawa balik, berapa literkah isinya? Inilah antara perkara-perkara yang patut diambil kira dalam memilih pekej ke Tanah Suci. Gunakanlah penilaian masing-masing agar wang yang habis dibayar kepada syarikat atau pekej tersebut memberi kepuasan dan tiada lagi keluhan kemudian nanti. Akhir sekali, suatu perkara yang ingin saya ingatkan kepada mana-mana jemaah yang akan ke Tanah Suci, JANGAN BERNIAT PILIH PEKEJ KERANA HENDAK MENDAPATKAN KESELESAAN SEMASA DI SANA, kerana keselesaan semasa di Tanah Suci adalah sangat bergantung kepada keikhlasan niat dan ‘kebersihan’ pada diri dan wang yang dibelanjakan. Berdoalah semoga Allah SWT tidak menguji kita dengan ujian yang berat dan dikurniakan haji atau umrah yang mabrur. Insya Allah. Kredit untuk Jom Umrah & Haji
Posted on: Mon, 26 Aug 2013 23:52:44 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015