PDRM terus dikecam jika tidak berubah, kata - TopicsExpress



          

PDRM terus dikecam jika tidak berubah, kata penganalisis Masyarakat akan hilang kepercayaan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika siasatan segera tidak dilakukan terhadap kehilangan 44 senjata api dan 29 kenderaan poli, kata Pakar Pencegahan Jenayah, Profesor Datuk Dr Abdul Halim Sidek. “Polis mahu mendapat lebih kuasa dalam memerangi gensterisme menerusi Rang Undang-Undang Akta Pencegahan Jenayah (PCA) tetapi bagaimana orang ramai akan menaruh kepercayaan kepada PDRM jika masih dibelenggu dengan masalah ini. “Laporan Ketua Audit Negara tidak harus dipandang enteng dan pendedahan itu menunjukkan kealpaan polis dalam menguruskan harta benda mereka kerana perolehan kelengkapan mereka menggunakan dana awam,” katanya kepada The Malaysian Insider. “Bukan hanya 44 senjata api dilaporkan hilang tetapi tiada pihak yang tahu mengenai perkara itu. Masalah ini mengancam keselamatan awam. Adakah senjata itu dicuri oleh polis sendiri atau disebabkan kecuaian mereka,” katanya. Abdul Halim yang juga pensyarah di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara turut menggesa satu suruhanjaya siasatan khas ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan senjata api itu dengan penyiasat dari luar dipanggil untuk membantu siasatan. “Masyarakat mahu memberikan kuasa yang lebih kepada PDRM melalui pindaan PCA bagi memastikan keamanan rakyat tetapi polis juga perlu memastikan pasukan mereka berintegriti atau bersedia mendapat kritikan,” katanya. Abdul Halim menolak alasan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendakwa beliau baru menyandang jawatan itu dan kehilangan senjata api serta kenderaan polis tidak berlaku di bawah pengawasannya. “Sebelum menjadi KPN, Khalid adalah timbalan, iaitu orang nombor dua dalam pasukan. Justeru, bagaimana beliau boleh lari dari masalah ini dan melepaskan tanggungjawab. “PDRM dengan jelas tidak memandang serius kehilangan senjata api ini. Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan kelewatan dalam memaklumkan kehilangan senjata itu dan polis mengambil masa yang lama untuk menjalankan siasatan,” katanya. Profesor P Sundramoorthy dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata kehilangan senjata api dan kendraan polis menunjukkan kelemahan sistem pentadbiran dan pengurusan inventori PDRM. “Ketua Audit Negara mendedahkan perkara ini dan kini polis berhutang dengan rakyat bagi memberi penjelasan. “Pihak yang bertanggungjawab dalam mengurus senjata api dan kenderaan PDRM perlu disiasat seterusnya dihadapkan ke mahkamah. Ini termasuk pegawai tertinggi PDRM. “Perkara ini sungguh menyedihkan apabila agensi penguatkuasaan undang-undang utama negara gagal menjaga kenderaan mereka sendiri. Apa mesej yang hendak disampaikan kepada rakyat? Siapa lagi yang akan mempercayai polis untuk menjaga ketenteraman awam,” katanya.
Posted on: Wed, 02 Oct 2013 04:24:09 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015