PERUBATAN DAN RAWATAN TAMBAHAN BAGI MERAWAT PENYAKIT KANSER - TopicsExpress



          

PERUBATAN DAN RAWATAN TAMBAHAN BAGI MERAWAT PENYAKIT KANSER PAYUDARA BANGI, 27 Ogos 2012 – Suatu penyelidikan pelbagai aspek mengenai penggunaan perubatan tambahan dan alternatif (CAM) di kalangan pesakit barah payudara yang terselamat menunjukkan majoriti daripada mereka mengambil makanan tambahan berkhasiat ditambah dengan bersolat dan mengambil ubat tradisional Melayu. Penyelidikan itu membabitkan 116 wanita Melayu pesakit barah payudara yang terselamat berumur antara 21 hingga 67 tahun yang sudah dua tahun melepasi diagnosis dan sedang menjalani rawatan susulan di klinik barah payudara di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Rawatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Ubat tambahan dan kaedah alternatif digunakan oleh pesakit barah payudara yang terselamat itu sebagai satu mekanisme mengukuhkan jatidiri untuk melawan penyakit itu. Antara ubat tambahan itu, multivitamin seringkali digunakan diikuti spirulina, vitamin C, minyak primros dan produk-produk herba. Rumusan itu didapati dari suatu penyelidikan dijalankan oleh Dr Soraya Hanie Shaharudin dan Dr Mohd Razif Shahril, dua pelajar pascasiswazah dan Dr Suhaina Sulaiman, PhD, pensyarah kanan dan pakar pemakanan, semuanya daripada Jabatan Nutrisi dan Pemakanan, PPUKM; Dr Nor Aina Emran, pakarbedah kanan dalam unit payudara dan endokrin HKL dan Profesor Dr Sharifah Noor Akmal Syed Hussain, pakar cytopatologis Jabatan Patologi PPUKM. Dr Suhaina memberitahu bahawa penyelidikan itu dilakukan untuk mengetahui betapa luasnya penggunaan ubatan tambahan di kalangan pesakit barah payudara yang terselamat di Lembah Klang memandangkan jumlah pesakit yang menggunakan CAM semakin bertambah. Ia adalah juga untuk mengetahui perbezaan antara pesakit yang mengguna CAM dengan golongan yang tidak. Ia dijalankan selama enam bulan dari Januari hingga Jun 2007 sebagai sebahagian daripada Kajian Barah Payudara Genetik, Molekular dan Proteomik di Malaysia. Dua klinik payudara pesakit luar daripada hospital perujuk –Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) - dipilih untuk mendapatkan pesakit yang layak untuk kajian. HKL kini adalah sebuah hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, dianggap salah sebuah yang terbesar di rantau Asia manakala PPUKM adalahsebuah pusat perubatan akademik ditubuhkan dengan percantuman Fakulti Perubatan UKM dan hospital pendidikannya. Majoriti daripada peserta telah disahkan mengidap barah payudara pada tahap II (49.1%) dengan 25.4% berada pada tahap I, tahap III (22.8%) dan tahap IV(2.6%). Sebanyak 64 peratus daripada peserta dikenalpasti sebagai pengguna CAM. Daripada 17 jenis CAM disenaraikan, 12 digunakan oleh peserta dengan yang paling biasa adalah ubat tambahan pemakanan (86.3%). Antara yang terbanyak adalah multivitamin (53%), spirulina (32%), vitamin C (27%), minyak evening primros (18%) dan produk herba (11%). Oleh kerana semua peserta terdiri dari orang Melayu dan beragama Islam, mereka biasanya bersolat dan menggunakan ubat-ubatan tradisional Melayu iaitu sebanyak 27.4 peratus. Lebih separuh daripada pengguna CAM tidak membincangkan penggunaan ubat tambahan itu dengan doktor mereka.
Posted on: Fri, 20 Sep 2013 09:15:15 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015