POLIS TUMPAS SINDIKET CURI KERETA DI LEDANG Ledang, 13 Sept - - TopicsExpress



          

POLIS TUMPAS SINDIKET CURI KERETA DI LEDANG Ledang, 13 Sept - Polis menahan lapan orang termasuk dua wanita yang dipercayai anggota sindiket mencuri kereta serta merampas dua buah kereta bernilai lebih RM200,000 di Jalan Sialang, Tangkak di sini Selasa lalu. Ketua Polis Daerah Ledang Supt Harun Idris berkata kesemua mereka berusia antara 20 hingga 37 tahun dan berasal dari sini, Muar, Kluang dan Melaka yang diberkas ketika sedang khayal di sebuah premis kira-kira pukul 6 petang. "Kita percaya mereka terbabit dalam sindiket mencuri kenderaan berdasarkan penemuan dua kereta curi, nombor pendaftaran dan cukai jalan yang dipalsukan. "Sehubungan itu polis telah merampas sebuah kereta Honda Accord dan sebuah Perodua MyVi yang sebelum ini dilaporkan hilang di Kajang, Selangor akhir bulan lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang di sini hari ini. Beliau berkata dengan penahanan suspek dan penemuan kereta itu, polis percaya dapat menyelesaikan dua kes mencuri kereta dalam masa dua minggu dan kereta berkenaan akan diserahkan kepada IPPD Kajang untuk tindakan lanjut. Menurut beliau, kesemua suspek merupakan penagih tegar serta tidak memiliki pekerjaan tetap dan dipercayai bergantung kepada kegiatan jenayah mencuri kenderaan sebagai sumber mereka menyara diri. Harun berkata salah seorang suspek dipercayai ketua kumpulan sindiket itu yang memiliki 16 rekod jenayah lampau yang membabitkan kesalahan penyalahgunaan dadah dan jenayah sejak 2011. Polis turut menemui enam paket kecil dipercayai berisi dadah jenis syabu dari lelaki berkenaan. Empat lagi suspek termasuk dua wanita itu mempunyai sehingga 16 rekod jenayah atas pelbagai kesalahan termasuk Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. Kesemua mereka kini direman sehingga lusa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA
Posted on: Fri, 13 Sep 2013 13:01:00 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015