Pengangkutan Awam dan Pembangunan Negara perlu bergerak - TopicsExpress



          

Pengangkutan Awam dan Pembangunan Negara perlu bergerak seiring Oleh Mohd Asyriq Mohamad Kemajuan dan pembangunan sesebuah negara harus bergerak seiring dengan sistem pengangkutan awamnya yang lebih efisyen. Sistem pengangkutan awam yang tidak sistematik berpotensi memberikan impak negatif kepada pembangunan negara selain menggambarkan pengurusan dan pembangunan negara yang lemah dan tidak berdaya maju. Sebagai contoh, Negara Korea Selatan, walaupun sedang mengecapi arus kemajuan dan kemodenan serta merupakan sebuah negara yang disokong oleh kuasa besar dunia, Amerika Syarikat, mereka masih lagi memikirkan subsidi kepada pengangkutan awam bagi mengekalkan dan mengawal kadar tambang pengangkutan awam. Malahan, di kebanyakan kotaraya utama dunia turut memastikan kemudahan pengangkutan awam mereka berada di tahap terbaik seiring dengan kemajuan negara. Namun, Malaysia meninggalkan sistem pengangkutan awam dalam membangunkan negara. Dasar automobil negara menyentap daya saing pengangkutan awam. Dasar automobil negara lebih cenderung kepada pembangunan industri automobil bukannya pengangkutan awam. Malah, dalam kempen Pilihanraya Umum ke 13 juga, kedua-dua pihak menawarkan pelan penurunan harga kereta di dalam manifesto masing-masing. Sistem pengangkutan awam adalah nadi rangkaian pergerakan dan perhubungan negara. Apabila sistem pengangkutan awam dapat berjalan lancar dengan kadar yang berpatutan, ia juga akan membantu mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas di bandar-bandar utama negara sekaligus dapat meningkatkan lagi peningkatan produktiviti oleh tenaga kerja yang tidak terbeban dengan tekanan kesesakan lalu lintas saban hari. Fakta yang tidak boleh dinafikan, Malaysia merupakan antara negara tertinggi kadar pemilikan kenderaan persendirian. Walaupun tanpa penurunan harga kereta, kesesakan lalu lintas telah menular ke bandar-bandar kecil dan lebuhraya tidak lagi menjadi laluan ekspress apabila kerap berlaku kesesakan tidak mengira waktu. Permit pengangkutan awam yang selama ini diserah kepada konsortium harus dibuka semula kepada individu dan subsidi-subsidi pengangkutan awam juga perlu untuk diberikan kepada pemilik-pemilik pengangkutan awam bagi memastikan tahap efisyen dan kadar tambang dapat dikawal. Sistem pengangkutan yang selamat satu faktor yang amat penting dalam menjana pembangunan negara kerana sistem pengangkutan awam yang tidak selamat, sedikit sebanyak menjejaskan kepercayaan pelabur untuk melabur dalam negara dengan itu negara kehilangan modal untuk membangunkan negara . Aliran perniagaan juga akan terjejas sekiranya sistem pengangkutan awam ini tidak menjaminkan keselamatan kerana hasil perniagaan, pengeluaran produk industri tidak dapat diangkut dan diurus dengan baik maka perniagaan tidak dapat berkembang kerana ada kebimbangan untuk berurus niaga atau kebimbangan untuk membangunkan sektor industri dalam negara dan seterusnya menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan pelaburan dalam negara . Peningkatan taraf sistem pengangkutan awam yang dilengah-lengahkan akan menyebabkan kerugian kepada negara. Contohnya, sistem pengangkutan awam yang efisyen boleh menjimatkan 20 minit untuk enam juta orang di Lembah Klang sehari, 480 juta jam setahun dpt dijimatkan. Ini tidak lagi mengambil kira penjimatan subsidi minyak, peningkatan produktiviti, penambahan pendapatan rakyat dan lain-lain kebaikan. Negara megah dengan pembinaan Menara KLCC namun, kemampuan membina bangunan antara tertinggi di dunia ini juga seiring dengan kemampuan membangun sistem pengangkutan awam yang lebih baik di seluruh negara. Lihat pembaziran RM 4.6 Billion dalam PKFZ, RM 1.7 billion setiap tahun untuk memberikan kira-kira 700 ribu AP, RM 3.42 billion untuk membeli jet dan menghantar seorang Spaceflight participant ke angkasa. Dengan jumlah lebih RM 9 billion ini, adalah lebih baik digunakan untuk pembangunan sistem pengangkutan awam bukan sahaja di Lembah Klang malah ke seluruh pelusuk negara. Dasar pengangkutan awam nampaknya tidak menarik minat pemain-pemain politisi baik di peringkat Kerajaan mahupun pembangkang. Mereka lebih senang bermain dengan tawaran populis untuk meraih undi. Alangkah lebih baik sekiranya hasil kutipan cukai kenderaan peribadi ini dapat digunakan bagi mewujudkan sistem pengangkutan awam yang efisyen di seluruh negara. Kalau di bandar besar, sistem LRT, MRT atau monorel menjadi kehendak awam, di bandar-bandar kecil sudah tentu menagih perkhidmatan bas antarabandar. Jangan kerana mendahulukan kereta nasional, pembekal aksesori, pasaran kereta peribadi, syarikat konsesi lebuh raya, kontraktor pembinaan lebuhraya, pengilang tayar, peruncit minyak dan juga panahan meraih undi menjadi penghalang kepada pemerkasaan pengangkutan awam negara. Jepun, Korea, China dan Amerika Syarikat merupakan contoh negara pengeluar kereta namun mereka tidak meminggirkan pengangkutan awam. Pengangkutan awam mereka lebih sempurna hingga menjadi pilihan rakyat mereka. Kelumpuhan sistem pengangkutan awam kita sebenarnya bukan kerana banyaknya kumpulan berkepentingan ini tetapi hubungan yang lahir antara politikus dan kumpulan berkepentingan. Kumpulan ini ditatang umpama minyak yang penuh dan menjadi penyalur kepentingan semasa pilihanraya umum. Bertitik tolak daripada itu, punca kelumpuhan sistem pengangkutan awam kita bukan kerana betapa banyaknya kumpulan berkepentingan yang wujud, tetapi betapa lemahnya pemerintah untuk menangkis tuntutan kumpulan ini lantaran kurangnya pemantauan dan tekanan awam. Ia berakhir dengan hubungan patronage antara politikus dengan kumpulan berkepentingan. Kumpulan ini akan menghisap kepentingan di riba penguasa, dan menjadi penyalur kepentingan semasa pilihan raya umum. Saudara Mohd Asyriq Mohamad merupakan Kordinator Kemasyarakatan, Rekreasi dan Anak Muda, Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar - SAMM Muar
Posted on: Sun, 04 Aug 2013 18:14:41 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015