Pengkaji biologi mendapati ciri tersebut yang ada pada wanita dan - TopicsExpress



          

Pengkaji biologi mendapati ciri tersebut yang ada pada wanita dan lelaki adalah semula jadi yang difitrahkan. Penyokong teori ini, seterusnya seolah-olah mengabsahkan tanggungan beban wanita sebagai memenuhi kehendak naluri. Satu lagi teori biologi merujuk kepada struktur otak lelaki dan wanita. Walaupun menggunakan kedua-dua belah otak, tetapi wanita dikatakan lebih banyak menggunakan otak bahagian kanan, sementara lelaki lebih banyak menggunakan otak bahagian kiri. Kalau otak sebelah kanan berperanan untuk memproses aktiviti yang bercorak imaginatif dan kreatif, berupaya untuk pemikiran holistik dan intuitif, dan pemprosesan tugasan yang bersifat visual dan spatial, tetapi otak kiri berfungsi untuk memproses bahasa, pemikiran analitis, pemprosesan maklumat secara berurutan, dan kebolehan matematik. Kajian perkembangan otak seperti itu dapat memberi maklumat terhadap pemilihan kerjaya wanita dan lelaki. Kajian ke atas otak manusia menunjukkan ada kemungkinan besar biologi boleh juga mempengaruhi seksualiti orang yang berkenaan. Fiber bergelar anterior commissure yang menghubungkan bahagian kiri dan kanan otak dikatakan bersaiz lebih besar di dalam otak orang homoseksual daripada otak lelaki atau wanita heteroseksual. Oleh itu, teori ini menggangap bahawa orientasi seks orang adalah perkara semula jadi. Di sini boleh disimpulkan bahawa teori biologi telah memberi maklumat tentang bagaimana perubahan fizikal, pemikiran dan perlakuan yang membezakan femininiti dan maskuliniti itu disebabkan ciri semula jadi jantina dan aktiviti hormon. Teori ini menunjukkan pemilihan kita adalah berdasarkan faktor semula jadi. Teori pengaruh interpersonal telah digunakan untuk menolak sebahagian teori biologi yang dikatakan mempengaruhi isu tentang gender. Ia cuba mengkonsepsikan bagaimana orang menjadi feminin atau maskulin, tetapi teori psikodinamik menekankan perhubungan interpersonal dalam keluarga yang dapat mempengaruhi identiti orang, terutamanya jantina, sedangkan teori psikologi pula menghubungkaitkan pembelajaran dan peranan peniruan antara kanak-kanak dan orang yang berinteraksi dengannya.20 Sari 24 Teori psikodinamik memfokuskan kedinamikan keluarga yang bole h merangsang pembentukan identiti. Menurutnya lagi perhubungan yang paling awal kita ialah dengan penjaga kita, terutamanya ibu. Perhubungan ini dikatakan yang paling penting dalam mempengaruhi bagaimana kanak-kanak membentuk identitinya dan seterusnya berinteraksi dengan masyarakat di sekeliling. Pengkaji teori psikodinamik telah menganjurkan teori bahawa perkembangan diri dan identiti gender berlaku apabila bayi membatinkan pengaruh di sekelilingnya. Misalnya, bayi yang dibela ibunya dengan penuh kasih sayang itu akan menyemadikan sifat ibunya dalam dirinya. Ia akan membesar dengan nilai positif hasil dari ciri keibuan yang ditunjukkan dan dirasainya di bawah penjagaan ibu. Seterusnya, teori ini menerangkan pembentukan maskuliniti dan femininiti adalah akibat pelbagai hubungan yang terjadi antara ibu dan anak itu. Menurut Chodorow (1989) gender ibu memainkan peranan dalam perlakuannya terhadap anak perempuan dan laki-laki. Keakraban antara ibu dan anak perempuan adalah kerana mereka memiliki ciri jantina yang sama yang membenarkan anak perempuan membentuk identiti serupa dengan ibunya. Namun, perhubungan ibu dengan anak lelakinya berbeza kerana ketaksamaan ciri fisiologi. Dalam hal ini, Chodorow berpendapat bayi lelaki secara primitifnya merasakan perbezaannya dengan ibunya. Yang penting ialah ibu sedar akan perbezaan fisiologi itu dan akan berinteraksi dengan anak lelakinya dengan cara yang lain daripada yang digunakan untuk anak perempuan. Umumnya, ibu selalu menggalakkan anak lelakinya untuk berautonomi, berkelakuan agresif dan berkelakuan kurang emosi berbanding dengan anak perempuan. Ini menyebabkan lelaki lebih cenderung kepada ciri kelelakian. Kiranya teori psikodinamik memperlihatkan kepentingan hubungan bayi dengan penjaga dan orang yang berinteraksi dengannya, maka teori psikologi pula menumpukan perhatian kepada peranan komunikasi dalam pembelajaran individu dan perkembangan kognitif sebagai asas kepada pembentukan gender. Selanjutnya, teori pembelajaran sosial menekankan individu belajar untuk menjadi maskulin atau feminin melalui komunikasi dan pemerhatian. Kanak-kanak akan meninjau bagaimana ibu bapa, rakan sebaya dan masyarakat sekelilingnya berinteraksi dan berkomunikasi, kemudian meniru pelakuan mereka. Kanak-kanak kecil meniru pelbagai kerenah. Mereka belajar mengenali mana satu kelakuan itu positif dan negatif berdasarkan rangsangan yang diberi ibu bapa dan rakan. Setelah menerima pujian hasil membuat suatu (tidak kira sama ada baik atau tidak), mereka telah diberi dorongan untuk membuatnya lagi agar pujian itu berterusan. Sehubungan itu, teori pembelajaran sosial mendedahkan bahawa komunikasi dan interaksi orang lain mengajar kanak-kanak perlakuan gender yang sesuai. Teori ini yang tidak melihat biologi jantina sebagai asas kepada identiti gender itu menekankan kanak-kanak belajar mengenali pelakuan gender dengan meniru perlakuan yang mendapat maklumbalas yang positif. Sementara itu, budakMeniti Duri dan Ranjau: Pembikinan Gender dan Seksualiti 21 perempuan diberi pujian kerana berkelakuan lembut, emosi, setia, bertolak ansur, pendiam – kesemuanya ciri feminin. Jika mereka berkelakuan kasar, bercakap kuat, tidak bertolak ansur, bersaing – ciri maskulin ini tidak mendapat rangsangan positif. Kelakuan maskulin – bersaing, buas, tidak emosi merupakan sifat yang diberi maklum balas positif ibubapa untuk kanak lelaki. Menurut Mark Breedlove “we’re born with predispositions, but it’s sociey that amplifies them” (dipetik Wood 2001: 49). Teori perkembangan kognitif pula memfokuskan bagaimana individu belajar dari berinteraksi dengan orang lain dalam pembentukan identiti. Ini mengandaikan kanak-kanak boleh memainkan peranan penting dalam perkembangan identiti mereka. Berdasarkan desakan dalaman untuk bersaing, pengkaji teori itu berpendapat kanak-kanak telah menggunakan orang lain sebagai pedoman untuk berkelakuan maskulin atau feminin. Pelopor teori ini, termasuk Lawrence Kohlberg, Jean Piaget dan Carol Gilligan, telah menawarkan beberapa model tentang bagaimana kanak-kanak membentuk identiti mengikut peringkat umur dan tahap. Kanak-kanak melihat bagaimana orang yang sama jantina dengannya itu berinteraksi dan meniru perlakuan ini. Jadi, kanak-kanak belajar mengenali kelakuan yang sesuai untuk jantinanya berdasarkan preskripsi sosial yang diperhatikannya. Teori psikologi memberi satu lagi perspektif bagaimana identiti gender dibentuk. Pembelajaran merupakan bahan asas dalam teori ini. Bila mencapai konstansi dalam pembentukan gender berdasarkan apa yang mereka pelajari, kanak-kanak akan berkelakuan sejajar dengan tuntutan ciri feminin atau maskulin. Tetapi, perspektif budaya adalah satu lagi input bagaimana identiti gender dibentuk. Disiplin antropologi membongkar keadaan budaya yang berbeza-beza yang mempengaruhi konsep maskuliniti dan femininiti. Sehubungan itu, adat dan agama adalah antara gabungan faktor bagaimana lelaki dan perempuan disosialisasikan untuk berkelakuan maskulin dan feminin. Ketiga-tiga perspektif yang dilakarkan itu memberi penjelasan bagaimana gender dan seksualiti dapat difahami. Setiap perspektif itu ada kebenarannya. Dengan melihat kesemua penerangan itu, kita dapat melihat gender dan seksualiti secara total. Oleh sebab setiap kita dilahirkan dengan jantina yang tersendiri, maka tidaklah keterlaluan jika dikatakan biologi memainkan peranan bagaimana kita membesar. Namun, sebahagian besar pembentukan identiti itu berdasarkan pembelajaran, peniruan serta tuntutan adat dan agama yang ditetapkan masyarakat. ANDAIAN GENDER DAN SEKSUALITI Berdasarkan teori biologi, psikologi dan budaya, beberapa andaian boleh dibuat tentang bagaimana masyarakat menstrukturkan gender lelaki dan wanitanya. Penstrukturan ini berbeza-beza menurut arus kemodenan, amalan adat, agama, antara banyak faktor yang lain. Wanita di Asia Tenggara, misalnya, lebih kuat22 Sari 24 terikat dengan kod gender dan seksualiti berbanding dengan wanita di Barat. Selain itu, bukan semua sistem masyarakat melihat gender dan seksualiti dari perspektif keseimbangan. Umpamanya, jika lelaki dilihat sebagai kuat, maka wanita pula tidak semestinya dilihat memiliki ciri yang bertentangan dengan itu, iaitu yang lemah. Ciri yang bertentangan sebegini tidak wujud dalam sistem norma semua masyarakat. Oleh itu, pada sesetengah masyarakat, ciri kewanitaan dan kelelakian dilihat secara berskala atau kontinuum. Berdasarkan ketaksamaan gender dalam kebanyakan masyarakat, pengkaji membuat pemerhatian tentang binari ruang awam dan domestik. Oleh kerana fisiologi wanita membenarkan mereka mengandung, melahirkan anak dan menyusukannya, kebanyakan masyarakat meletakkan wanita dalam ruang domestik berbanding dengan ruang awam. Pelopor teori ini, Michelle Rosaldo (1974) menyarankan diadakan satu paradigma untuk memahami fenomena ini. Beliau menambah dalam masyarakat yang menekankan perbezaan antara domain awam dan domestik, akan wujud ketaksamaan gender yang paling ketara. Misalnya: …women’s status will be lowest in those societies where there is a firm differentiation between domestic and public spheres of activity and where women are isolated from one another and placed under a single man’s authority, in the home. (Rosaldo 1974: 36). Satu lagi paradigma dari pemahaman gender berkisar dengan konsep alam semula bertentangan budaya. Bertolak dari premis ketentuan biologi, wanita dianggap bertaut dengan alam semula jadi, dan apa yang dianggap “natural” atau yang telah menjadi ketentuan tidak boleh diubah. Oleh itu, jika ketentuan biologi membuat wanita lebih kecil tubuh badannya, lebih lembut kulitnya, dan lebih lemah kudratnya, maka ini menjadi sebab wanita lebih lemah, maka patut tunduk kepada lelaki. Dalam sejarah manusia serta kajian yang merentasi banyak masyarakat, ketentuan biologi mengabsahkan kedudukan wanita sebagai sekunder. Di sini, ciri fisiologi yang mengaitkan wanita kepada alam semula jadi berbanding dengan peranan lelaki yang menjadi penggerak utama dalam pencapaian tamadun manusia. PEMBIKINAN GENDER DAN SEKSUALITI Dalam bahasa Inggeris, gender dan seksualiti dikatakan sebagai culturally constructed, iaitu hasil pembentukan budaya. Tetapi, bukan budaya sahaja yang membuat persepsi sedemikian. Kesemua wacana yang ada itu adalah berorientasikan gender. Sejarah kesusasteraan, wacana sains dan teknologi, politik, agama, malah kemodenan adalah antara penyumbang kepada konstruksi gender dan seksualiti. Dalam perbincangan ini, saya cuba memberi pandangan mengenai beberapa konstruksi tentang gender dan seksualiti daripada wacana yang berlawanan yang dapat menunjukkan ambiguiti dan kontestasi serta kegelinciran makna antara wacana rasmi, dengan kehidupan nyata.Meniti Duri dan Ranjau: Pembikinan Gender dan Seksualiti 23 WACANA YANG BERLAWANAN Menurut Louis Althusser (1984) dalam pembinaan teorinya mengenai ideologi, kesusasteraan adalah salah satu agensi yang menyuarakan agenda kumpulan dominan. Dalam konteks ini, kumpulan dominan dapat ditafsirkan sebagai golongan patriarki. Banyak kajian telah dijalankan tentang bagaimana wanita dan lelaki dicitrakan dalam teks sastera. Lumrahnya, wanita digambarkan sebagai kaum yang memerlukan perlindungan, dengan lelaki sebagai kaum yang pemberi perlindungan.
Posted on: Thu, 08 Aug 2013 22:06:11 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015